Oleh: AMELIA HASHIM
Menepati hasrat Kerajaan meningkatkan industri pelancongan, Warta Darul Aman dijemput membuat liputan pengenalan Peranginan Gunung Jerai Resort.
Disajikan perubahan cuaca setiap dua puluh minit apabila penulismenjejak kaki di puncak Gunung Jerai. Perubahan cuaca ini menghidangkan panorama yang sungguh menakjubkan. Pergerakan awan yang rendah mengandungi air tidak menjanjikan hujan akan turun di situ. Apabila gumpalan awan melintasi puncak persis sang puteri menutup wajahnya dengan selendang kerana malu.
Apabila cuaca bertukar menjadi terang, terbentanglah di bawah sana pemandangan sawah berpetak-petak. Rangkaian pulau Bunting, Songsong, Telur dan Pulau Bidan. Apabila cuaca bertambah baik akan kelihatan Pulau Langkawi serta Pulau Pinang dan nun jauh berbalam-balam pulau Sumatera. Tidak hairan lah pelayar dulukala menjadikan Gunung Jerai sebagai penunjuk arah.
Tidak berbaloi naik Gunung Jerai sekiranya hanya untuk menyaksikan pemandangan ini dalam beberapa jam. Akan lebih meninggalkan kenangan sepanjang hayat sekiranya pelawat bermalam di puncak Gunung Jerai.
Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menaik taraf pusat peranginan ini kepada hotel tiga bintang dinamakan Peranginan Gunung Jerai Resort. Pengurusannya kini diambil alih oleh The Regency.
Menurut pengurusnya Tuan Haji Yahya Kassim, Peranginan Gunung Jerai Resort bakal dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah sempena sambutan ulangtahun keputeraan Baginda pada 2010 nanti.
Perubahan yang dilakukan nampak sangat ketara. Chalet-chalet lama telah diubahsuai dan chalet-chalet baru tersergam indah di tebing-tebing dataran di puncak gunung setinggi 1217 meter ini. Apabila malam kedinginan suhu mencecah 19 digri Celsius dan dalam keadaan biasa antara 20 hingga 24 digri Celsius.
Udara yang nyaman sangat sesuai untuk rehat bagi golongan yang mengidap penyakit kronik dan juga bagi mereka yang sentiasa memerah fikiran. Di sini menjanjikan ketenangan dan kedamaian. Pokok-pokok hujan tropika dan landskap bunga-bungaan yang hidup subur. Bunga-bungan kembang dengan bersaiz lebih besar dari bunga-bungaan spesis yang sama yang tumbuh di tempat lain.
Apabila malam kedinginan merubah suasana seakan bukan berada di negeri Kedah. Tiupan angin yang menerbitkan irama seperti bangsi dan alunan suara unggas malam mengingatkan semua akan kebesaran Allah yang sebagai pencipta. Datang dan bermalamlah di puncak Gunung jerai anda akan merasai sendiri pengalaman yang menakjubkan ini.
Kalau anda bernasib baik anda dapat bertemu dengan petapa yang memilih tempat ini untuk mendalami ilmu kebatinan. Kalau dahulu aktiviti ini dapat dibaca dalam Hikayat Hang Tuah menceritakan pahlawan lima sahabat ini bertapa di puncak Gunung Ledang. Tetapi puncak Gunung Jerai masih terdapat manusia yang bertapa sehingga kini.
Untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan, pengunjung tidak perlu mengambil cara untuk bertapa di dalam hutan memadai dengan menempah kamar di Gunung Jerai Resort. Semua kemudahan tersedia di sini. Anda boleh bersiar-siar dengan bebas di kawasan sekitarnya. Gunung Jerai Resort bahagian tertinggi di negeri Kedah dikelilingi oleh hamparan sawah padi. Pemandangan bertukar mengikut musim. Kehijauan apabila musim menanam padi dan bertukar kuning keemasan apabila tiba musim panen.
Berjalan kaki beberapa meter ke bawah anda boleh melihat tapak warisan antara makam Syeikh Abdullah Yamani, telaga Tuk Syeikh dan Muzium Perhutanan.
Terdapat 31 bilik sedang menanti pengunjung iaitu Eksekutif (24), Deluxe (12), Primier (24), Superier (12) dan Suit satu bilik. Menariknya bilik-bilik Eksekutif dilengkapi dengan jaguzi.
Memandangkan kemudahan dan peralatan serba mewah harga yang ditawarklan amatlah berpatutan. Harga promosi Exsecutif RM330.00, Deluxe RM230.00, Primier RM280. 00 dan Suite RM500.00. Yang berminat boleh menghubungi di talian 04-4667777 atau faks 04-4667778.
0 komentar:
Catat Ulasan