Khamis, 7 Mei 2009

Kerajaan boleh datang dan pergi, KCS tetap di sini

Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK AHMAD ZABARI

ALOR SETAR: Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Investment Centre, Dato’ Haji Mohd Puat Hj. Mohd Ali menyarankan supaya kerjasama erat antara KCS dan kerajaan memerintah perlu diperkemaskan dan konflik perlu diminimakan. “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kerajaan boleh datang dan pergi, namun KCS tetap di sini,” ujarnya.

Berucap membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perubahan Kepimpinan Politik: Cabaran Kepada Kepimpinan Dan Anggota Perkhidmatan Awam Di Negeri Kedah’ di Seminar Pengurusan Perubahan, Dato’ Mohd Fuat menjelaskan secara panjang lebar sejarah pentadbiran awam negeri Kedah semenjak 100 tahun.

Katanya, Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah atau lebih dikenali sebagai Kedah Civil Service (KCS) telah dibentuk oleh Kesultanan Melayu semenjak sebelum kedatangan British. Ianya adalah satu-satu perkhidmatan negeri yang terulung di Semenanjung dan diakui oleh British sebagai yang paling lengkap dan efisien.

Pada 1923 Kerajaan Negeri Kedah telah mengikat satu perjanjian dengan British yang menjanjikan semua jawatan pentadbiran awam Negeri Kedah hendaklah diisi oleh rakyat Melayu Kedah yang berkelayakan kecuali jawatan profesional dan teknikal. British telah meletakkan penasihatnya di Kedah dan sebarang pelantikan pegawai British ke Kedah hendaklah mendapat kelulusan Majlis Negeri. Oleh itu Negeri Kedah telah mula menghantar penuntut-penuntut keluar negara dengan memberi biasiswa bagi melatih mereka menjadi staf profesional.

“Perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Perubahan akan memberi kesan ke atas kehidupan kita, menyebabkan perubahan ke atas sesebuah negeri atau negara dan organisasi.

“Kita tidak dapat mentafsir atau menjangka apakah yang akan diakibatkan oleh perubahan tersebut. Yang pasti perubahan kerapkalinya tidak dapat dielakkan dan mungkin membawa dimensi ketidaktentuan, takut, kecelaruan atau mungkin juga pembaharuan dan kebaikan,” ujar beliau ketika memberi justifikasi terhadap fasa perubahan yang berlaku selepas pilihanraya umum 2008.

Menurut Dato’ Mohd Puat, kejutan yang paling ketara selepas pilihanraya umum 8 Mac 2008 adalah apabila pusat pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah diserbu oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat pada tengah malam 8 Mac 2008. “Namun salah faham itu diselesaikan secara aman apabila YAB Dato’ Seri Azizan Abd. Razak dilantik sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

Tambahnya, satu dua perubahan dasar yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di awal pemerintahannya pada mulanya menimbulkan salah faham. Contohnya pembatalan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY). Namun kerajaan Pakatan Rakyat menerima balik cadangan-cadangan balas oleh KCS dan akhirnya projek tersebut diteruskan dengan beberapa penambahbaikan.

Begitu juga, katanya, pelantikan Ahli Majlis Daerah dan Perbandaran yang baru pada mulanya menimbulkan sedikit kontrovesi kepada Yang DiPertua (YDP) (yang terdiri dari KCS). Namun selepas ahli-ahli majlis ini faham peranan dan bidang tugas mereka serta faham fungsi PBT, maka semua isu dapat diselesaikan dengan baik.

“Sebagai seorang pemimpin, KCS seharusnya boleh menyesuaikan diri dalam semua situasi asalkan tidak bercanggah dengan hukum agama dan lunas-lunas budaya.

“Pemimpin yang tidak efektif akan mempamer stail kepimpinan yang sama di semua situasi. Pemimpin yang efektif akan mengubah strategi dan persekitarannya. Pemimpin yang cekap tahu menyesuaikan diri dengan kepimpinan atasan serta anak buahnya,” ujar Dato’ Mohd Puat.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons