Jumaat, 24 April 2009

Digantung kerana tegur iktiraf Israel

KULIM, 24 April: Kerana menegur aktiviti pelajar yang mengiktiraf negara haram Israel dan menggayakan pakaian sami, tujuh pensyarah dan kakitangan UniKL cawangan Kulim telah digantung tugas mereka.

Menurut sumber, pergantungan mereka berkuatkuasa 21 April hingga 4 Mei dan besar kemungkinan tiga dari mereka akan dibuang kerja.

Teguran itu mereka buat terhadap pelajar yang menyertai program menggayakan tarian keagamaan 20 negara di bawah naungan PBB.

Di antara negara yang dipilih adalah Amerika syarikat, United Kingdom, Thailand, Cambodia dan ISRAEL.

Teguran itu dibuat berdasarkan Israel adalah negara haram dan tidak diiktiraf Malaysia.

Mereka juga menegur aktiviti memperagakan pakaian sami yang tidak sesuai dibuat oleh orang Islam.

Cadangan Kerajaan Perpaduan tidak berbangkit lagi

Khairul Azlam
Tue | Apr 21, 09 | 3:12:22 pm MYT

PELBAGAI isu panas berlegar dalam masyarakat dan rakyat, amat memerlukan kupasan serta penjelasan oleh kepimpinan PAS. Jika tidak dirungkai akan berlaku kekusutan serta terbelit dalam kefahaman sesama sendiri. Justeru, wartawan Harakah Terengganu, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD mewawancara Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya, di Rusila, Marang baru-baru ini bagi mendapatkan pandangan berkenaan isu-isu yang melingkungi dalam dan luar parti.


HARAKAH: Dalam agenda membentuk 'Kerajaan Perpaduan' atau 'Government Unity', adakah PAS masih optimis untuk berunding bersama Dato� Seri Najib Tun Abdul Razak bagi merealisasikan hasrat tersebut?

USTAZ ABDUL HADI: Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan pimpinan pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka sibuk, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik.

Dalam politik ada kerajaan yang sepenuhnya, ada yang disebut'Unity Government', ada 'Coalition Government' dan ada 'Front National'. 'Front National' itulah dia Barisan Nasional (BN) yang ada pembangkang. Kerajaan campuran ini adalah antara satu parti yang memerintah dengan parti yang lain diajak sama dalam pemerintah dengan syarat-syarat yang dibuat.

Di mana kebiasaannya dia (parti) terikat, partinya terikat dengan syarat-syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan dibuat. Dan PAS berpengalaman dalam dua kerajaan iaitu Kerajaan Campuran (Perikatan) dan Kerajaan Barisan Nasional. 'Unity Government' bukan Kerajaan Campuran dan bukan Barisan Nasional. Itu kena faham. Ini kerana ada orang PAS sendiri faham masuk Barisan Nasional dan kerajaan campuran semula. Ini menandakan tidak faham 'Unity Government'.

Boleh Dato' Seri jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'Unity Government' ini?

'Unity Government' ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana 'Unity Government' ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan.

Ini kita (PAS) memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini. Di mana orang Umno tidak boleh bangkang parti dia dan kalau bangkang dia akan kena pecat. Ini termasuklah, kita membebaskan Umno itu sendiri. Ini kena faham dan dalam masa yang sama 'Unity Government' ini mestilah melakukan perubahan yang adil untuk semua rakyat. Ini termasuklah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan kehakiman, pentadbiran.

Boleh Dato' Seri kemukakan contoh-contoh apa yang dikatakan "Unity Government" yang dipakai di mana-mana? Image

Konsepnya mesti berubah dan bukan apa yang ada pada hari ini. Sebagai contoh, di Indonesia yang saya sebut tadi. 'Unity Government' di Indonesia berlaku pemisahan kuasa dengan 'SPR' atau Pemilu di Indonesia dengan badan politik. Pemisahan kuasa dengan badan kehakiman, sehingga badan kehakiman di Indonesia boleh menyeret Suharto ke mahkamah, boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke Mahkamah jika melakukan kesalahan. Ini kita (PAS) hendak bersihkan negara.

Di Israel sebagai contoh, Perdana Menteri Israel pun boleh dibawa ke mahkamah dan disiasat. Ini 'Unity Government' dan pilihan raya di Indonesia adalah pilihan raya yang berubah. Di mana Barisan Nasional tidak ada hak memonopoli TV termasuklah semua parti boleh menggunakan TV.

Tapi Dato' Seri, masih ramai orang yang tidak faham termasuk ahli-ahli PAS sendiri?

Inilah masalahnya. Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini 'unity' biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju. Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa 'Unity Government'. Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima. Oleh kerana, ramai orang tidak faham, maka, saya tarik balik cadangan saya itu. Saya tarik balik sehingga orang kita faham betul-betul.

Adakah cadangan Dato' Seri ini telah dibincangkan pada peringkat jawatankuasa tertinggi parti?

Sebenarnya, 'Unity Government' ini kita telah bincang dalam dialog politik di kalangan kepimpinan PAS Pusat. Kita telah membincangkan semua aspek. Aspek Barisan Nasional, aspek Kerajaan Campuran termasuklah 'Unity Government' dan ini juga menjadi perbincangan termasuklah aspek undi tidak percaya. Dan termasuk 'Unity Government' yang saya kemukakan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri. Ianya disokong oleh KeADILan dan DAP.

Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana, kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat 'Unity Government' dan mungkin dia (pemimpin Umno) bimbang kerana akan ada orang dia (Umno) dibicarakan di Mahkamah, maka ia terhenti.

Umno takut untuk teruskan? Image

Dia (Umno) tidak berani. Sebab itu "Unity Government' tidak jadi dan saya tarik balik cadangan saya. Saya yakin dan percaya pada suatu hari nanti orang akan terima cadangan saya, orang akan fikir balik. Apabila masa tenang balik dia (Umno) fikir balik. Apabila keadaan yang munasabah. Dan 'Unity Government' adalah untuk membuangkan orang yang bermasalah dalam negara. Ini bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga dalam pembangkang sendiri.

Apakah isu ini dijangka akan menjadi topik perbahasan hangat para perwakilan pada muktamar akan datang?

Ini akan menilai orang yang bercakap itu faham atau tidak dan dengan sebab itu, saya harap jika tidak faham usah bercakap nanti orang nampak kita tidak faham, kita jahil. Tetapi yang hendak bercakap (Unity Government) mesti yang faham.

Apakah implikasi terhadap kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan KeADILan di Bukit Selambau?

Implikasi terhadap kemenangan PAS di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah tentu kepada perkembangan politik tanah air. Sokongan kepada Pakatan Rakyat terutama kepada PAS sendiri.

Pertama, sudah tentulah terserlah jentera pilihan raya di semua tempat adalah jentera PAS yang memainkan peranan yang besar. Kedua, kerjasama yang erat antara PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Melayu memberi implikasi Islam. Di mana, kita telah berjaya memecahkan tembok pemisahan yang memisahkan antara kita dengan orang-orang bukan Islam hasil daripada kita memperkenalkan politik Islam yang terbuka kepada semua manusia bukan sahaja kepada orang Islam termasuk juga orang bukan Islam.

Adakah ini kesan langusng dari dakwah PAS selama ini?

Keadilan Islam adalah mutlak dan kita telah berjaya merealisasikan konsep ini dalam pemerintahan PAS di Kelantan dan pernah di Terengganu. Dalam masa yang singkat pemerintahan PAS di Perak dan di Kedah dan kenyataan kita di negeri Pakatan Rakyat.

Hasil dari pelaksanaan yang ringkas ini telah memberi keyakinan awal kepada orang-orang bukan Islam menyebabkan mereka bekerjasama dengan jentera PAS. Bahkan, memberi undi kepada orang-orang PAS sendiri dalam pilihan raya di Bukit Gantang dan dalam masa yang sama kita berjaya memberi kefahaman kepada akar umbi PAS tentang pelaksanaan kerjasama.

Maksud Dato' Seri, hubungan kerajsama itu makin erat dan dihayati sebetulnya dalam bentuk praktikal ...

Ya! Jentera PAS di Bukit Selambau telah memberi kerjasama yang baik untuk memenangkan calon KeADILan. Walaupun calonya dari bukan Islam tetapi mereka adalah dalam kumpulan yang bertahaluf dengan PAS dan akan memberi kekuatan kepada kerajaan yang dipimpin PAS di Kedah.

Ini sudah tentu ia memberi implikasi yang mendalam pada perkembangan politik tanah air. Maka, berlakunya satu anjakan paradigma di kalangan pengundi-pengundi muda orang Melayu Islam yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat termasuk PAS. Ini ternyata, melalui saluran-saluran orang muda seperti saluran 3, 4, 5 dan 6. Saluran ini memberi kemenangan besar kepada PAS, walaupun saluran-saluran tua masih lagi menunjukkan perubahan yang sedikit walaupun banyak isu yang berlaku.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, undi kaum Cina meningkat banyak. Apakah mesejnya itu?

Kita melihat pengundi bukan Islam telah mengundi PAS di Bukit Gantang dan memberi undi yang besar. Sebab itu, majoriti di Bukit Gantang adalah di luar jangkaan PAS. Ia di luar kiraan yang kita buat. Ini kerana, ditambah dengan pengundi-pengundi yang bukan Islam. Saya sendiri telah memberi hujah untuk mengemukakan satu senarai calon di Bukit Gantang. Dan hujah ini dibincang bersama kalangan Jawatankuasa Politik PAS Pusat, kemudian mendapat sokongan daripada pengundi muda dan bukan Islam.

Ini perubahan yang berlaku. Sudah tentu dengan perkembangan politik tanah air khususnya di Semenanjung iaitu di kawasan-kawasan rakyat mendapat maklumat, celik politik meningkat. Walaupun media arus perdana yang dikuasai kerajaan dan disalahgunakan oleh kerajaan, cuba menutup kebenaran di pihak Pakatan.

Sebab itu, tidak pelik jika di Batang Ai kita menemui kegagalan kerana itu kawasan pendalaman yang rakyat tidak mendapat maklumat. Radio dan berita pun jarang-jarang dengar, apa lagi TV dan kertas-kertas undi dibawa dengan helikopter. PAS kurang yakin dengan ketelusan, keamanahan pilihan raya itu.

Pada pengamatan Dato' Seri, bagaimana reputasi Perdana Menteri baru yang dipimpin oleh Dato� Seri Najib?

Saya anggap ini kenderaan lama yang masih lagi kebocoran tayar, kelemahan enjin dan akan lebih parah. Ia berlaku, sejak pada zaman Tun Dr Mahathir dan ini bukan baru. Image

Pada zaman Tun Dr Mahathir lagi sudah berlaku kelemahan-kelemahan ini dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memikul dengan berat penyakit-penyakit itu dan penyakit itu tidak boleh diubat. Sehingga zaman Tun Abdullah Badawi dan Najib mengambil-alih kenderaan yang sama. Cuma yang berubahnya �nakhoda�. Kapalnya �bocor� yang sama dan dibayangi gejala rasuah, dibayangi penyalahgunaan kuasa dan dibayangi oleh pelbagai jenis penyelewengan yang tidak boleh diatasi hingga ke hari ini.

Jadi, perubahan yang dijanjikan oleh Umno dengan pelantikan Dato� Seri Najib sebagai Perdana Menteri sekadar perubahan yang bersifat kosmetik. Apa komen Dato' Seri?

Begitulah! Kalau kita hendak kata secara jelas kerana sehingga hari ini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan berlaku satu perubahan yang menyeluruh. Sebab itu, kita kata tunggu. PAS akan lihat positif terhadap sebarang perubahan yang baik dan PAS akan menentang penyelewengan. Soalnya sama sahaja. Tiada perubahan bahkan lebih meningkat dari masa-masa yang lalu berdasarkan kemajuan yang dicapai.

Boleh Dato' Seri mengulas sedikit beberapa keputusan mahkamah terutama dalam kes yang berkait dengan kemelut di negeri Perak?

Sehingga hari ini, saya tidak yakin dengan kebebasan kehakiman berlaku dengan sepenuhnya di negara kita. Dan tidak ada pemisahan kuasa di antara �legislative� dengan pentadbiran, dengan kehakiman.

Tidak ada dalam erti kata yang sebenar dalam pentadbiran mengikut sistem British. Apatah lagi mengikut sistem Islam. Dan British pun banyak mengambil daripada Islam dan membekalkan sistem pemerintahan kepada negara barat. Di sini berlakunya pemisahan kuasa yang diajar oleh Nabi s.a.w. pada zaman pemerintahannya. Dan pemisahan kuasa di antara politik, kehakiman dan pentadbiran.

Sehingga Nabi kita Muhammad s.a.w. dalam mengendalikan kes dia (Nabi) dengan rakyat dibawa kepada hakim yang dilantik, yang dibebaskan bercampuran dengan Rasulullah s.a.w. sendiri. Tiada campurtangan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam kehakiman.

Ini pada zaman Khilafah dan cara ini diambil oleh British dan diamalkan di negara kita. Diamalkan pada zaman Tunku Abdul Rahman, masih ada di zaman Tun Abdul Razak dan makin lemah pada zaman Tun Hussein Onn dan zaman Mahathir lagi lemah. Semua orang tahu bagaimana bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat dan bagaimana hakim-hakim yang lain dipecat. Ini adalah gejala yang tidak sihat yang dimulakan pada zaman Tun Dr Mahathir dengan sebab itu, saya meragui zaman pemerintahan Najib yang dibayangi oleh Tun Dr Mahathir yang ada di dalamnya.

Muktamar PAS dijangka akan diadakan pada bulan Jun ini. Beberapa jawatan utama pastinya dipertandingkan. Wajarkah 'pertandingan' di peringkat jawatan tertinggi parti itu?

Ini bukan kali yang pertama berlaku sejak zaman PAS mula ditubuhkan. Zaman Dato� Asri Muda, zaman Ustaz Yusof Rawa, zaman Dato� Fadzil Noor bahkan, pada zaman saya pun berlaku dalam muktamar yang lalu. Tetapi saya yakin terdapat kematangan di kalangan ahli PAS dan saya minta kematangan ini dipelihara. Dan PAS hendaklah selamat daripada gejala-gejala politik yang tidak sihat seperti politik wang, politik ugut, politik melobi dan politik kempen yang �melampau�.

Apa yang berlaku, pertandingan atas dasar �berlumba-lumba untuk mengerjakan kebajikan� dan bukan berlumba-lumba untuk menjadi ketua dan berlumba-lumba mendapat kelebihan. Kalau berlumba untuk jadi ketua itu dilarang oleh Islam. Kalau berlumba untuk mendapat fadhilat, untuk berada di medan yang hadapan, untuk menghadapi musuh dan menjadi sasaran kepada gejala-gejala politik zalim. Itu merupakan satu petanda yang baik dan itulah yang kita harapkan berlaku dalam PAS ini.

Penilaian Dato' Seri terhadap cabaran dan harapan kepada Pakatan Rakyat yang menggabungkan kerjasama antara PAS, KeADILan dan DAP?

Harapan saya supaya Pakatan Rakyat diteruskan dan bagi PAS sendiri kita akan meningkatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebenarnya, Pakatan Rakyat ini ditaja oleh PAS sejak zaman kita (PAS) bersama dengan Parti Melayu Semangat 46. Kemudian, lebih meningkat lagi dengan Barisan Alternatif (BA) pada zaman Ustaz Fadzil Noor dan pada tahun 2004-2008 ianya menjadi lebih matang lagi.

Dan kita mengharapkan mantap lagi pada masa yang akan datang. Harapan saya 'Pakatan Pembangkang' ini tidak berpecah. Kita bersatu dalam menghadapi �Pakatan Kerajaan� dan berlakunya dua parti dalam negara itu lebih sihat dan tidak banyak memecahkan rakyat.

PAS bersikap anjal atau fleksibel dalam menangani kerjasama di atas prinsip Islam dengan PAS tidak menjual prinsip dan PAS tidak memaksa parti-parti lain dalam pakatan menjual prinsip tetapi kita (PAS) boleh bekerjasama dalam perkara yang sama atau titik persamaan yang satu di antara kita bagi membuat perubahan ke arah yang adil, menentang kezaliman. Di mana menegakkan yang adil dan menentang yang zalim merupakan perkara sejagat yang kita tidak berbeza antara satu sama lain.

<>Sejak mutakhir ini dilihat kecelaruan berlaku dalam politik Umno-BN, bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara. Apa yang Dato' Seri boleh simpulkan?

Saya tidak mahu campurtangan banyak dalam hal Umno. Pengamatan saya dari luar itu lebih bersifat perlumbaan untuk merebut kepentingan. Royalti akan dipulangkan balik kepada Terengganu. Ini sudah tentu banyak projek yang akan mencurah di Terengganu melalui royalti yang akan dipulang-balik itu. Mereka merasakan mereka tidak berpeluang lebih banyak melalui projek-projek ini, akan berrsikap haloba untuk mendapat kuasa itu. Kepada saya ini suatu gejala yang tidak baik bagi negeri Terengganu, cukup dengan berlakunya projek-projek haloba dari tahun 1978 hingga 1998.

Ketika PAS berkuasa dulu, macam mana PAS betulkan kepincangan ini?

Apabila PAS cuba hendak buat pembetulan, kita telah dicantas melalui politik yang kotor. Daftar pemilih yang terlalu besar jumlah sehingga tidak padan dengan penduduk di negeri Terengganu. Dan kita sabar menghadapi karenah itu. Kita tidak bertindak liar. Bahkan, saya pernah sebut di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), PAS pernah bersabar selama 40 tahun. Dari tahun pilihan raya 1959, kita menang dan kita jatuh. Kita tunggu hingga pilihan raya 1999 (40 tahun). Kita boleh sabar, kerajaan PAS jatuh di tengah jalan dalam tahun 60-an. Kita sabar dan kita menunggu sehingga PAS menang tahun 1999. PAS pernah diguling tahun 2004 dengan cara yang begitu rupa dan kita bersabar.

Kita balik dengan lapan kerusi semula dan kita sabar menghadapi karenah-karenah ini. Saya percaya mereka (pemimpin) yang rakus dalam Umno tidak bersabar dalam melihat perubahan ekonomi yang akan berlaku bagi kepentingan puak masing-masing tanpa mengira dunia ditenggelam oleh gejala dan krisis ekonomi yang parah. Sudah tentu Terengganu yang duduk dalam Malaysia akan menerima kesan yang sama. Sepatutnya, kita berfikir bagaimana untuk mengatasi masalah rakyat dan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Bukan kita berebut untuk mendapat projek dan merasakan kuasa politik yang ada ini boleh menghalang di kalangan tertentu mendapat projek dan berlakulah pergolakkan itu.

Pakatan Rakyat sekali lagi bakal berdepan dengan pilihan raya kecil di Dun Penanti Pulau Pinang, ekoran pengosongan kerusi Adunnya, Mohamad Fairus Khairuddin daripada KeADILan. Apa harapan Dato' Seri?

PAS bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Sebenarnya, PAS mempunyai cawangan yang banyak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dan kawasan itu juga adalah �kubu� kuat PAS.

Insya-Allah, jentera PAS akan lebih baik daripada Bukit Gantang dan lebih baik daripada Bukit Selambau. Apatah lagi, PAS pernah menghadapi pilihan raya di Permatang Pauh. Di mana, Dun Penanti berada dalam Parlimen Permatang Pauh dan kita mengganggap ini satu latihan yang paling baik bagi PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. - azm_

Haji Hussin Rahimi: Ketua Ulama PAS pertama

Mohd Fadli Ghani
Thu | Apr 23, 09 | 12:32:57 pm MYT

SALAH seorang ulama PAS yang terkenal pada era 1960-an ialah Tuan Guru Hussin Rahimi, iaitu tuan guru di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung, Kelantan.


Tuan Guru Haji Hussin yang menyertai PAS pada 1954 iaitu sebaik sahaja PAS membuka sayapnya di Kelantan ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum diambil alih oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1968. Ini bermakna Tuan Guru Haji Hussin ialah salah seorang pemimpin kanan PAS ketika itu, selain pernah menjadi wakil rakyat di Kota Bharu sebanyak dua kali iaitu pada 1959 dan 1964.

Nama sebenar beliau ialah Hussin Rahimi bin Saman bin Abdul Rahman. Di sebelah bapanya, Tuan Guru Haji Mat Saman merupakan seorang ulama yang terkenal di Pasir Puteh dan pernah belajar di Makkah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau terkenal dengan gelaran Haji Mat Saman Jawi kerana mahir kitab Jawi dan gelaran itu melekat padanya ketika berada di Makkah untuk dilaqabkan dengan nama beliau yang berasal dari Tanah Jawi (Nusantara).

Haji Mat Saman membuka pondok di Tebing Tinggi, Pasir Puteh dan juga di Kok Berangan, Pasir Puteh, Kelantan. Ibunya pula, Hajjah Che Mas atau Halimah binti Haji Sulaiman bin Abdul Ghafur ialah anak kepada seorang ulama, Tuan Guru Haji Sulaiman atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Ayah Sulaiman Keramat, pengasas Pondok Pasir Perah, Chetok, Pasir Mas. Tok Ayah Sulaiman berpangkat sepupu dengan Datok Kadok, pahlawan Kelantan yang terbilang itu.

Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada alim ulama di kedua-dua jurai keturunan, maka tidak hairanlah apabila Tuan Guru Haji Hussin yang dilahirkan di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh pada tahun 1919 turut menjadi ulama yang terkenal. Semenjak kecil beliau dididik oleh ayahnya di Pondok Haji Mat Saman, Tebing Tinggi sebelum dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Garam (Haji Ahmad Zainal Abidin) di Pondok Gong Datuk.

berguru dengan anak Tok Kenali

Setelah usianya meningkat remaja, beliau dimasukkan pula ke Pondok Kenali yang membolehkannya berguru dengan anak Tok Kenali, Tuan Guru Haji Mat Bangkok (ayah kepada bekas Adun Lundang, Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad) dan juga Tuan Guru Haji Mat Jebeng, anak saudara Tok Kenali.

Pada tahun 1937, Tuan Guru Haji Hussin berpindah pula ke Pondok Bunut Payung dan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di pondok ini beliau mentelaah selama 10 tahun sehingga diterima oleh gurunya untuk menjadi guru pembantu bersama-sama Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Wahid Sungai Udang (Ketua Ulama PAS Melaka), Tuan Guru Hassan Hilmi (anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir) dan lain-lain.

Ketika berada di Bunut Payung, beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab di Surau Tok Khurasan bersama-sama ulama lain ketika itu antaranya Tuan Guru Haji Nik Mat Alim (ayah Tuan Guru Nik Aziz), Tuan Guru Haji Yaakob Gajah Mati, Tuan Guru Haji Nik Lah Wan Musa dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.

Sepuluh tahun kemudian, Tuan Guru Haji Hussin bertolak ke Makkah dan mendapat sentuhan beberapa orang ulama terkenal termasuk Sheikh Yassin al-Fadani yang terkenal itu.

Berkemungkinan beliau sempat belajar di Madrasah Darul Ulum, Makkah tempat di mana Sheikh Yassin menjadi mudir itu. Beliau berada di Makkah selama empat tahun dan kembali ke Kelantan pada 1951. Oleh kerana ketika di Bunut Payung, beliau telah berkahwin dengan Hajah Che Som, anak Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, maka Hussin memilih untuk menjadi guru di Bunut Payung yang lebih besar dan terkenal berbanding pondok ayahnya di Kok Berangan, Wakaf Bunut. Beliau mengajar di Bunut Payung selama 20 tahun iaitu sehingga akhir hayatnya pada 1971.

Di samping menjadi guru di pondok ini, Tuan Guru Haji Hussin turut terlibat bersama iparnya, Tuan Guru Haji Hassan Hilmi dalam menubuhkan Madrasah Sullamiah, Bunut Payung pada 1958 iaitu sebagai sokongan kepada Pondok Bunut Payung. Madrasah ini menggunakan sistem kelas dan pelajarnya boleh menyambung pengajian di Maahad Muhammadi.

Dalam masa yang sama juga, Tuan Guru Haji Hussin cuba menghidupkan semula Jabhah ad-Diiniyah Kelantan yang diasaskan oleh adik-beradik Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dan Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad pada 1937 dahulu. Hasilnya, pada 1957, Persatuan Guru-guru Agama Rakyat Kelantan (PEGERAK) telah berjaya ditubuhkan di Bunut Payung selepas satu perjumpaan di Padang Lepai, Kadok.

PEGERAK dipimpin oleh Ustaz Hassan Idris, adik kepada Mufti Sabah, Haji Ahmad Idris. Ketika Jabhah al-Diiniah masih wujud sebelum beliau berangkat ke Makkah, Tuan Guru Haji Hussin merupakan tenaga penting yang membantu mertuanya menggerakkan jabhah tersebut.

Ekoran penyertaan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir dalam PAS pada 1954 diikuti oleh Pondok Bunut Payung menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung PAS ke-4 pada 1955, maka Tuan Guru Haji Hussin telah sama menyertai perjuangan Islam dalam PAS. Pada 1955, beliau terlibat membantu bapa saudaranya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad bertanding mewakili PAS di Pasir Mas. Akhinya pada 1959, beliau sendiri menjadi calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu Hulu dan menjadi wakil rakyat selama dua penggal berakhir 1969.

Beliau yang pernah menjadi anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, kemudian pada 1962, menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sehingga 1968. Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Hussin turut dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Agama Kerajaan Kelantan (1959-1969) dan selepas tidak menjadi wakil rakyat, beliau berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (1969-1971).

Sesudah 20 tahun memberikan jasa dalam bidang pendidikan, politik, pentadbiran awam dan agama, akhirnya pada 17 November 1971, Tuan Guru Haji Hussin meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur dalam usia 52 tahun iaitu setelah jatuh sakit selama sebulan.

Antara murid beliau yang terkenal ialah Ustaz Abdul Wahab Yunus, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat dan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Menantunya, Ustaz Yahya Othman, bekas Exco Kerajaan Kelantan yang pernah menjadi Murabbi Tarbiyah PAS dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS adalah antara waris yang meneruskan perjuangan beliau dalam PAS bagi menegakkan daulah Islam.- tajdid_

Senarai lantikan MT Umno

Tengku Adnan kekal, Ahmad Husni dilantik Bendahari Umno


Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal Setiausaha Agung Umno, demikian diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, petang ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik Bendahari manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan.


Senarai lantikan MT Umno

1. Datuk Seri Dr Rais Yatim

2. Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz

3. Senator Datuk Jamil Khir Baharom

4. Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

5. Datuk Mohd Ali Rustam

6. Tan Sri Rafidah Aziz

7. Datuk Abdul Ghani Othman

8. Datuk Seri Shahidan Kassim

9. Datuk Aziz Sheikh Fadzir

10. Datuk Kamalia Ibrahim

11. Datuk Razali Ibrahim

12. Dr Wan Norashikin Wan Nordin - Bernama


Berikut senarai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang baru:

Melaka - Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kekal)

Perlis - Datuk Mohd Isa Sabu

Kedah - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Terengganu - Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Pulau Pinang - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Perak - Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

Selangor - Datuk Seri Najib Razak

Wilayah Persekutuan - Tan Sri Muhyiddin Yassin

Negeri Sembilan - Datuk Seri Mohammad Hasan (kekal)

Johor - Datuk Abdul Ghani Othman (kekal)

Sabah - Datuk Seri Musa Aman (kekal)

Pahang - Datuk Seri Adnan Yaakob (kekal)

Kelantan - Datuk Mustapa Mohamed

Pendedahan berani Nik Abduh tentang pembantu-berpakaian serba tahu

Jumaat, 2009 April 24


DI MEJA makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam-macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah-mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hadi Awang.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama Tok Guru Hadi Awang, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada Tok Guru Hadi Awang. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi Tuhan!? Semoga Allah melaga-lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan Tok Guru Hadi Awang. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing-masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TOk Guru Haji Hadi, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji Tok Guru Haji Hadi. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan Tok Guru Haji Hadi di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tok Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda. - Catatan Ustaz Nik Abduh ( Anak Tok Guru Nik Abdul Aziz)

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons