Sabtu, 15 November 2008

Kelab Penyokong Muda PAS dilancar hari ini

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Nov 15, 08 6:16pm
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) melancarkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) yang disempurnakan oleh Ketuanya, Salahuddin Ayub di ibu pejabat PAS petang tadi.

Kelab ini diletakkan di bawah Lajnah Perpaduan Nasional DPP yang dipengerusikan oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Ketua DPP, Nasrudin Hasan; Setiausaha DPP, Ahmad Sabki Yusuf dan Pengerusi Jawatankuasa Penaja KPMP, Vincent Lee.

Kira-kira 50 orang termasuk ahli, orang ramai dan para wartawan menghadiri majlis perasmian tersebut yang turut diringi dengan tarian Singa dan paluan gendang India.

salahuddin ayub 01Dalam ucapan perasmian, Salahudin menjelaskan objektif utama penubuhan kelab itu ialah untuk menjadi pemangkin kepada anak muda berdepan dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Tegasnya, penubuhan kelab tersebut bukan semata-mata untuk meraih sokongan, tetapi juga untuk membuktikan bahawa PAS serius untuk menyelesaikan masalah pelbagai kaum di Malaysia.

"Saya ingin mengatakan pada petang ini bahawa ajaran Islam memberikan peluang dan keadilan untuk semua kaum," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Salahudin mengkritik sikap kerajaan yang mengharamkan Hindraf tanpa memberi ruang dan peluang untuk mereka berdialog.

Jadi sayap parti

"Mereka ingin mengadakan dialog, menuntut diberi ruang untuk berbincang. Orang India merasakan diri mereka disisihkan.

"Apa salahnya kalau kerajaan berdialog? Apa yang menjadi tuntutan Hindraf harus didengar," tegas Salahudin.

Dalam ucapan itu juga, Salahudin menjelaskan bahawa antara agenda utama yang dibincangkan dalam permukiman ahli jawatankuasa pusat PAS usat dan Majlis Syura Ulama di Langkawi minggu lalu ialah untuk memperkasakan Kelab Penyokong PAS (KPP)

"Kemungkinan kita akan memberi ruang kepada Kelab Penyokong PAS berstatus sayap seperti sayap-sayap lain dalam parti," katanya.

Menurut Salahuddin, langkah tersebut sebagai usaha untuk memberi tempat kepada mereka serta memahami Islam dan dasar-dasar PAS.

"Kita konsisten. Kita tak bermain-main dengan orang bukan Islam. Kita serius untuk menghadapi realiti politik Malaysia hari ini," katanya.

Bagaimanapun, jelas Salahudin, perkara tersebut akan diperhalusi oleh pimpinan PAS dalam siri-siri pertemuan mereka sebelum ia dilaksanakan.

Manakala Khairul Faizi pula menjelaskan bahawa pihaknya akan meluaskan promosi penubuhan kelab itu ke negeri-negeri dan akan mengadakan himpunan besar-besar yang dijangka Mei depan.

Siri jelajah

Sementara itu, Pengerusi Penaja KPMP, Vincent Lee berkata beliau amat gembira dengan langkah PAS memperkenalkan kelab tersebut untuk menarik minat pemuda dan remaja mengenali dan menyokong parti itu termasuk memahami prinsip-prinsip utama dalam Islam.

Beliau berkata, sasaran kelab ini adalah untuk menarik remaja bukan Islam yang berumur 40 tahun ke bawah dan merancang pelbagai aktiviti yang sesuai yang berorientasikan kesedaran politik dan peka dengan perjuangan PAS.

Sehubungan itu, Lee yang juga timbalan pengerusi Kelab Penyokong PAS, akan bersama-sama menyertai siri jelajah untuk menambah keahlian kelab tersebut.

"Kelab Penyokong Muda PAS akan turut membantu," katanya.

Mereka mensasarkan seramai 100,000 orang menjadi ahli kelab tersebut.

Dalam sidang media selepas majlis perasmian tersebut, Salahuddin menjelaskan bahawa cadangan kelab Penyokong PAS menjadi sebahagian daripada sayap parti itu masih di peringkat awal.

"Ada perbincangan panjang. Ada beberapa siri perbincangan serius selepas ini untuk membolehkan mereka menjadi sayap dalam PAS," katanya.

Beliau juga menjelaskan, sekiranya kelab itu telah menjadi sebahagian daripada sayap PAS, maka mereka boleh bersuara dan menyatakan pandangan seperti sayap-sayap PAS yang lain.

1 komentar:

DMP KEDAH berkata...

Tahniah! teruskan usha DPPK

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons