Isnin, 27 April 2009

Menutup aurat bukan halangan bersukan

OLEH : NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

ALOR SETAR - Berpakaian menutup aurat bukan penghalang bagi pelajar perempuan dari bergiat cergas dalam sukan. Ini telah dibuktikan oleh pelajar perempuan Maktab Mahmud yang menyertai latihan pusat kontinjen Maktab Mahmud yang berlangsung di Komplek Hijau Kuning, di sini.

Mereka adalah 69 dari 171 pelajar Maktab Mahmud dari seluruh daerah di Kedah yang menyertai kursus selama lima hari bermula kelmarin. Demikian diberitahu, Ketua Unit Kokurikulum Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah, Puan Jufriah Ahmad.

Menurutnya, latihan ini diadakan untuk mendedahkan dan memantapkan semangat pelajar dalam semua sudut samada fizikal dan mental.

“Sebelum adanya Pusat Latihan ini, pelajar hanya belajar di sekolah sendiri tanpa ada pemerhatian dari tenaga pengajar yang mahir,” jelasnya.

Kursus latihan ini juga merupakan persediaan bagi pelajar-pelajar yang akan bertanding dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah (MASSAK) ke-14 yang akan berlangsung pada Mei depan di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UNIKL).

Sebanyak enam acara yang akan berlangsung dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, pin pong, bola tampar dan badminton.

Kejohanan ini juga dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Maktab Mahmud, Zon Utara dan Zon Selatan.

Dari segi aspek pemakaian pula, ciri-ciri Islam masih dititik beratkan oleh para penganjur.

Katanya lagi, tahun lepas lebih kurang 40 pelajar dari Zon Maktab Mahmud telah berjaya melayakkan diri ke Peringkat Kebangsaan iaitu Kejohanan Sukan Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA).

“Saya berharap atlet-atlet Maktab Mahmud akan berjaya merebut pingat emas dan berjaya dengan cemerlang dalam kejohanan itu bagi mengharumkan nama Maktab Mahmud,” katanya.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons