Selasa, 22 Disember 2009

TEKS USRAH BULAN 12 (MUHASABAH)

MUHASABAH

Muhasabah bermaksud perbuatan menilai, meninjau perasaan berkaitan fikiran, pendirian, tindakan dan sebagainya terhadap diri sendiri.Bermuhasabah pula membawa maksud membuat penilaian terhadap diri sendiri agar kita dapat mengukur pencapaian diri.

Kita juga dianjurkan untuk bermuhasabah terhadap organisasi, gerakkerja yang dilakukan serta apa jua perkara yang berkaitan dengan kehidupan seperti rumahtangga, kerjaya dan lain-lain.

Sebagai seorang yang intima’ (melibatkan diri) di dalam harakah Islamiah seperti PAS maka menjadi kewajipan terhadap ahli dan kepimpinannya untuk sering melakukan muhasabah agar segala kelemahan diperbaiki dan segala perancangan dapat berjalan dengan baik.

Kini kita di awal tahun baru Hijriah 1431dan di penghujung tahun Masihi 2009, maka amat sesuailah medan usrah kali ini dijadikan medan muhasabah untuk kita.

ANJURAN BERMUHASABAH

 Sabda Rasulullah SAW:

الكيس من دان نفسه وعمل لما بعد الموت , والأحمق من اتبع نفسه هواها و وتمنى على الله الامانى

 “Orang yang bijak ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang bodoh ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (berangan-angan untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat)” –riwayat At Tirmizi

Saidina Umar mengingatkan:

حاسبوا انفسكم قبل ان تحاسبوا , وزنوها قبل ان توزنوا , وتزينوا للعرض الأكبر يوم لا تخفى منكم

خافية

 “Hisablah dirimu di dunia sebelum kamu dihisabkan (di hadapan Allah di hari akhirat), timbanglah amalanmu sebelum ianya ditimbang pada hari qiamat dan berhiaslah untuk hari pendedahan yang besar, hari yang tidak akan tersembunyi darimu sesuatupun.” –risalah Al Mustarsyidin




KITA SEBAGAI HAMBA

Rasa hamba mestilah tidak lekang dari jiwa kita, sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT Maha segala-galanya. Segala rasa-rasa tersebut hendaklah sampai ketahap merasai takut untuk berbuat maksiat dan munkar.

Contohnya seseorang yang merasai Allah mengetahui isi hatinya akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinya pun Allah mengetahui. Hamba seumpama ini bukan sahaja gerak geri zahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat.

Namun semua itu terhasil dari ilmu dan penghayatan dalam bentuk amal. Adunan ilmu dan amal membuahkan iman, iman pula yang mendorong rasa perhambaan, sementara tarbiyahlah yang akan mendarah dagingkan semua yang tersebut di dalam diri kita. Cukupkah tarbiyah kita?  

KITA SEBAGAI ANGGOTA JAMAAH

Allah memilih kita untuk berada di dalam jamaah Islam ini. Andainya bukan kita yang dipilih nescaya jamaah akan terus hidup kerana orang lain pula yang dipilih oleh Allah. Ertinya jamaah Islam tidak rugi apa-apa tanpa kita, sebaliknya kita yang rugi jika tidak intima’ dengan jamaah.

Justeru sebagai bukti kita mensyukuri nikmat pilihan ini maka kita hendaklah benar-benar menjadi anggota jamaah yang berqualiti tinggi, antaranya dengan memiliki ciri-ciri berikut:

-sentiasa berusaha untuk menyumbangkan buah fikiran
-sentiasa bersedia mengorbankan diri, tenaga, masa dan wang ringgit
-sentiasa mementingkan jamaah dan kerja-kerjanya mengatasi urusan peribadi
-sentisa berusaha untuk mengukuh jamaah bukannya meruntuh
-sentiasa berusaha menyelesai masalah bukannya pencetus masalah
-bersedia memikul beban dan kepayahan seperti menjadi pemimpin

KITA SEBAGAI PEMIMPIN PAS

Menjadi pemimpin PAS bukan kemuliaan dan pujian, sebaliknya satu bebanan dan amanah. Justeru kita ditegah dari meminta jawatan di dalam PAS apatah lagi berebut untuk memegang jawatan.

Tanggungjawab dan amanah jawatan di dalam PAS menuntut pengorbanan yang besar dari orang yang memikulnya. Khususnya jika kita bincangkan tentang kepimpinan pemuda dari ketua, timbalan, naib dan AJK peringkat negeri, kawasan dan cawangan maka banyaklah perkara yang perlu dimuhasabahkan antaranya:

-apakah kita benar-benar memahami tentang tugas yang berkaitan dengan jawatan kita
-jika kurang faham tentang ruang lingkup tugas, apa tindakan yang sudah diambil
-adakah kita sudah benar-benar bekerja untuk menjayakan agenda perjuangan PAS
-apakah kerja kita ikhlas kerana Allah atau dikeranakan oleh kerana-kerana yang lain
-sudah berapa program yang dibuat melalui lajnah yang kita pegang
-seringkah kita tidak hadhir program jamaah sehingga menimbulkan persoalan di kalangan rakan-rakan
-apakah kita memaklumkan ketidak hadiran kita sebagai bukti rasa tanggungjawab
-dan lain-lain

KITA SEBAGAI PEMIMPIN KERAJAAN

Memerintah negeri bukan satu kerja mudah. Tidak ada fakulti atau buku khusus yang mengajar bagaimana menjadi menteri besar, ahli mesyuarat kerajaan, setiausaha politik dan pegawai-pegawai khas yang bersifat lantikan politik. Begitu juga menjadi ADUN, ahli Parlimen, ahli Majlis, MKK dan sebagainya. Sudah tentu individu yang terlibat memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan tugas.

Namun rakyat mahu melihat keberkesanan dan keprihatinan pimpinan ini dalam menjalankan tugas. Baik perkhidmatan yang diberi maka baiklah kerajaan serta parti yang memerintah. Justeru itu, pemimpin yang terlibat perlu lebih banyak bermuhasabah dengan amanah yang dipikul.

KITA PEMIMPIN UMMAH

Tanggunjawab paling pokok dan utama bagi pemimpin ialah membawa hati dan roh manusia mengenal Allah SWT dan beribadah kepadanya. Bertanyalah kepada diri, sudahkah sebagai pemimpin membawa hati rakyat kepada Allah SWT. Sudahkah agama dan akhlak disogok kepada rakyat. Sempurnakah program dan agenda sehingga tiada lagi alas an untuk rakyat menolak agama kecuali mereka yang degil.

Hak asasi inilah yang wajib ditunaikan terlebih dahulu berbanding keperluan lain. Memenuhi keperluan dan hak kenal Allah SWT dan beragama inilah yang bakal dipersoalkan terlebih dahulu berbanding perkara dan urusan lain.

KEKANGAN JAWATAN

Sudah menjadi adat di dalam perjuangan seperti PAS, siapa boleh buat kerja maka banyaklah kerja dan jawatan yang diberi, tidak dinafikan di sana ada juga yang diberi jawatan kerana pandai dan rajin bercakap.

Semua kita mengakui bahawa jawatan yang terlalu banyak mengekang kerja yang berkesan. Namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan. Jawatan di dalam kerajaan, parti, masyarakat, NGO dan lain-lain dipikul serentak. Jawatan parti pulak merangkumi pelbagai peringkat, dari pusat, negeri, lajnah, kawasan, MTD, UPU dan juga cawangan. Semuanya terbeban keatas seorang dua ahli PAS. Kesannya orang yang memikul akan tertekan dan banyak tugas yang terlepas pandang.

Dikatakan, ada juga mereka yang menjadikan banyak jawatan sebagai alas an untuk tidak dapat hadhir ke sesuatu program kerana bertembung masa. Ya, diakui sesekali ia berlaku, tetapi bukan sepanjang waktu.

Namun di sana, ada pimpinan yang memang mampu memikul berbagai tugas, bukan kerana hebat tetapi atas tanggungjawab dan amanah perjuangan. Kepada mereka kita doakan agar Allah beri kekuatan dan agar kita juga dapat menjejaki jalan mereka

Apa yang harus dimuhasabahkan ialah di mana kita?

PENUTUP

Muhasabah ke atas diri, tugas, amanah, organisasi dan apa sahaja yang berkaitan dengan diri mesti selalu dilakukan. Bahkan amat terpuji seseorang yang mampu berlapang dada menerima nasihat, pandangan dan kritikan terhadap dirinya semata-mata untuk mengesan di mana kelemahan yang perlu diperbaiki.

Selayaknya seorang pejuang membuka ruang kepada sahabat seperjuangannya untuk memuhasabah terhadap diri dan tugas yang dipikulkan. Medan usrah adalah medan yang terbaik untuk sama-sama kita lakukan muhasabah dari berbagai sudut terutama prestasi perjuangan kita di dalam dewan pemuda. Ayuh sama-samalah kita berlapang dada.


0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons