Rabu, 12 Ogos 2009

MANSUH ISA -PEMIMPIN UMNO CUBA LARI DARI TUNTUTAN SEBENAR


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyifatkan para pemimpin Umno sedang memperalatkan media dengan memesongkan perhatian masyarakat terhadap isu sebenar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya, sejak Himpunan Mansuh ISA yang diadakan 1 Ogos lalu, media digunakan untuk membesarkan cerita-cerita pemimpin Umno kononnya peniaga menghadapi kerugian, kerosakan harta, pertikaian mengenai peserta bawah umur dan jumlah peserta termasuk mengaitkannya dengan perkauman .

Jelas beliau, hakikat sebenar adalah pemimpin Umno cuba lari dari isu sebenar suara rakyat yang menuntut ISA dimansuhkan.

Katanya, himpunan itu adalah kemuncak dari pelbagai usaha yang pernah dilakukan sebelum ini namun dipandang enteng oleh pemimpin Umno.

"Realitinya, ISA adalah akta zalim yang sudah menjangkau usia 50 tahun, malah kebelakangan ini dipergunakan dengan sewenang-wenangnya untuk survival politik Umno.

"Maka kerajaan perlu melihat bahawa himpunan yang diadakan baru-baru ini membawa mesej jelas bahawa tidak ada kompromi lagi, ISA ini mesti dimansuhkan!" tegas Ahmad ketika diminta mengulas perkara itu, 5 Ogos lalu.

Ujar beliau lagi, jika benar dakwaan peniaga bahawa himpunan tersebut menyebabkan kerugian, perkara itu bukan berpunca dari perlakuan sengaja para peserta himpunan.

Sebaliknya tegas Ahmad, pihak polis telah bertindak secara keterlaluan dan tidak menangani keadaan dengan sewajarnya selain provokasi yang diwujudkan sendiri pihak polis.

"Jika dinilai secara adil, kesan yang dialami peniaga datangnya dari pancutan air dan tembakan gas pemedih mata, bukan perbuatan peserta.

"Tetapi bagaimana dengan 'kerugian' yang ditanggung oleh mereka yang ditahan tanpa bicara, tanpa dibuktikan kesalahan mereka? Bagaimana dengan 'kerugian' anak-anak dan isteri mereka? Pemimpin Umno-BN perlu taksir kerugian ini," ujarnya.

Beliau turut menjawab tuduhan pemimpin Umno bahawa orang Melayu telah menjadi alat pihak tertentu untuk menyertai himpunan tersebut.

"Kami Pemuda PAS Kedah sedia jadi alat yang sentiasa bersuara menentang dan menuntut ISA dimansuhkan. Kami sememangnya sedia menjadi alat kepada agama kerana agama mengajar kami untuk berkata tidak kepada sebarang bentuk kezaliman!

"Kami bukan alat untuk digunakan bagi menyokong ISA secara membuta tuli dan alat menindas rakyat!" sinis Ahmad mengakhiri kenyataan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons