Selasa, 24 Februari 2009

SPR makin comot di bawah pengerusi baru

Zuharman MN
Tue | Feb 24, 09 | 7:15:35 pm MYT

PASIR PUTEH, 24 Feb (Hrkh) - Biar pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba direformasikan di bawah pengerusi baru, namun kes yang menimpa dua Adun KeADILan di Perak menjelaskan kecelaruan badan itu belum berpenghujung.

SPR di bawah Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof belum mampu membersihkan badan itu yang tercalar sebelum ini, malah ramai berhujah ia semakin comot.

Ekoran itu banyak pihak di sini mempersoalkan tindakan SPR enggan menerima pengosongan kerusi Dun Changkat Jering dan Behrang walaupun Speaker Dun Perak, V Sivakumar sudah mengisytiharkan kosong.

Ini kerana Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi sudah menandatangani surat akuan mengosongkan kerusi sekiranya berpaling tadah.

Malah berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak, surat perletakan jawatan dua Adun itu adalah sah dan jika terdapat keraguan sekali pun, hanya Dun Perak yang boleh menentukan status mereka bersesuaian dengan Perkara 33(1) Perlembagaan negeri itu.

Anggota parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Husin berkata, Speaker Dun Perak sudah bertindak mengikut bidang kuasanya apabila menerima surat perletakan jawatan daripada kedua-dua Adun berkenaan biar pun tanpa tarikh.

"Surat perletakan jawatan kedua-dua Adun telah diterima Speaker berasaskan artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Bagaimana pula SPR boleh meragui surat tersebut dan mengisytiharkan kerusi tersebut masih disandang kedua-dua Adun berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mohamad berkata, tindakan terbaru SPR tersebut seolah-olah menggantikan fungsi mahkamah yang lebih berkuasa menentukan kesahihan surat kedua-dua Adun terbabit.

Menurut beliau kehadiran Abdul Aziz tidak mampu memberi wajah baru kepada SPR bagi menjarakkan dirinya daripada taktik jahat pemimpin Umno dan BN.

"SPR sepatutnya lebih telus dalam menjalankan tugasnya. Tindakan SPR dalam isu di Perak telah memperlihatkan peranannya mengatasi bidang kuasa yang ditetapkan undang-undang.

"Sedangkan Speaker Dun membuat perisytiharan kekosongan kerusi tersebut berdasar surat perletakan jawatan Adun berkenaan," katanya.

Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim tidak menolak kemungkinan konspirasi politik BN untuk merampas kerajaan negeri Perak melalui jalan mudah yang bermula dengan peranan dimainkan SPR.

Katanya, rakyat dapat melihat dengan jelas perancangan rapi Umno yang bermula dengan kehilangan misteri dua Adun berkenaan. Begitu juga taktik kembali semula Adun Bota ke pangkuan Umno.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyifatkan tindakan Umno cuba mengelakkan diadakan pilihan raya di Dun Changkat Jering, Behrang dan Jelapang menggambarkan parti itu sebagai pengecut.

"Sebagai sebuah parti besar sepatutnya lebih berani bertarung pada pilihan raya. Cara ini ialah cara orang pengecut dan bukan anak jantan.

"Tindakan itu tidak bermoral. Umno cuba mengulangi sejarah yang membangkit kebencian rakyat dalam peristiwa Mageran 1977 di Kelantan," katanya.

Adun Selising, Drs Saiful Bahrin Mohammed berkata, Umno telah hilang keyakinan untuk menghadapi pihak lawan dalam pilihan raya kerana trauma pilihan raya umum 2008 belum pulih.- tajdid_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons