BERSEDIA HADAPI PERUBAHAN POLITIK
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR – Kakitangan awam perlu mewujudkan satu landasan bagi perkongsian ilmu di kalangan tokoh-tokoh berpengalaman untuk mencari halatuju serta strategi terbaik berhadapan dengan perubahan landskap politik di Negara ini.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menegaskan bahawa ketidakselesaan dalam menghadapi perubahan kepimpinan politik bagi sesetengah negeri masih merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan sewajarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Seminar Pengurusan Perubahan yang bertemakan “Perubahan Landskap Politik: Cabaran Kepada Perkhidmatan Awam” di Hotel Regency, di sini.
Menurutnya, kupasan isu yang lebih mendalam secara terbuka dan fokus dengan kajian-kajian terperinci berkaitan perubahan landskap politik ini mampu membuka satu ruang yang terbaik untuk perkongsian ilmu dan pengalaman negeri-negeri yang terlibat dengan perubahan kepimpinan politik untuk kepentingan bersama.
“Adalah penting bagi seminar ini untuk mewujudkan satu landasan bagi perkongsian ilmu dan pengalaman di kalangan tokoh-tokoh berpengalaman untuk mencari halatuju serta strategi terbaik berhadapan dengan perubahan landskap politik ini,” tambahnya.
Pada seminar ini juga, katanya, peserta berkesempatan untuk mendengar pandangan daripada tokoh-tokoh akademik yang disegani yang akan menjamin satu pembentangan yang jelas dan terperinci yang dapat dikongsi dan dimanfaatkan bersama berkaitan amalan terbaik yang dapat diaplikasi bagi menghadapi cabaran kepada landskap politik ini.
Tambahnya, seminar ini juga membuka peluang untuk mendengar pengalaman dan pandangan dari perspektif yang berbeza pada sesi forum yang akan diwakili oleh bekas pentadbir awam, ahli akademik dan wakil-wakil daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang membuka satu diskusi yang lebih fokus yang dapat dimanfaatkan secara bersama.
“Saya berharap serta yakin, seminar ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penjawat awam sebagai persediaan menghadapi cabaran perubahan kepimpinan politik semasa dan akan datang,” jelasnya.
Seminar itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-100 kewujudan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.
Khamis, 7 Mei 2009
Ingatan Menteri Besar untuk kakitangan awam
Khamis, Mei 07, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan