Oleh : HarakahDaily
ALOR STAR: Sekumpulan samseng yang dipercayai ahli Perkasa bertindak ganas dengan menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah.
Menurut laporan Keadilandaily, tindakan biadap itu tercetus apabila beberapa pemuda berhimpun dan memulakan provokasi ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di dalam masjid Al Husin.
Mereka juga bertindak memadamkan lampu masjid dan alat pembesar suara berulangkali, memaksa Anwar menggunakan loud hailer untuk meneruskan kuliahnya.
Kumpulan terbabit juga mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling kasut ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan. Malah, mereka turut menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren ketika Anwar menyampaikan tazkirah.
Ketua kumpulan itu yang hanya dikenali sebagai Dato Yusof dikatakan mengugut bertindak lebih keras sekiranya Anwar tidak menghentikan kuliahnya serta-merta.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan menyebabkan jemaah masjid terus mendengar kuliah beliau.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang berada di masjid itu turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau.
Kejadian serangan terhadap ketua pembangkang ini adalah insiden kedua selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan, semalam.
0 komentar:
Catat Ulasan