Rabu, 16 September 2009

Saranan koperasi SAR disambut baik

ALOR SETAR - Unit Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) menyambut baik cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang mencadangkan supaya Sekolah Agama Rakyat (SAR) menubuhkan koperasi bagi mencari dana sekolah itu.

Pengerusi HESA, Ahmad Yahya berkata, jawatankuasa HESA terdiri daripada pentadbir-pentadbir sekolah SAR bersetuju untuk membincangkan usul berkenaan yang pada anggapannya, dapat memanfaatkan banyak pihak.

“Jawatankuasa akan beri perhatian terhadap usul itu dan akan dibawa dalam mesyuarat untuk dibincangkan,” katanya ketika diminta mengulas saranan Azizan supaya SAR mempunyai koperasi sendiri sebagai saluran dana.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah berkata, pihaknya akan menimbang baik buruk saranan itu bagi manfaat lebih 5,000 pelajar daripada 21 buah SAR, termasuk lebih 800 guru dan kaki tangan yang bernaung di bawah HESA.

“Kita memang tidak mendapat peruntukan kewangan daripada Pusat mahupun Kerajaan Negeri. Namun usaha Kerajaan Negeri yang mengagihkan RM600,000 kepada 21 buah SAR di bawah HESA sedikit sebanyak dapat melancarkan pentadbiran dan aktiviti sekolah,” katanya.

Menurutnya, sumbangan itu akan diagihkan mengikut keperluan dan bilangan pelajar bagi menghadapi perayaan akan datang, selain untuk melicinkan urusan pentadbiran.

“Sumbangan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap sekolah ini yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap. Walaupun ada pihak yang menghulurkan sumbangan, namun SAR masih memerlukan sumbangan berterusan bagi menjalankan operasinya. Diharap pihak korporat tidak meminggirkan SAR, terutama menjelang Aidilfitri ini,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menghubungi Unit HESA, di Madrasah At Taklimiah Al Khairiah, Kampung Tok Keling, Alor Setar.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons