Selasa, 16 Jun 2009

Ulama PAS Kedah kecam tragedi berdarah Thailand

Izwan Abdul Halim
Tue | Jun 16, 09 | 12:22:46 pm MYT

ALOR SETAR, 16 Jun (Hrkh) - Dewan Ulama PAS Negeri Kedah (DUPNK) menyifatkan tragedi berdarah yang terus berlaku di wilayah bergolak di Selatan Thailand bertitik tolak dari isu ketidakadilan.

Setiausahanya, Ustaz Muhd Zainal Asri Romli berkata, wilayah tersebut yang merupakan sebahagian daripada Tanah Melayu telah dipisahkan secara tidak adil melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.

Mengikut rekod sejarah perjanjian tersebut, wilayah yang berada di bawah Kerajaan Melayu Pattani itu telah disahkan sebagai jajahan Siam tanpa Kerajaan Melayu Pattani diajak berunding. Manakala Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan kepada pihak British.

"Bila berlaku proses sedari awal lagi berbentuk kezaliman, maka berlakulah penentangan rakyat yang tidak berkesudahan. Isu ini mudah kita faham contohnya sepertimana di Perak, bila mana asasnya ketidakadilan, akan berlakulah proses penentangan rakyat kepada kerajaan," ujar beliau ketika diminta mengulas tragedi tersebut, 14 Jun lalu.

Katanya, jika Kerajaan Thailand menganggap dengan bertindak secara kekerasan dapat memadamkan kebangkitan rakyat di Selatan Thai, maka tanggapan itu silap sama sekali.

"Pada kita walaupun masih belum dikenalpasti dalang yang bertindak kejam ini, tetapi seolah-olah terdapat cubaan untuk menghapuskan etnik.

"Dengan bertindak sekejam begitu rupa, kita merasa syak kepada pihak berkuasa Thailand berdasarkan cara serangan dan senjata digunakan. Dalam isu yang berlaku ini juga, Kerajaan Thailand tidak boleh melepas tangan sebaliknya mengambil tanggung jawab untuk menangani isu tersebut dan meredakan kemarahan rakyat," tegasnya.

Menurut Zainal, DUPNK berpandangan, alasan untuk bertindak dengan kekerasan kerana menuduh umat Islam di Selatan Thai sebagai pengganas adalah satu keterlaluan.

Katanya lagi, wilayah Selatan Thai juga telah dianaktirikan berbanding wilayah-wilayah lain di Thailand. Oleh itu ujar beliau, sekiranya Kerajaan Thailand tidak kembali kepada prinsip keadilan, maka akan timbul simpati lebih besar dari umat Islam seluruh dunia.

Melanjutkan ulasan beliau menjelaskan, umat Islam di Selatan Thai juga pernah berjuang menghalau tentera Jepun ketika Jepun memasuki negara Siam satu ketika dahulu.

"Mereka (umat Islam Selatan Thai) mengharapkan British akan tolong mereka untuk menghalau Siam dari wilayah mereka. Ini tak mungkin berlaku! Kerana kita (dalam perjuangan Islam) tidak boleh bergantung kepada kuasa besar untuk menjamin keselamatan atau menyokong perjuangan kita," ujarnya mengungkap iktibar.

Tegasnya, di atas paksi perjuangan Islam, DUPNK mengambil sikap menyokong perjuangan rakyat serta mendoakan perjuangan ini akan mendapat kejayaan dan kemenangan suatu hari nanti.

DUPNK juga tegas beliau, mendesak Kerajaan Malaysia untuk menjadi pihak tengah bagi melepaskan umat Islam di Selatan Thai dalam isu tersebut.

Katanya, langkah yang boleh diambil Kerajaan Malaysia adalah dengan bertindak melonggarkan undang-undang kemasukan di sempadan Selatan Thailand dan juga memberikan suaka politik kepada umat Islam terbabit.

Kerajaan Malaysia tegasnya, tidak boleh terlalu bias kepada hubungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan, tetapi mesti cenderung kepada keadilan dengan memberi kelonggaran tersebut.

Selain itu, DUPNK juga ujarnya, mahu Kerajaan Malaysia mendesak Pertubuhan Persidangan Islam Sedunia (OIC) agar lebih serius menangani isu keselamatan umat Islam misalnya dengan membentuk segera pasukan tentera pengaman OIC.

"Kesimpulannya, DUPNK ingin tegaskan, ini adalah isu ketidakadilan. Bila ketidakadilan menjadi asas kepada perjalanan satu-satu proses, yang berlaku adalah penentangan. Jadi ianya tidak akan berakhir selagi wilayah itu tidak dikembalikan kepada pribumi asal," ujarnya mengakhiri pendirian.

Dalam kejadian terbaru pada 8 Jun lalu, seramai 11 terbunuh dan 19 cedera dalam satu serangan ganas ke atas Masjid Al-Furqan, Kampung Air Payang, Narathiwat ketika para jamaah sedang solat Isyak. Manakala pada 13 Jun kelmarin, seramai 6 nyawa lagi terkorban setelah diserang pihak tidak dikenali. - azm _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons