Bashir Ishak Sun | May 04, 08 | 12:29:19 pm MYT | |
ALOR STAR, 4 Mei (Hrkh) - Kerajaan Kedah sedang mengkaji untuk menaikkan elaun guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini. Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak berkata beliau secara dasarnya dengan cadangan tersebut dan Setiausaha Majlis Agama Islam Kedah akan membuat kajian berapa banyak kenaikan yang terbabit. "Peruntukan yang dicadangkan ialah sebanyak RM1.6 juta. Jumlah kenaikan akan diberi mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri dalam bajet akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Persatuan Guru-Guru Darjah Khas Quran/Tajwid (SPI/KAFA) di Dewan Besar Menara Zakat dekat sini semalam. Menurutnya lagi, di Kedah terdapat seramai 2,772 orang KAFA) dan 44 orang penyelia. Terdahulu dalam ucapannya, Azizan berharap guru-guru KAFA dapat meningkatkan kualiti kerja mereka di samping memberikan penekanan terhadap anak-anak didik mereka tentang halal-haram, dosa dan pahala berikutan meningkatkan masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja. "Kena ingat, sebagai guru agama, bukannya kita sekadar mencari makan tapi yang pentingnya apa yang dibuat itu sebagai satu ibadah. Kita cari rezeki yang halal, walau gaji kecil tapi yang pentingnya berkat."Guru-guru adalah penyumbang besar kepada ummah. "Pihak kerajaan berbangga dan berterima kasih dengan pengorbanan para guru KAFA. Kerajaan sedang berfikir apakah yang terbaik yang boleh diberikan demi kebajikan para guru KAFA," ujarnya. Mesyuarat semalam dihadiri 20 perwakilan dari 10 daerah di negeri ini selain perwakilan dari Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Yang diPertua Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Dato' Sheikh Uzir Baharom |
0 komentar:
Catat Ulasan