Isnin, 2 Mac 2009

Sidang tergempar DUN Perak sah, diadakan esok - Speaker

Harakahdaily

IPOH, 2 Mac (Hrkh)-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu esok adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan.

Sivakumar berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya yang dipetik daripada laporan agensi berita.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri semalam yang mengatakan Speaker DUN Perak tidak boleh memanggil satu sidang tergempar Dewan itu kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Setiausaha DUN Perak itu juga berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Sivakumar sebaliknya menegaskan Abdullah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau (Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat. Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," katanya.-azm _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons