KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan menyatakan hanya penggunaan purata sebulan yang melebihi 300 kW (atau jumlah bil lebih RM77 sebulan) yang akan menerima kesan dari kenaikan elektrik, hakikatnya seluruh lapisan masyarakat pengguna di Malaysia akan menerima tempias kenaikan itu.
Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria berkata, ini kerana kebanyakan kilang pengeluar barangan pengguna, kilang memproses makanan dan minuman, kedai-kedai runcit, stor simpanan makanan mentah dan beku, warung-warung dan perniagaan-perniagaan lain mempunyai kadar penggunaan elektrik yang sangat tinggi sebulan.
“Maka sudah tentu harga barangan dijangka akan meningkat lagi selepas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyatakan rasa kecewa dan marah di atas pengumuman Datuk Seri Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkenaan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan oleh kerajaan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.
Kenaikan sebanyak 4.99 sen sekilowatt dari 33.54 sen kepada 38.53 sen sekilowatt dijangka akan membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana apabila ia dilaksanakan kelak.
Walaupun kerajaan menyatakan bahawa hanya penggunaan purata sebulan yang melebihi 300 kW (atau jumlah bil lebih RM77 sebulan) yang akan menerima kesan dari kenaikan ini, hakikatnya seluruh lapisan masyarakat pengguna di Malaysia akan menerima tempias kenaikan tarif elektrik ini.
Kebanyakan kilang-kilang pengeluar barangan pengguna, kilang memproses makanan dan minuman, kedai-kedai runcit, stor simpanan makanan mentah dan beku, warung-warung dan perniagaan-perniagaan lain mempunyai kadar penggunaan elektrik yang sangat tinggi sebulan. Maka sudah tentu harga barangan dijangka akan meningkat lagi selepas ini.
Rakyat sudah tentu akan menerima beban berganda (double whammy) apabila kerajaan menaikkan harga barang-barang keperluan asas seperti gula dan petrol sebelum ini, dan kini tarif elektrik pula yang mana bahan-bahan ini adalah membentuk struktur kos utama hampir semua perniagaan runcit, pemborong dan perbekalan barang-barang serta pembuatan dan pengilangan.
Ini akan memberi kesan berantai yang akhirnya beban ini akan ditanggung oleh pengguna akhir apabila pegilang, pemborong dan penjual memindahkan kenaikan kos ini kepada pengguna melalui kenaikan harga.
Manakala bagi pengguna elektrik yang melebihi dari RM77 bil sebulan sudah tentu terpaksa menanggung beban kenaikan tarif elektrik ini, dan bakal berdepan pula tambahan bayaran cukai GST yang bakal dilaksanakan pada April 2015 yang akan dikenakan untuk penggunaan elektrik lebih RM70 sebulan.
DPPNK juga mendesak kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan sepenuhnya supaya rakyat dapat mengetahui berapakah sebenarnya kos pembelian tenaga elektrik oleh TNB yang dijana oleh Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta jumlah subsidi yang terpaksa ditanggung Petronas apabila terpaksa menjual minyak di bawah harga pasaran kepada IPP untuk penjanaan elektrik berkenaan.
Dari rekod, IPP menikmati subsidi sebanyak RM6.4 billion pada 2011 dan RM9.5 billion pada 2012 dalam bentuk penjualan minyak oleh Petronas pada harga lebih murah dari harga pasaran.
Keuntungan yang dilepaskan Petronas ini menunjukkan bahawa perjanjian PPA adalah bersipat berat sebelah dan lebih menguntungkan Penjana Tenaga Bebas, merugikan TNB yang dipaksa membeli tenaga pada kadar semasa sebelum dibekalkan kepada pengguna. Ini sekaligus menjadikan rakyat yang terpaksa menanggung beban kenaikan tarif.
DPPNK dengan menuntut supaya kerajaan membuat kajian semula terhadap kenaikan tarif elektrik ini dan menyelesaikan isu pembelian tenaga dari IPP yang dilihat berat sebelah sebelum melaksanakan polisi kenaikan tarif yang membebankan rakyat ini.
Janji kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib untuk mendahulukan rakyat sebelum PRU13 dahulu rupa-rupanya bermaksud mengenakan beban kepada rakyat terlebih dahulu sedangkan bil elektrik kediaman PM di Seri Perdana sendiri berjumlah lebih RM2.2 juta setahun.
0 komentar:
Catat Ulasan