Bukanlah mudah untuk menyingkap hikmah disebalik sesuatu kejadian. Usahkan mudah untuk menembusi atmosfera yang tidak berhalangan itu, perkara yang berlaku disekeliling kehidupan kita juga selalunya tidak mampu diolah.
Hikmah atau kebijaksanaan itu sendiri, kepada manusia adalah satu bentuk kurniaan daripada Allah. Namun tidak semua manusia menerimanya. Nabi Adam diberi hikmah mengenali nama-nama benda, Nabi Sulaiman diberi hikmah menguasai makhluk bumi lain.
Di antara mereka yang terpilih diberi hikmah ada pula yang lebih tinggi hikmahnya sepertimana kisah antara Nabi Khidir dan Nabi Musa. Kadang-kadang orang marah kepada orang yang berhikmah kerana tidak memahami hikmah disebalik tindakan mereka sepertimana yang dialami oleh Baginda Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah.
Namun, atas taqwa dan tawadhuk Baginda lembut menjelaskan bahawa Baginda seorang Rasul dan tidak akan menyalahi ketetapan Allah kepadanya.
Sememangnya hikmah yang dimiliki seseorang, tetapi orang disekeliling sukar memahami baik perkataan, keputusan mahupun perbuatan menyebabkan kepada konflik. Tidak kurang hikmah yang akhirnya difahami bersama berlalunya masa.
Begitulah apabila Kerajaan Negeri Kedah semasa di bawah Menteri Besar Dato? Seri Mahdzir Khalid hendak melaksanakan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY), Ustaz Azizan Abdul Razak paling lantang menentangnya. Tapi Ustaz Azizan bukanlah menentang hikmah, sebaliknya mengemukakan hikmah yang lebih utama diberi perhatian.
Beliau mengimbas banyaknya tanah, khususnya tanah sawah dan Tanah Rezab Melayu (TRM) yang telah diambil (baca dikorbankan) untuk dibangunkan diseluruh Negeri Kedah.
Beliau bukan menentang pembangunan, tetapi tanah pertanian dan TRM telah diambil tanpa diganti. Padanya cukuplah tanah yang pernah ?hilang? di Kerpan dan Alor Star, tidak perlu lagi sebuah tanah pertanian yang subur apatah lagi ianya kawasan sawah diambil untuk sebuah pembangunan.
Bahkan, faktor kesihatan juga punca penentangan beliau dengan memberikan contoh bahawa projek sedemikian ditolak dibeberapa negara utama di dunia
Maka, apabila beliau menjadi Menteri Besar yang baru, beliau membuktikan bahawa beliau tidak menolak pembangunan. ZIPY diteruskan tetapi dipindahkan ke tempat lain. Media cuba memaparkan bahawa pemilik tanah sebenarnya bersetuju menjual tanah mereka.
Ada juga yang mendakwa tidak berminat lagi meneruskan aktiviti bertani. Sumber menyatakan lebih 60 peratus pemilik bersetuju.
Persetujuan mereka bermakna kontra dengan keputusan Ustaz Azizan. Benar, mereka mempunyai hak untuk menjual milik mereka. Perkara yang dilihat oleh mereka tidak sama dengan hikmah yang dilihat oleh Ustaz Azizan.
Tetapi sebagai pemimpin yang berhikmah, beliau sentiasa memikirkan mengenai rakyatnya. Habuan yang akan diperolehi oleh pemilik tanah hakikatnya tidak selumayan nilai hasil yang mampu keluar dari tanah itu apabila ia berada di bawah kerajaan baru yang beriltizam menjadikan Kedah ?Belanda Malaysia?.
Akhirnya, bersama berlalunya masa, hikmah pun tersingkap. Saat negara berdepan masalah kekurangan bekalan beras dan dunia mengalami krisis makanan, pembatalan pengambilan tanah untuk ZIPY itu merupakan antara hikmah yang telah dilihat Ustaz Azizan tetapi tidak dilihat oleh yang lain.
"Kerana itu saya tidak benarkan ZIPY dibuat di atas tanah Yan (tanah sawah). Sedangkan kita (Negeri Kedah) selama ini membekalkan 53 peratus beras kepada negara," ujarnya setelah media meminta ulasan beliau mengenai kekurangan beras negara.
Sungguhpun masalah kekurangan dan krisis ini jarang berlaku, tetapi dalam konteks negara kita yang semakin bertambah jumlah penduduk dan tanah pertanian khususnya sawah yang semakin mengecil di Kedah, perkara ini perlu dipandang serius.
Bahkan sejarah membuktikan, krisis makanan mencetuskan pergolakan dalam negara-negara dunia. Makanan ada yang merupakan pilihan tetapi ia lebih merupakan satu keperluan asasi.
Banyak lagi hikmah yang bakal tersingkap, rakyat akan dapat lihatnya satu persatu bersama berlalunya masa di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang kini telah menjadi kerajaan di lima negeri.
Begitu juga harapnya di Kedah, ada petugas-petugas parti marah apabila Ustaz Azizan mengekalkan penjawat jawatan-jawatan tertentu. Moga-moga hikmahnya akan tersingkap sikit masa nanti. Wallahu?alam.
Akan bertemu PM?
Dalam sidang media Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman beliau ditanya kemungkinan hasrat bertemu dengan Perdana Menteri, Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sungguhpun mengakui berhasrat menemui PM, beliau bagaimanapun tidak membayangkan agenda yang akan dibawanya.
"Saya akan bertemu PM tetapi mengikut masa (PM) yang sesuai. Dia Ketua, saya akan bertemu dengan dialah," demikian menurutnya.
Banyak telahan yang dapat dibuat sekiranya beliau bertemu PM. Jika pertemuan itu untuk mengeratkan kerjasama dua pihak, itu sememangnya yang patut berlaku.
Jika Ustaz Azizan ingin meminta pandangan PM, bermakna ia ingin menguruskan Kedah ke arah yang lebih sejahtera. Tetapi jika beliau yang memberi pandangan kepada PM, nescaya ianya untuk kebaikan negara.
Jika Ustaz Azizan ingin meminta nasihat, itu bermakna beliau mahukan kebaikan. Jika beliau yang ingin memberi nasihat, bersediakah Pak Lah menerimanya?
Pun begitu, nasihat tetap nasihat. Ianya satu pilihan; boleh diambil atau dibuang sahaja. Tetapi lazimnya nasihat itu sesuatu yang baik, tentunya teruk sekali orang yang enggan menerima sesuatu yang baik.
Bertemu atau tidaknya mereka, prinsip yang masing-masing peganglah menjadi penentu sama ada kebaikan atau keburukan yang diinginkan oleh mereka. Tapi masing-masing akan mendakwa bertujuan kebaikan, hanya tindakan seterusnya akan menjadi jawapan sama ada kebaikan itu untuk diri sendiri, kaum keluarga sendiri, parti sendiri atau rakyat seluruhnya, sama-samalah kita tunggu.
Tuntut Fasakh ? Rungkai Perjanjian
Jika Kerajaan Kedah berpegang kepada dasarnya yang akan diterjemahkan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat, apakah pula dasar yang dipegang oleh Kerajaan Pusat khusunya Kementerian Pelancongan?
"Apa perbezaan dasar, apa perbezaan pendapat sedangkan kita tidak pernah berbincang lagi?" ujar Ustaz Azizan.
Beliau berkata demikian setelah pihak Kerajaan Negeri Kedah menerima surat rasmi dari pihak Kementerian Pelancongan yang menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Majlis Tindakan Pelancongan Negara dengan Kerajaan Negeri Kedah.
Beliau melahirkan rasa hairannya kerana terma perjanjian menyatakan bahawa pihak yang mungkir boleh ditamatkan perjanjian. Persoalannya siapakah yang mungkir?
Jumaat, 18 April 2008
Hikmah disebalik langkah Kerajaan Kedah kekalkan tanah sawah
Jumaat, April 18, 2008
Pemuda Bukit Uhud
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan