Jumaat, 17 Julai 2009

Sepintas lalu sekolah SAIF


Alamat : SEKOLAH INTEGRASI FAIZIN, Guar Cempedak. 08800 Gurun, Kedah Darul Aman : Malaysia

Moto : “Kejayaan Dunia dan Akhirat”

SEKOLAH INTEGRASI AL-FAIZIN (SAIF)سكوله إينتكراسي فائزي


Sekolah yang diberi nama Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) ini dilahirkan tanggal 4 Ogos 2005 di bawah naungan Muassasah Darul Ulum, diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

SAIF ditubuhkan hasil daripada pengemblengan tenaga pemuda, masyarakat setempat, para intelektual yang inginkan penggabungan atau kesepaduan pedidikan agama, sains, tahfiz dan teknik pembelajaran dan pengajaran yang terarah.

Lokasinya yang strategik di pekan Guar Chempedak (sila rujuk peta carian) dan mempunyai prasarana dan kemudahan yang lengkap di mana ianya adalah bekas tapak Cawangan Madrasah Taufikiah Al-Khairiah Al-Halimiah. Sesi persekolahan pertama SAIF bermula pada 1 Januari 2006.

Antara sasaran utama SAIF ditubuhkan ialah :

1. Memartabatkan budaya Bahasa Al-Quran (Lughatul 'Arabiyah) sebagai bahasa pengantarnya.Semua warga SAIF berusaha untuk menguasai pertuturan Bahasa Al-Quran dalam semua masa dan ketika berada di SAIF.


2. Mempelbagaikan bahasa penggunaan termasuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang amat penting dalam dunia hari ini.


3. Mengukuhkan kefahaman Islam dan semangat ukhuwwah melalui usrah yang dilaksanakan dengan lebih bersistematik dan berkesan.


4. Mengemaskini kurikulum melalui pengajaran dan pembelajaran secara islamik. Para pendidik mengembleng tenaga bagi membina modul pembelajaran yang menepati falsafah SAIF, bermatlamat penerusan warisan ulama’ yang terdidik dan terarah hasil dari proses pengajaran, pembelajaran berteraskan prinsip dakwah serta tarbiyyah dari bimbingan guru-guru, pentadbir yang komited dengan ajaran Islam.

Sistem pengajian yang digunapakai SAIF hampir sama dengan persekolahan sekolah rendah kebangsaan, iaitu bermula daripada tahun satu hingga tahun enam. Sistem pengajiannya menggabungkan tiga sukatan pelajaran teras iaitu ad-din, akademik dan juga tahfiz.


* Agama dan Bahasa Arab - Sukatan pelajaran bagi kedua-dua kurikulum ini merujuk kepada sukatan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Yayasan Islam Kedah (YIK), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan silibus sekolah Bestari.

* Akademik - Sukatan pelajaran bagi mata pelajaran akademik berdasarkan sukatan Pelajaran Malaysia .

* Tahfiz Al- Qur’an - Sukatan pelajaran tahfiz ditentukan oleh pihak Lembaga Tadbir SAIF .

* Sukatan Tambahan - SAIF turut menyediakan pakej tambahan kepada para pelajar untuk mengikuti pengajian Qiraati dan berkomunikasi dalam Bahasa Arab dan Inggeris serta Bahasa Mandarin yang bersesuaian dengan tahap kemampuan pelajar .

Sekarang Sekolah Integrasi Al-Faizin memerlukan sedikit derma ikhlas untuk pembinaan Bangunan baru 3 Tingkatnya yang dianggarkan bernilai RM 600,000 yang boleh saudara keluarkan sama ada dalam bentuk zakat, wakaf atau pun infak. PROGRAM DANA UMMAH juga dengan ini ingin sama-sama membantu bagi merealisasikan impian murni ini. Wangpos dibayar atas nama 'TABUNG PEMBANGUNAN SAIF' dan melalui penyertaan saudara ke program ini, secara otomatik saudara telah menderma untuk sama-sama memanjangkan sinar pendidikan Islam. InsyaALLAH. Sumbangan anda juga boleh dimasukkan terus ke Bank Islam No. Akaun 02084010028830


PENCAPAIAN :

1. Menjadi tuan rumah Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke 47 pada 5 dan 6 Jun 2006.

2. Sekolah kedua milik DPPNK selepas SRIDU ditubuhkan pada ogos 2005

PETIKAN DARI BERITA HARAKAH

Oleh HELMI KHALID
ALOR STAR, 11 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) maju setapak lagi dalam bidang pendidikan apabila bakal membuka Sekolah Integrasi Faizin (Saif) bermula awal sesi persekolahan 2006 nanti.

Ini diumumkan Ketuanya, Musoddak Haji Ahmad yang begitu komited bahawa Saif bakal berdaya saing serta mendapat sambutan terutamanya di kalangan ahli-ahli PAS.

Sejak awal 90-an lalu, DPPNK telah pun berjaya melalui penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (Sridu) di Tandop, dekat sini yang kini mempunyai aset bernilai melebihi RM2 juta.

Saif bakal beroperasi di Pekan Guar Cempedak, Jerai, menggunakan bekas Madrasah At-Taklimiah Al-Halimah (Lelaki) atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya.

3. Menjadi tuan rumah Ijtimak Unit Amal Kedah pada 26 Januari 2008

gambar kebakaran SAIF





SEKOLAH INTEGRASI FAIZIN (SAIF) TERBAKAR PAGI TADI

Guar Chempedak,

Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak telah terbakar pada jam 10.00 pagi tadi. Kebakaran melibatkan bangunan yang menempatkan Pejabat Pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir, bilik guru, perpustakaan, dan dua buah bilik darjah.Keseluruhan bangunan musnah. Turut musnah ialah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit dan mesin potostate yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dna kaunter serta beberapa buah almari dan 65 unit meja dan kerusi murid.

sebanyak 1 jentera bomba dari Guar Chempedak dan 14 jentera bomba sukarela termasuk dari bomba sukarela Bukit Pinang tiba bagi membantu usaha memadam kebakaran. Kebakaran dapat dikawal dengan baik dan bangunan surau dan asrama pelajar yang berada disebelah bangunan tersebut dapat diselamatkan. Pihak bomba menganggarkan kerugian sebanyak RM550 ribu.

Ketika kejadian Ust Musoddak Hj Ahmad, Pengerusi Lembaga Tadbir sedang berada dalam pejabat melakukan kerja pentadbiran apabila diberitahu oleh beberapa orang murid tentang kepulan asap yang banyak dalam bilik darjah, beliau terus bergegas ke tempat tersebut dan mendapati api telah mula marak. Dalam kesempatan masa itu mereka mula meyelamatkan barang yang sempat dibawa keluar.

Pihak Lembaga tadbir telah mengadakan mesyuarat tergempat jam 1.00 petang tadi dan memutuskan memberi cuti kepada semua pelajar sehingga 27 Julai ini. Bagi menggantikan dua buah bilik darjah yang musnah pihak sekolah akan memasang khemah sebagai bilik darjah sementara. Pejabat sementara sekolah akan ditempat ditingkat bawah bangunan Tabung Haji yang bersebelahan dengan sekolah.

Pihak sekolah merayu sumbangan orang ramai supaya dapat menghulurkan bantuan segera bagi membeli kelengkapan bilik darjah yang musnah supaya pembelajaran dapat ditersuakn seperti biasa. Sebanyak 65 buah unit meja murid diperlukan , 2 unit white board diperlukan.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam : Tabung Pembangunan SAIF no akaun 02084010028830.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi ust Musoddak Hj Ahmad, Pengerusi Sekolah 012 4827563 atau Ust Mohamad Ismail, Setiausaha Lembaga tadbir 019 4227323.

Selasa, 14 Julai 2009

TAHNIAH KEPADA CALON PAS MANEK URAI

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengucap tahniah kepada calon PAS Dun Manek Urai Sdr Fauzi Abdullah (Abe Uji)yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti 65 undi. Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah juga mengucap tahniah kepada Jentera Pilihanraya PAS Kelantan dan semua petugas pilihanraya yang bertungkus lumus memastikan kemenangan ini.

Keputusan rasmi: PAS menang di Manek Urai!

Lanjusoh

Terkini|MANEK URAI, 14 Julai (Hrkh) - Keputusan rasmi, PAS menang dengan majoriti 65 undi. PAS mendapat 5,348 undi manakala BN mendapat 5,283 undi.

9.00 malam:Keputusan rasmi PAS menang dengan kelebihan 65 undi mengalahkan BN di Manek Urai. Kelihatan di pusat penjumlahan undi adalah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Tiada pemimpin Umno kelihatan di sini.

8.35 malam: Keputusan tidak rasmi PAS menang dengan majoriti 64 undi dan BN telah memohon untuk membuat kiraan semula.

8.15 malam:Berdasarkan pada penjumlahan undi melibatkan lima pusat mengundi, PAS mendahului dengan 3,471 undi manakala BN pula 3,262 undi. Perbezaan ialah 209 undi.

8.10 malam: Ketika ini PAS sedang mendahului dengan 308 undi; PAS: 1,962; Umno: 1,654.

7.55 malam: Keputusan tidak rasmi ketika ini, PAS menang dengan 70 undi namun dijangkakan kiraan semula akan berlaku.

7.35 malam: Berita tidak rasmi dimaklumkan di markas PAS di Manek Urai bahawa PAS menang dengan majoriti 70 undi.

7.10 malam: Para petugas media termasuk SPR sedang menunggu ketibaan peti-peti undi di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1.

7.00 petang: Laungan takbir bergema apabila calon PAS hadir di kawasan markas. Ketika ini, para penyokong sedang berkumpul bagi menantikan keputusan pilihan raya.

6.30 petang: Para penyokong mula memenuhi kawasan markas dan kempen Manek Urai. Ramai yang melahirkan keyakinan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah akan menang.

Terdahulu, Pengarah PIlihan raya Kelantan, Abdul Fatah Harun melahirkan keyakinan PAS akan menang dengan majoriti sekitar 2,000 undi.

6.00 petang: Petugas dan sukarelawan PAS kelihatan sedang mengalihkan kenderaan daripada kawasan markas di Manek Urai agar para penyokong dapat berkumpul di situ untuk mengikuti perkembangan dan keputusan pilihan raya.

Kelihatan papan layar yang besar juga ditempatkan di kawasan markas.

5.45 petang: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan telah meninggalkan kawasan Manek Urai.

5.30 petang:Berlaku kesesakan yang teruk di kawasan Manek Urai sehingga ke Kuala Krai. Pusat penjumlahan undi terletak di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

5.00 petang: Pusat pengundian ditutup dan bermula proses pengiraan undi. Sebanyak 87.33 peratus telah keluar mengundi iaitu sejumlah 10,736 daripada 12,293 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil ini. SPR menjangkakan keputusan akan diketahui seawal jam 8 malam.

Peratusan keluar mengundi dalam PRK ini adalah lebih 86 peratus dan mengatasi jangkaan SPR iaitu sebanyak 85 peratus.

4.00 petang: Peratus keluar mengundi sehingga jam 4 tadi sudah mencecah 86.4 peratus atau 10,626 pemilih.

3.40 petang: Sehingga jam 3 petang, seramai 10,312 pengundi (83.8 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka. SPR turut mengesahkan belum ada pusat pengundian yang ditutup dan ia hanya akan ditutup pada pukul 5 petang.

3.10 petang: Setakat pukul 2 petang, seramai 9,845 pengundi (80 peratus) telah menunaikan tanggungjawab mereka.

2.15 petang: Beberapa pemerhati daripada MAFREL turut hadir di setiap peti undi bagi memantau perjalanan pilihan raya kecil Manek Urai.

2.00 petang: Tinjauan ke pusat mengundi di SK Sungai Peria mendapati keadaan agak lengang disebabkan pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka sejak awal pagi. Kesesakan lalulintas yang agak teruk berlaku di Kampung Peria menuju ke Manek Urai baru. Bagaimanapun, pihak polis dapat mengawal lalulintas.

Dilaporkan lebih kurang 300 penyokong PAS dan BN dilaporkan bertembung di pusat membuang undi SK Peria dekat kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh polis dan empat buah trak unit tindakan ringan diletakkan di situ bagi meningkatkan keselamatan.

Beberapa orang penyokong di kalangan kedua-dua parti dilaporkan cedera.

1.30 petang: Jumlah yang telah keluar mengundi adalah sebanyak 75 peratus sehingga jam 1.15 petang tadi. SPR menjangkakan sebanyak 85 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

12.30 tgh: Semua kenderaan terutamanya yang menggunakan jalan raya Kuala Krai-Gua Musang telah dilencongkan ke jalan-jalan kampung bagi mengurangkan kesesakan.

12.00 tgh: Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68 peratus.

11.45 pagi: Ketua Polis Kelantan, Dato' Abdul Rahim Hanafi menggesa orang luar tidak menggunakan Jalan Kuala Krai-Gua Musang jika tiada urusan penting bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

11.35 pagi: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat pondok panas PAS di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

11.30 pagi: SPR mengesahkan sudah 55 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

11.15 pagi: SPR mengesahkan sehingga jam 11 pagi tadi sebanyak 40 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.

11.00 pagi:Sekumpulan penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR dengan menggunakan pelekat SPR dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.

Pihak polis kemudiannya campurtangan dan mengesahkan mereka bukan 'pegawai SPR' dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

10.30 pagi: Peratus keluar mengundi setakat ini adalah 4,706 pengundi (38.3 peratus) dan disahkan oleh SPR.

9.45 pagi: Kekecohan berlaku apabila berlaku pertembungan antara penyokong dan peraih undi BN dan PAS di kawasan SK Manek Urai Baru. Namun, keadaan terkawal apabila pihak polis berjaya mententeramkan keadaan.

9.30 pagi: Sehingga jam 9 pagi, SPR mengesahkan sebanyak 1,932 pengundi (15.7 peratus) telah keluar mengundi.

9.15 pagi: Rombongan Tuan Guru Nik Aziz, Presiden dan calon PAS kini berada di kawasan Peti Undi Sg Sok.

8.30 pagi: Jalan mula sesak. Kenderaan dan anggota polis dilihat hanya mengiringi pemimpin dan VIP daripada BN dan tidak kelihatan anggota yang bertugas mengawal jalan raya.

8.15 pagi: Kelihatan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengiringi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah meninjau di kawasan Peti Undi Peria.

8.00 pagi: Pusat pengundian mula dibuka. Semua kawasan pengundian hangat dengan kehadiran para pengundi dan kenderaan.

7.30 pagi: Kenderaan mula sibuk dan jalan sekitar Dun mula sesak dengan kenderaan.Bendera PAS dan Pakatan Rakyat kelihatan di merata tempat sehingga ke Pekan Kuala Krai dan Kota Bahru.

Berita sebelum ini

Sembilan pusat pengundian dibuka untuk pilihan raya kecil itu melibatkan 27 saluran dalam proses yang diselia pegawai dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Adnan Hussin, yang juga Ketua Jajahan Kuala Krai.

Sebahagian besar daripada 12,293 pengundi, kecuali 25 pengundi pos, dijangka keluar awal untuk memilih wakil rakyat baru bagi menggantikan penyandangnya Ismail Yaacob yang meninggal dunia pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.

SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Pengundian akan ditutup pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua sembilan pusat mengundi terbabit.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai dan keputusannya dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini. - mks.

Ahad, 12 Julai 2009

KEDAH SEJAHTARA

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pergolakan politik di Kedah baru-baru ini memang menarik perhatian ramai. Sebagai salah sebuah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Mac 2008, apa jua perkembangan di Kedah dilihat berupaya mempengaruhi kecenderungan pengundi di peringkat nasional, seterusnya boleh membayangkan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Hasrat untuk melihat Pakatan retak dan berpecah tidak kesampaian. Pemimpin Umno-BN terpasa menggigit jari kempunan. Isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar, mungkin bagai tiupan angin kencang yang hanya meneguhkan lagi akar mengikat bumi.

Pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati antara pimpinan PAS, KeADILan dan DAP diharap dapat merumuskan gerak langkah yang lebih mantap, di samping mengenal pasti wilayah sensitif yang adakalanya mudah dilupakan.

Negeri yang pernah melahirkan dua perdana menteri dan seorang presiden PAS - yang dikagumi kawan dan lawan itu - disifatkan agak terlewat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sebelumnya dikenali sebagai Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah dan PAS secara solo.


Pemerhati politik menyifatkan sejak kebangkitan PAS dalam pilihan raya umum 1969, yang menyaksikan antara lain calon Perikatan, Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abdul Rahman tewas mengejut, majoriti pengundi Melayu dianggap sentiasa lebih memihak parti Islam itu. Penyelamat BN hanyalah pengundi bukan Melayu.

Keadaan berubah dalam pilihan raya umum ke-12. Kemenangan awal calon PAS mula dikesan di kawasan yang jumlah pengundi bukan Melayunya agak signifikan. Ada kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PAS pada 1999 tetapi kali ini tewas. Akhirnya PAS membentuk kerajaan bersama KeADILan dan kemudiannya DAP turut dilibatkan, walaupun tidak mendapat peruntukan kerusi Exco.

Hal sama berlaku di Pulau Pinang apabila DAP menerajui kerajaan dengan majoriti lebih selesa dan Adun tunggal PAS juga tidak diberi jawatan Exco. Bagaimanapun keadaan itu tidaklah sampai menggugat persefahaman dalam Pakatan.

Keunikan politik Kedah

Kebijaksanaan PAS mengemudi kerajaan negeri teruji di Kedah, sebuah negeri yang berbeza dari segi komposisi penduduknya berbanding Kelantan dan juga Terengganu.

Justeru, MenteriBesar Ustaz Azizan Abdul Razak, seperti pernah diakui oleh Dr Mahathir sendiri, begitu cermat dan berhati-hati untuk melakukan perubahan, dan bagi bekas PM itu, ia menyukarkan peluang BN untuk menawan semula Kedah.

Mungkin sesetengah kalangan agak tidak sabar untuk melihat pembaharuan, atau sekurang-kurangnya suatu kelainan ketara berbanding pemerintahan BN. Namun, Ustaz Azizan pastinya sudah merencana pendekatan terbaik agar kepentingan rakyat tidak terjejas, kestabilan politik terus utuh dan kemenangan dapat dipertahan. Apatah lagi ada pihak meramalkan, selepas 'rampasan kuasa' di Perak, ia mungkin berjangkit ke negeri Kedah.

Bukan sedikit usaha dan gerak diatur bagi memburukkan kerajaan Kedah. Isu babi dan hubungan PAS-DAP hanya senarai hujung daripadanya. Mungkin melalui media, ia seperti bergegar tetapi di peringkat akar umbi rakyat tidak mudah dipengaruhi tuduhan sensasi.

Malah, difahamkan pengarang akhbar-akhbar milik Umno-BN di Kuala Lumpur hadapi kesukaran untuk 'memaksa' wakil mereka di Alor Setar untuk memanipulasi berita Kedah, khususnya yang membabitkan menteri besar. Ini disebabkan wartawan-wartawan negeri 'malu alah' dengan Ustaz Azizan sendiri.

Bagi PAS, Kedah adalah pengalaman terbaik untuknya menunjuk teladan merintis kejayaan di negeri-negeri yang lain. Petugas PAS Kedah misalnya dikenali sebagai pekerja terbaik dalam hal-ehwal pilihan raya. Komitmen mereka juga sudah teruji dalam beberapa insiden tragis yang menelan korban nyawa. Semoga kemenangan tidak merencatkan istiqamah mereka.

Dan, jika sokongan pengundi bukan Melayu dapat dipertahan terutama melalui urustadbir kerajaan yang antirasuah dan mesra rakyat, serta kepemimpinan Ustaz Azizan dapat menambat hati lebih ramai masyarakat Islam, maka impian BN untuk merebut kembali Kedah, seperti dibayangkan Dr Mahathir, tentu bertambah sukar dan kelam.

Jika institusi menteri besar dalam BN sarat dengan daki rasuah (ya, dengan mudah kita dapat menamakan daripada Rahim Tamby Chik, Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Isa Samad, Khir Toyo, Khalil Yaakob dan banyak lagi) tetapi dalam PAS, seperti ditunjukkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abdul Hadi Awang dan kini Ustaz Azizan (juga tidak lupa Ir Mohamad Nizar Jamaluddin), ia tetap tidak tercemar.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons