Isnin, 21 Julai 2008

PAS terus komited bersama Pakatan Rakyat

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Fri | Jul 18, 08 | 11:00:02 am MYT

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan pembebasan Penasihat Parti KeADILan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah dibenarkan ikat jamin.

Namun kami memandang berat cara penangkapan yang dibuat oleh pihak polis ke atas beliau kelmarin yang tergesa-gesa dan kasar walaupun beliau telah bersedia untuk melaporkan diri dan memberi kerjasama kepada pihak polis.

Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar berpegang teguh kepada prinsip Islam dan undang-undang bahawa 'seseorang itu tidak bersalah selagi tidak terbukti kesalahannya di mahkamah yang adil' (not guilty until proven).

Asas ini juga harus dipegang oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menilai tuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Saya ingin menegaskan bahawa keadilan hanya akan terlaksana dalam tuduhan seperti ini apabila ianya diadili melalui Syariat Islam.

Oleh yang demikian, PAS mengambil pendirian menolak sebarang tuduhan yang berbentuk andaian dan spekulasi.

Begitu juga dengan penggunaan DNA yang pada bila-bila masa sahaja boleh dimanipulasi, diada-adakan dan ditokok tambah bagi menafikan keadilan yang sebenar.

Saya juga ingin menegaskan bahawa dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi ini, kami akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.

Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan oleh Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut.

Begitu juga dengan isu-isu rakyat yang dagal ditangani serta tidak dapat lagi dipikul dan diselesaikan oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional seperti kenaikan kos sara hidup yang mendadak, ketidakstabilan ekonomi, kedar jenayah, pengangguran dan rasuah yang tinggi.

Kepada seluruh pendokong dan penyokong PAS, saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar keadilan dapat terus ditegakkan di bumi Malaysia.

Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan, hendaklah sentiasa bertenang dan bersabar dalam menghadapi ujian besar ini.

Yakinilah kebenaran itu akhirnya akan terserlah juga, Insya Allah.
Wassalam.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

14 Rejab 1429/ 17 Julai 2008

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons