Khamis, 16 Oktober 2008

Surat Terbuka Untuk YB Dato’ Paduka Ibrahim Ali


Dilulus terbit pada Thursday, October 16 @ 10:43:41 MYT oleh TokPenghulu
Teguran @ Kritikan Oleh ahmadfadhli

" Assalamualaikum. Kepada Yang Berhormat Dato’ Paduka Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas.

Pertamanya, tahniah saya ucapkan kepada YB Dato’ kerana telah memenangi kerusi parlimen bagi kawasan Pasir Mas di dalam pilihan raya umum yang lepas. Ucapan ini walaupun mungkin agak terlewat tapi saya rasakan masih relevan khususnya di dalam keadaan YB Dato’ pada hari ini yang saya kira semakin ditonjolkan oleh media massa setelah tenggelam agak lama selama ini.

Yang Berhormat Dato’, saya merupakan salah seorang pengundi di dalam parlimen Pasir Mas yang telah mengundi YB Dato’ di dalam pilihan raya yang lepas. Di dalam parti, saya merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS di dalam kawasan parlimen YB Dato’. Sayalah yang diamanahkan sebagai pengerusi di dalam majlis memperkenalkan calon di dalam pilihan raya umum yang lepas di Mini Stadium Pasir Mas. Semoga Allah mengampuni kesilapan saya apabila saya mengatakan YB Dato’ sebagai wira rakyat. Demi Allah, saya tidak berkata demikian kecuali hanyalah kerana mahukan kemenangan YB Dato’ yang bertanding di atas tiket parti kami.

Walaupun sejarah YB Dato’ cukup pedih untuk saya ingati, khususnya caci nista yang pernah YB Dato’ lemparkan kepada pimpinan PAS, saya dan juga saya pasti penyokong-penyokong PAS yang lain tetap mengundi YB Dato’ di atas dasar patuh dan kasih kami kepada para pimpinan. Saya mengikuti perkembangan YB Dato’ dari jauh dan dekat. Saya juga mendengar sumpah seranah terhadap UMNO dan Tun Dr Mahathir keluar dari mulut YB Dato’ sendiri ketika berkempen di dalam pilihanraya umum 1990 di atas pentas Semangat 46.

Walaupun ketika itu umur saya masih di dalam usia kanak-kanak, tetapi saya tidak mudah lupa sebagaimana YB Dato’. Lantas, ketika YB Dato’ dilucutkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO pada tahun 2004 yang lepas, saya telah menulis memberikan amaran agar jangan ada sesiapa yang menumpahkan simpati kepada YB Dato’.(tulisan dulu)

Hari ini, YB Dato’ kembali menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas. Tahniah. Namun, YB Dato’ perlu mengetahui, kemenangan ini adalah kemenangan ihsan dari parti kami.

Parti kami tidak pernah meletakkan calon yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama di kawasan ini semenjak kebelakangan ini. Pasir Mas tempat suburnya pondok-pondok pengajian agama, tuan-tuan guru bertebaran di sini. Tetapi pimpinan kami YAB Tuan Guru tetap memberikan tempat kepada YB Dato’ untuk menjadi calon. Beliau mempunyai pertimbangan tersendiri. Namun, untuk pengetahuan YB Dato’, lewat kunjungan Tuan Guru ke kawasan ini beberapa kali, kami menekankan bahawa calon yang kami mahukan ialah ulama’. Kami menolak nama YB Dato’ sebagai calon. Tetapi entah jampi serapah apa yang YB Dato’ gunakan, akhirnya nama YB Dato’ tetap muncul sebagai calon.

Secara peribadi, saya sungguh hampa. Tetapi saya tidak seperti YB Dato’ yang mudah melenting dan muncul sebagai hero. Saya taat kepada pimpinan yang saya kasihi. Mungkin suasana genting yang melanda kerajaan Kelantan menyebabkan Tuan Guru memilih YB Dato’ untuk mengurangkan risiko. Dalam kepedihan mengingati sejarah hitam YB Dato’, saya mengizinkan tangan ini menurunkan undi memenangkan YB Dato’. Bukan setakat itu, saya bekerja siang dan malam berkempen untuk kemenangan YB Dato’.

Tahukah YB Dato’, kempen-kempen dan ceramah kelompok yang diadakan menjelang PRU yang lepas parti kami peruntukkan jua ruang untuk wakil YB Dato’ datang menyampaikan ucapan. Kadang-kadang mereka hadir, kadang-kadang tidak. Di saat tiada wakil YB Dato’ datang untuk berkempen, kami turut sama menyelitkan pujian kepada YB Dato’ dalam usaha mempengaruhi pengundi memberikan kemenangan kepada YB Dato’. Bagi saya sendiri, secalar manapun luka yang saya alami, tentu sekali Tuan Guru lebih tercalar hatinya.

Dan kalau Tuan Guru boleh memberikan kemaafan, kenapa tidak saya? Itulah yang pimpinan kami di Pasir Mas fikirkan. Kerana itu, sewaktu saya bangun menggesa agar Pas Kawasan Pasir Mas meluluskan usul tergempar memberikan amaran kepada YB Dato’ lewat muktamar yang lepas, Yang diPertua PAS Kawasan, Ustaz Ismail Nuh lantas menegur saya dan tidak ingin memanjangkan perkara tersebut di atas asas menghormati pimpinan pusat. Lihatlah pimpinan kami yang pernah dicabar oleh YB Dato’ di dalam pilihanraya 1999 dan 2004 tidak bersultankan dendam peribadi malah turun bersama-sama YB Dato’ di dalam perarakan penamaan calon. Ingatkah YB Dato’ saat-saat itu?

Ternyata sekali, YB Dato’ tidak pernah mengambil iktibar daripada sejarah. Hari ini, saya melihat nama YB Dato’ seringkali terpampang di dada akhbar dan juga menghiasi kaca televisyen ; satu perkara yang YB Dato’ tidak akan bermimpi untuk mendapatkannya jika tidak bergelar ahli parlimen.

Namun sayang, suara YB Dato’ sudah mula sumbang. YB Dato’ melupakan prinsip Pakatan Rakyat yang disertai oleh parti yang memberikan kemenangan kepada YB Dato’. Di dalam kawasan, saya tahu YB Dato’ sudah mula renggang dengan pengundi-pengundi YB Dato’ sendiri. Bukanlah menjadi kesalahan apabila YB Dato’ merapati ahli-ahli UMNO, tetapi dengan di dalam masa yang sama, YB Dato’ renggang malah enggan bertemu dengan kami, YB Dato’ seolah-olah sudah menjadi ahli parlimen UMNO di dalam kawasan Pasir Mas. Dan itulah yang sedang diratib oleh penduduk-penduduk kampung.

Di dalam bulan Ramadhan yang lepas, YB Dato’ mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama ahli UMNO dan sudah hilang perhatian YB Dato’ kepada ahli-ahli parti yang mengundi YB Dato’, apakah makna semuanya ini kalau tidak kecenderungan untuk YB Dato’ bersama-sama dengan UMNO kembali?

YB Dato’ usahlah merasa hairan kalau setiap kali wajah YB Dato’ terpampang di tepi-tepi jalan di atas sepanduk yang digantung, ianya menjadi mangsa samada dicat ataupun dikerat. Entah betul entahkan tidak berita yang saya dengar ini. Namun jika ia benar, ia hanyalah satu tanda kecil betapa pengundi-pengundi Pasir Mas sudah benar-benar meluat dengan suara sumbang YB Dato’. Bahkan rasa meluat itu sudah menjadi rasa benci yang terlampau hebat. Maka oleh yang demikian, walaupun tidak mewakili parti yang saya sertai, saya benar-benar berharap agar YB Dato’ tidak meneruskan suara sumbang atau setidak-tidaknya YB Dato’ boleh diam kerana diam itu lebih bijaksana daripada bercakap dengan menampakkan tergiurnya YB Dato’ kepada UMNO semula.

Saya tidak tahu apakah rentak YB Dato’ selepas ini. Namun saya ingin memberikan satu janji, andainya YB Dato’ masih meneruskan suara sumbang ini, inilah penggal terakhir YB Dato’ sebagai wakil rakyat kawasan kami. Saya akan berusaha siang dan malam memastikan kekalahan YB Dato’ di dalam pilihanraya yang akan datang. Percayalah, walaupun kudrat saya terbatas, tetapi demi untuk memastikan kekalahan YB Dato’, kudrat yang terbatas ini akan dikerahkan jua. Dan saya sungguh bangga andainya YB Dato’ dapat diberikan pengajaran yang berguna nanti.

Semoga YB Dato’ mendapat makluman yang sewajarnya di atas kiriman warkah ini.

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

15 OKTOBER 2008

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons