Khamis, 22 Januari 2009

TUANKU SULTAN BANGGA DENGAN KEPIMPINAN YAB DATO' SERI USTAZ AZIZAN RAZAK

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR, 18 Januari - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah melahirkan rasa bangga terhadap pimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Kerajaan Negeri telah berjaya menjalankan pentadbiran dengan adil dan harmoni bagi memastikan kehidupan rakyat berbilang kaum semakin bersatu padu serta semangat kerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menjayakan program pembangunan bagi kepentingan rakyat.

Baginda bertitah demikian dalam titah ucapan pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.

“Beta mengucapkan tahniah kepada Memanda Menteri Besar kerana berjaya menerajui pentadbiran negeri dengan berkesan.

“Semangat bekerjasama tanpa mengira fahaman politik seperti ini sangatlah dibanggakan dan hendaklah diteruskan demi faedah rakyat Beta, sudah sampai masanya semua pihak memandang ke hadapan dan mencari jalan untuk memberi sumbangan yang optima kepada pembangunan negeri ini,” titah Baginda bagi mengikis pandangan negatif sesetengah pihak yang tidak yakin dengan kemampuan kerajaan negeri Kedah.

KDYMM Tuanku Sultan turut mengambil berat mengenai masalah pemberhentian pekerja yang akan menjejaskan kehidupan rakyat, Baginda memberi saranan agar para majikan dan Kerajaan Negeri bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini.

Selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan bahan makanan khususnya padi, jagung dan nanas secara komersial, KDYMM Tuanku Sultan menyeru pihak swasta mengambil bahagian secara usahasama dengan petani malalui konsep ‘contract farming’.

“Baru-baru ini kerajaan Beta berjaya menerokai pasaran baru bagi produk pertanian di Timur Tengah dan Afrika Utara, di mana pasaran baru ini bakal mengatasi isu pasaran yang dihadapi oleh para petani.

“Usaha menarik masuk pelancong menerusi Program Tahun Melawat Kedah telah menampakkan kejayaan sepertimana Langkawi semakin mendapat tempat di kalangan pelancong Timur Tengah.

“Beta menyarankan promosi pelancongan dijalankan dengan lebih agresif dan pelbagai aktiviti yang berkaitan menjana pendapatan dapat dijalankan oleh masyarakat setempat,” titah Baginda yang begitu prihatin dan menitikberatkan kebajikan rakyat.

Hasrat Kerajaan Negeri membina Pusat Pendidikan dan Pengajian Al-Quran mendapat persetujuan KDYMM Tuanku Sultan bagi melahirkan Qari dan Qariah serta ahli Tahfiz Al-Quran.

Di samping itu, graduan yang dilahirkan dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam bidang tugas yang diceburi bagi kesejahteraan semua.

“Sejajar dengan perkembangan ekonomi masakini, Kolej Universiti Insaniah tidak lagi terhad sebagai pusat pengajian tinggi di bidang agama dan Bahasa Arab sahaja.

“Beberapa bidang pengajian baru telah ditawarkan dan memerlukan sebuah kampus yang lengkap bagi meningkatkan imej Kolej Universiti Insaniah, pembinaan sebuah kampus tetap adalah tepat pada masanya.

“Beta yakin semua perancangan ini bakal melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dan bertakwa yang akan menerajui negeri ini di masa hadapan,” titah Baginda.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons