Rabu, 24 November 2010

Teks Usrah bulan November


TARBIYAH RUHIYAH

Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;

1 )  Kedudukan tarbiyah ruhiyah di dalam Islam.

2 )  Matlamat dan tujuan utama penyucian hati.

3 )  Kaedah dan syarat penyucian hati.

4 )  Kewajiban ahli PAS melaksanakan program penyucian hati.


Muqaddimah

Tarbiyah ruhiyah adalah satu proses pemeliharaan kesucian diri atau proses pengembalian kesucian diri atau menambah sinaran cahaya kesucian dalam usaha mencapai kejayaan menuju Allah subhanahu wa taala.

Firman Allah taala yang bermaksud;

“ 7. Demi diri (nafs) manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).
8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada ketaqwaan.
9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. Dan sesungguhnya musnahlah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran syirik dan maksiat).”

Surah al Syams: 7-10

Tarbiyah ruhiyah adalah asas kepada seluruh program tarbiyah Islamiyah. Ini kerana Islam mengajar dan mendefinisikan segala kebahagian manusia di dunia dan akhirat mestilah bermula daripada hati yang sejahtera daripada sebarang penyakit dan kecacatan.

Justeru kejayaan individu muslim dan gerakan Islam di dalam semua bidang adalah bergantung dan terikat dengan kesungguhan dan keutamaan yang diberikan kepada program ‘kembali kepada hati’ seperti yang diajar oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.     


Visi Tarbiyah Ruhiyah

Mencapai kejayaan dalam hidup menuju Allah subhanahu wa taala ( al-Muflihuun ).


Misi Tarbiyah Ruhiyah

Menjadi hamba yang mampu melaksanakan perintah Allah subhanahu wa taala dan meninggalkan segala laranganNya ( al-Muttaqiin ) atau dengan kata lain menjadi hamba yang berupaya membina Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.


Matlamat

Menggolongkan diri sebagai hamba yang hampir dengan Allah subhanahu wa taala (al-Muqarrabiin) bagi memperolehi apa yang diingini dan mendapat perlindungan hakiki daripadaNya.


Objektif

A )  Memindahkan nafsu yang kotor ( bergelumang dengan syahwat atau keinginan selain Allah ) agar menjadi jernih ( suci ikhlas hanya kepada Allah ).

B )  Mengubah cara berfikir tidak syar ‘ie menjadi syar’ie

C )  Menukar hati yang kufur, munafik, fasik dan keras menjadi sejahtera dan tenang


Kaedah Tarbiyah Ruhiyah

Oleh kerana permasalahan ruh adalah rahsia Allah, maka pembinaannya mestilah sepenuhnya bergantung kepada petunjuk daripadaNya melalui pengajaran RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Justeru penyucian jiwa dengan kaedah yang tidak digali daripada al Quran dan al sunnah adalah tertolak dan akan membawa kepada kesesatan yang nyata.

Usaha pemindahan, perubahan dan penukaran tersebut tidak akan berlaku melainkan mestilah melalui kaedah mujahadah, sebagaimana penegasan Allah subhanahu wa taala dalam firmanNya yang bermaksud;

“69. Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”

Surah al Ankabut;69

Mujahadah adalah wasilah untuk mendapat penyuluh hati menuju Allah dan hidayah yang  merupakan permulaan ( muqaddimah ) bagi memperolehi sifat taqwa.

Kedua - duanya iaitu mujahadah dan hidayah tidak akan sempurna melainkan dengan persetujuan  ( taufiq ) dan pertolongan (inayah) Allah subhanahu wa taala.


Peringkat Mujahadah

A )  Penyucian daripada kufur dan syirik

Penyucian daripada kufur dan syirik dengan iman dan tauhid serta pengakuan bahawa nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam itu pesuruh Allah. Bagi meningkatkan iman hendaklah sentiasa menambah ilmu dan   mempertingkatkan zikir ( dua rukun perjalanan menuju Allah ).

o    untuk meningkatkan makrifat kepada Allah
o    untuk meningkatkan rasa takut dan gerun kepada Allah (taqwa)
o    untuk meningkatkan kesungguhan amal (mujahadah kedua) sehingga sanggup mengorbankan apa saja demi Allah swt.

B )  Penyucian daripada dosa - dosa

Penyucian daripada dosa - dosa dengan melaksanakan furudh al wakti ( kefardhuan semasa ) dan adab - adabnya serta meninggalkan muharramat wa makruhaat dan adab-adab waktu yang wajib ditunaikan.

C )  Melaksanakan ibadat – ibadat  nawafil

Melaksanakan ibadat - ibadat nawafil bagi menambahkan lagi sinar cahaya kesucian menuju Allah subhanahu wa taala.


Rukun Mujahadah

A )  al-Uzlah ( menyendiri )

Hukum asal uzlah adalah harus bagi mereka yang telah tertunai kewajipan semasa baginya. Tetapi sekiranya uzlah ini mampu memberi maslahah kepada diri seperti meningkat keimanan, menjauhkan daripada sesuatu yang haram dan mampu menguatkan diri bagi melaksanakan sesuatu kewajipan, maka hukumnya meningkat lebih daripada harus.

Uzlah boleh berlaku dalam dua keadaan samada dengan mengasingkan diri secara langsung beberapa ketika daripada orang ramai atau secara tidak langsung dengan mengasingkan jiwa sahaja beberapa ketika sedangkan diri tetap bersama masyarakat.

Bagi menyempurnakan mujahadah membina roh yang suci, asingkanlah diri beberapa ketika       ( minit ) bertafakkur untuk bersama Allah swt.


B )  al-Shamt  ( diam )

Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“Sekiranyalah kamu tidak mengotori hati - hati kamu dan kamu tidak berlebih - lebihan dalam percakapan kamu, nascaya kamu akan dapat mendengar apa yang aku dengar.”

Diriwayatkan oleh al Imam Ahmad.

Kerana itu, berdiam diri merupakan rukun mujahadah untuk menyuci roh dan membuang segala hijab - hijab di perjalanan menuju Allah taala.

Berdiam diri yang dimaksudkan di sini adalah daripada sesuatu yang tidak perlu. Adapun berkata – kata dalam hal  yang fardhu atau wajib, maka tidak boleh berdiam diri darinya.

C )  al-Juu`  ( berlapar )

Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam bersabda dengan maksudnya:

“Hendaklah kamu sentiasa murung ( sedih ). Sesungguhnya ia merupakan kunci pembuka hati. Lalu para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, bagaimanakah keadaan murung tersebut? Baginda bersabda: Hinakan  ( letihkan ) diri  kamu dengan berlapar dan mendahagakannya”

Riwayat al-Tabrani.

Bermujahadah dengan cara berlapar merupakan salah satu rukun yang ampuh untuk merawat hati dan menyegarkannya. Oleh kerana itu, berlaparlah untuk beberapa masa dalam sehari dan berpuasalah beberapa hari dalam sebulan ( 3 hari ).

D )  al-Sahar ( berjaga malam )

Tanpa penentuan masa tidurnya dengan terurus, seseorang muslim boleh mengabaikan banyak urusan penting dalam hidupnya, seperti solat Subuh berjemaah, beristighfar waktu sahur, berqiamullail dan tahajjud, solat isya` berjemaah, berwirid selepas Subuh, membaca al-Quran sebelum fajar dan banyak lagi akan terjejas akibat tidak terurusnya tidur seseorang manusia.

Agar urusan - urusan penting tersebut tidak terabai, seseorang muslim perlu menyusun tidurnya dan menetapkan sebahagian waktu malamnya untuk menunaikan urusan - urusan tersebut, supaya tidak tergolong daripada kalangan mereka yang rugi.


Kekuatan Yang Diperlukan Untuk Mujahadah

A )  Ilmu dan Zikir

Ilmu ketuhanan ( makrifat ) dengan membaca ayat - ayat keagongan dan kekuasaan Allah  dalam al-Quran dan juga dengan bertafakkur terhadap ayat - ayat kauniyah yang terbentang di alam semesta dan meningkatkan zikruLlah untuk meresapkan keagongan kekuasaan Allah subhanahu wa taala ke dalam diri sehingga menjiwai dan merasai ma`iyatullah.

B )  Ilmu dan Ta`ammul

Ilmu syariah bersumberkan wahyu yang akan mengawal system nilai seseorang hamba dengan batasan ketuhanan tanpa sebarang campur aduk unsur2 luar yang bertentangan dengan ruh syariah tersebut (maqasid syariah) & Sentiasa meneliti (mentaammul) rahsia2 syariah bagi menepati setiap hukum untuk diperundangan atau dilaksanakan dengan penuh hikmah kebijaksanan.

C )  Ilmu dan Amal

Ilmu hal ehwal kesihatan hati ( sihat atau sakitnya ) dan mengetahui perkara - perkara yang menyihatkan hati dapat membantu peningkatan amal dalam diri bagi menyuburkan akhlak terpuji. Adapun mengetahui jenis - jenis penyakit hati boleh membantu mendapatkan rawatan dan meninggalkan sesuatu amal buruk menjadi perosak kepada keperibadian manusia.


DPPP dan Tarbiyah Ruhiyah

Sebagai kesimpulan dalam perbincangan Tarbiah Ruhiyyah ini, ingin ditegaskan bahawa ilmu dan amal ( termasuk zikir dan ta`ammul ) adalah unsur terpenting bagi mengubah seseorang muslim dalam perjalanan munuju Allah subhanahu wa taala.

Dengan ini, DPPP hendaklah melakukan pembaharuan di dalam melaksanakan program tarbiyah kepada anggota - anggotanya. Ia adalah dengan memastikan setiap anggota pemuda di semua peringkat melalui tahap - tahap ilmu dan amal yang ditetapkan. Ketetapan ilmu dan amal setiap marhalah ini seharusnya dibuat sesuai dengan realiti cabaran semasa kepada pemuda hari ini.

Begitu juga DPPP seharusnya menjadi pembantu di dalam usaha pembaharuan mencorakkan kepimpinan PAS masa depan yang sentiasa ‘dekat dan langsung’ dengan tarbiyah bagi memastikan ketulenan kepimpinan Islam yang mewarisi sifat - sifat Anbia` dan Khulafa` al-Rasyidin.

Sayugialah ditingkatkan usaha pemahaman bahawa Bersama Kepimpinan Ulama` bermaksud Bersama Kepimpinan Rabbani sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin agong Islam Salahuddin al-Ayubi dan Sheikh Muhammad al-Fateh. Pembaharuan ini bukan sahaja melibatkan pimpinan PAS tertinggi peringkat pusat, disyaratkan juga kepada YDP dan Ketua2 Dewan semua peringkat.

Penutup

Tarbiyah ruhiyah adalah maksud utama tarbiyah Islamiyah. Kejayaan atau kegagalan di peringkat ini akan menentukan kejayaan gerakan Islam atau sebaliknya. Adalah menjadi keperluan yang mendesak agar setiap jentera parti PAS terutamanya Dewan Pemuda PAS di semua peringkat memberikan perhatian yang sebaiknya ke arah perlaksanaan  program tarbiyah yang tersusun dan berterusan.   

Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;

1 )  Tarbiyah ruhiyah adalah aspek paling penting di dalam menentukan kejayaan setiap individu muslim dan gerakan Islam.

2 )  Tarbiyah ruhiyah yang ditunjuki oleh al Quran adalah satu – satunya ilmu yang mampu menyucikan jiwa manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah.

3 )  Mujahadah dengan rukun – rukunnya adalah satu – satunya cara menyempurnakan program penyucian jiwa.

4 )  Kewajiban meningkatkan ilmu dan amal di dalam usaha memantapkan iman.

5 )  Dewan Pemuda PAS hendaklah memainkankan peranan ke arah memperkasakan parti dengan tarbiyah ruhiyah kepada seluruh anggotanya.


Panel:

1 )  Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 )  Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 )  Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 )  Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 )  Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 )  Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 )  Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons