Rabu, 25 Jun 2008

Jangan Terus Melompat- Ust Azizan -MB Kedah

ALOR STAR 24 Jun - Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak akan tetap melaksanakan rancangan untuk menebang balak di kawasan tadahan air walaupun diminta untuk mengkaji semula perkara tersebut oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Azizan berkata, Nik Aziz dianggap seperti tuan guru dan pandangan beliau amat dihargai, namun penebangan hutan di kawasan tadahan air bukan seperti yang digambarkan sehingga kawasan hutan habis digondol.

Menurutnya, orang ramai perlu berhenti memberikan pelbagai persepsi negatif mengenai keputusan kerajaan campuran negeri untuk menebang balak di kawasan tadahan air.

Katanya, beliau sendiri akan memastikan kawasan yang akan ditebang balak itu tidak akan menjejaskan biodiversiti hutan simpan terbabit.

"Jangan terus melompat tanpa mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perancangan kerajaan campuran negeri untuk menebang balak.

"Saya menghormati pandangan beliau (Nik Abdul Aziz) yang menasihati kami supaya mengkaji semula rancangan untuk menebang balak, namun keputusan untuk menebang balak tetap diteruskan," ujar Azizan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini yang meminta kerajaan campuran Kedah supaya mengkaji semula rancangan untuk menebang balak di kawasan tadahan air.

Keputusan kerajaan campuran itu yang mahu menebang balak di kawasan Hutan Simpan Hulu Muda, Pedu, Padang Terap dan estet hutan kekal Bukit Keramat serta Bukit Saiong menimbulkan kontroversi setelah menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ini kerana kawasan terbabit merupakan kawasan tadahan air bagi tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning yang turut membekalkan air ke Perlis serta Pulau Pinang. Pihak yang membantah khuatir aktiviti penebangan balak akan menjejaskan sumber bekalan air dan pertanian negeri itu.

Menurut Azizan, keputusan yang diambil adalah berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan bersama syarikat-syarikat balak yang terkemuka di dunia.

"Keputusan yang diambil bukannya satu keputusan yang membabi-buta kerana kerajaan negeri bukannya seperti sebuah persatuan biasa. Kami mempunyai pakar dalam pelbagai bidang.

"Kawasan yang akan ditebang balak bukan seperti yang digambarkan dan kita mungkin akan menggunakan teknologi kereta kabel untuk mengangkut balak dari kawasan tadahan air,'' katanya.

Azizan memberitahu, penebangan balak di kawasan tadahan air itu akan dilakukan secara berhati-hati tanpa sedikit pun mejejaskan sumber air kepada rakyat.

"Syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pemotongan balak merupakan mereka yang pakar dalam bidang ini,'' jelasnya.

Beliau mengharapkan agar semua pihak tidak bimbang mengenai perkara itu kerana rancangan itu akan dilaksanakan mengikut perancangan yang teliti tanpa menjejaskan alam sekitar.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons