Isnin, 28 April 2008

Petugas media ghairah dekati Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

Intan Abdullah
Mon | Apr 28, 08 | 5:29:30 pm MYT

KUALA LUMPUR,28 April (Hrkh) - Suasana majlis angkat sumpah Ahli Parlimen bagi Mesyuarat Pertama, penggal pertama, Parlimen ke-12 menyaksikan suatu kelainan daripada penggal-penggal sebelum ini.

Ini kerana pada kali ini, para wartawan dan petugas media kelihatan begitu ghairah mendekati ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat berbanding ahli parlimen BN bagi menjawab isu-isu terkini setelah pakatan rakyat berjaya menerajui lima buah negeri selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Begitu juga dengan beberapa bantahan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen sebelum dan semasa upacara mengangkat sumpah dijalankan termasuklah pertikaian mengenai pakaian yang dikenakan ahli parlimen Pasir Mas, Dato' Paduka Ibrahim Ali.

Hal tersebut dibangkitkan ahli Parlimen (BN-Kalabakan), yang menyatakan bahawa Ibrahim telah melanggar etika pakaian yang telah ditetapkan parlimen.

"Saya merujuk peraturan berpakaian ahli-ahli parlimen yang mengenakan 'black suit' sebagai pakaian rasmi pada hari ini selain baju Melayu," ujarnya.

Isu tersebut dijawab Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Hj Mulia yang menyatakan kedudukan Ibrahim Ali dalam parti politik semasa.

"Saya difahamkan ahli parlimen Pasir Mas adalah merupakan ahli bebas yang meminjam logo orang lain semasa pilihan raya yang lalu," jelasnya sambil disambut hilai ketawa dan sokongan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat lain.

Ibrahim yang merupakan ahli parlimen terakhir mengangkat sumpah hari ini mengucapkan terima kasih di atas jawapan YDP Dewan Rakyat tersebut sambil meneruskan upacara tersebut.

Antara peristiwa lain yang menarik perhatian dewan adalah apabila Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengangkat sumpah tanpa merujuk kepada teks upacara yang disediakan.

Sambil bersahaja dan tersenyum, Tan melafazkan ikrar tersebut memandangkan beliau adalah antara ahli parlimen yang paling lama menjadi ahli Dewan Rakyat.

Namun, terdapat juga ahli parlimen yang tidak mengangkat tangan semasa upacara tersebut menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) menegur tindakan tersebut.

Walau bagaimanapun, Pandikar dengan berseloroh menjelaskan perkara tersebut sambil bergurau mengenai keadaan Karpal yang uzur serta tidak mampu mengangkat tangan kanannya sebagai memenuhi etika mengangkat sumpah.

"Oleh kerana saya tidak mampu untuk menggunakan tangan kanan, maka saya akan menggunakan tangan kiri sahaja,"katanya.

Upacara majlis angkat sumpah dimulai dengan pelantikan YDP Dewan Rakyat diikuti dengan majlis angkat sumpah ahli-ahli parlimen BN yang diketuai Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ia diikuti dengan 82 ahli parlimen pembangkang, bermula dengan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan) seterusnya Karpal mengetuai pihak DAP.

PAS pula diketuai Presidennya, yang juga merupakan ahli parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengangkat sumpah sambil diikuti Timbalannya, Nasaruddin Mat Isa.

Pada majlis tersebut juga, Menteri Dalam Negeri, Dato' Syed Hamid Albar membentangkan usul agar pihak Ketua Polis Negara dapat menjalankan peranan untuk memastikan jalan-jalan yang bakal dilalui ke Dewan Rakyat dikawal dengan baik untuk memastikan tiada kekacauan timbul.

Ia dipersetujui sebulat suara ahli-ahli dewan tanpa sebarang bantahan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan ahli-ahli Dewan Rakyat di bankuet parlimen. -

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons