Rabu, 2 Disember 2009

SERANG TOK GURU UNTUK ALIH ISU ROYALTI MINYAK KELANTAN


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyifatkan serangan dari pelbagai pihak terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat hakikatnya bertujuan mengalih perhatian kepada isu sebenar iaitu tuntutan royalti oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya menegaskan, semua pihak perlu bersikap adil dengan melihat isu sebenar disebalik tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu.

Ujar beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang amanah dengan tanggung jawabnya sebagai Menteri Besar Kelantan telah memperjuangkan hak milik rakyat negeri itu.

“Bahkan beliau telah menulis surat, bertemu, merayu dan menyatakan berhujah kepada Perdana Menteri agar diberikan hak royalti tersebut demi untuk rakyat Kelantan. Juga dinyata dan dijelaskan beliau melalui media.

“Malah telah dipanjangkan ke perbahasan parlimen. Maknanya, pihak beliau telah menggunakan seluruh saluran yang sah untuk membuat tuntutan.

“Akhirnya, apa lagi ada pada orang yang dianiaya dan dizalimi haknya yakni beliau sebagai Menteri Besar Kelantan dan rakyat Kelantan melainkan pengaduan kepada Allah?” ujarnya kepada Harakah, 1 Disember baru-baru ini.

Sebaliknya jelas Ahmad, Dato’ Sri Mohd Najib Razak pula bersikap memperolok-olokkan dan meneruskan amalan diskriminasi Barisan Nasional terhadap Kelantan sejak negeri itu diperintah oleh PAS.

Menurutnya, diskriminasi dan tindakan tidak menghormati Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Aziz bukan perkara baru apabila semasa di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Kelantan telah dihalang dari menguatkuasakan pelaksanaan Undang-undang Islam, manakala semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kelantan terus dinafikan dari mendapat geran perkapita.

Sedangkan royalti pula katanya, dituntut kerana termaktub jelas dalam undang-undang dan perlembagaan serta laporan audit negara tetapi tetap dinafikan Najib.

Pelbagai isu juga tegas beliau, sengaja dicipta pihak tertentu bertujuan memberikan imej negatif kepada Tuan Guru Nik Aziz yang bukan sahaja merupakan tokoh berpengaruh dalam PAS dan dunia Islam, malah semakin disegani masyarakat bukan Islam dan juga ahli Umno.

“Jadi Umno bukan sahaja hendak mengalih isu, tetapi juga kerana bimbang kepada pengaruh Tuan Guru yang semakin mendapat tempat di kalangan ahli Umno, maka serangan peribadi menjadi senjata mereka kala ini,” ujar Ahmad.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons