Izwan Abdul Halim
Sat | Jul 12, 08 | 8:03:00 am MYT
ALOR STAR, 12 Julai (Hrkh) - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah hari ini mendesak Media Prima Berhad yang dikuasai oleh Umno melalui anak syarikatnya TV3 menyiarkan permohonan maaf secara jelas dan terbuka kepada Menteri Besar Kedah, Kerajaan Negeri Kedah dan Tuanku Sultan Kedah dalam tempoh tujuh hari bermula semalam kerana menyiarkan berita fitnah melalui Buletin Utama 10 Julai, kelmarin.
Ketua AMK Kedah, Saiful Izham Ramli dalam satu kenyataannya menegaskan bahawa sekiranya mereka gagal berbuat demikian, AMK Kedah mendesak agar Kerajaan Negeri segera dan tegas bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap Media Prima dan TV3 agar perkara seperti ini tidak lagi berulang.
Jelasnya, AMK Kedah memandang serius trend terbaru Barisan Nasional dalam memfitnah dan merekacipta cerita bagi memburuk-burukkan pentadbiran dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan mengelirukan rakyat selepas Pilihan raya Umum Kali Ke-12 yang lalu.
"Selepas drama fitnah ulangan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua minggu yang lalu, yang terbaru adalah fitnah terhadap Menteri Besar Kedah," demikian menurut kenyataan tersebut.
Ujarnya, laporan yang mengelirukan itu cuba mengambarkan seolah-olah Ustaz Azizan mengamalkan kaedah pengurusan kewangan yang bermewah-mewah dan membazir dalam menguruskan amanah pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
Menurutnya, AMK Kedah juga merasakan bahawa laporan ini adalah cubaan untuk menutup segala kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di bawah Barisan Nasional sebelum ini yang terlalu banyak membazir hingga menyebabkan Kedah menjadi antara negeri yang paling banyak berhutang kepada Kerajaan Persekutuan.
"Tindakan terbaru Barisan Nasional yang semakin terdesak itu jelas cuba menghina istana dan Sultan Kedah, semata-mata untuk kepentingan politik sempit dan terdesak. Buletin Utama gagal dan dengan sengaja tidak melaporkan juga bahawa rombongan tersebut bukanlah rombongan Menteri Besar, tetapi rombongan Diraja Kedah ke Brunei atas urusan istana Kedah," tegas kenyataannya.
Mengulas perkara yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad melahirkan rasa kesal dengan berita tersebut yang disifatkan beliau sebagai 'dikutip ditepi jalan'.
Menurutnya, walaupun pernah ditegur sebelum ini, tetapi nampaknya TV3 masih menunjukkan kedangkalan pemberitaannya.
"Pemikiran primitif dan kutip berita tepi jalan rupanya masih ada dalam TV3,"ujarnya penuh sinis.
Tegasnya, TV3 mesti memohon ampun dari Tuanku Sultan kerana seolah-olah memperlekehkan urusan istana yang diamanahkan kepada rombongan berkenaan dan membuat penyiaran yang berunsur fitnah.
"Kami juga ingin beri amaran kepada TV3 mahupun pihak-pihak yang bersembunyi disebaliknya agar tidak memutarbelitkan fakta atau mencipta sesuatu dengan tujuan melaga-lagakan pihak Kerajaan Negeri dengan istana," katanya yang percaya ada pihak-pihak tertentu cemburu melihat hubungan baik Kerajaan Negeri dengan pihak istana.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini menjelaskan bahawa, pesawat sewa khas yang dinaiki Menteri Besar Kedah adalah bagi menyertai rombongan Diraja Kedah ke Brunei untuk menyembah titah mengundang Sultan Brunei ke majlis sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah pada Selasa depan.
Menurut Helmi, rombongan Diraja itu diketuai Tunku Bendahara Kedah yang disertai isterinya selain Ketua Istiadat Istana Datuk Saad Endut dan isteri selain Azizan dan isteri.
Helmi menjelaskan, TV3 yang merakam rombongan itu menaiki pesawat dan menyebut seolah-olah ia adalah rombongan Menteri Besar adalah tidak tepat.
"Kita kesal dengan laporan berita yang mengelirukan itu dan kita mohon supaya stesen televisyen itu tidak lagi membuat laporan berdasarkan andaian semata-mata tanpa meminta penjelasan rasmi terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan istana," kata Hilmi. - mks. _
Sabtu, 12 Julai 2008
TV3 digesa mohon maaf,jangan ulangi kesilapan
Sabtu, Julai 12, 2008
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan