Khamis, 20 Mei 2010

Rabu, 19 Mei 2010

KHTP : Bekas EXCO BN fitnah pelabur...

Fuji turut kesal kenyataan tidak betul bekas Exco
Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 19 Mei: Pada tahun 2008, terdapat lima pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di mana terdapat sebanyak 599 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.075 bilion.

Pada tahun 2009, terdapat tujuh pelaburan di KHTP di mana terdapat sebanyak 970 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM0.961 bilion.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, pada dua bulan pertama tahun 2010, terdapat dua pelaburan baru di KHTP di mana terdapat sebanyak 1,382 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 bilion.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang menyifatkan beliau sebagai ‘syok sendiri’ apabila mendakwa jumlah pelaburan di taman perindustrian itu terus meningkat dan tiada kilang yang ditutup.

“Tentang Fuji, pada mula ekonomi gawat iaitu pada tahun 2008, memang Fuji ada membuang kerja sebanyak 1,600 orang dan hanya tinggal sebanyak 1,100 orang tetapi sekarang, Fuji telah menambah sebanyak 900 orang dan menjadi sebanyak 2,000 orang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ini bermakna pekerja pada masa ini sudah meningkat berbanding sebelum ini.

“Fuji Electric antara pelabur utama di KHTP kononnya telah memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan adalah satu benda yang tidak betul,” katanya.

Tambahnya, Fuji merasa kesal terhadap apa yang diperkatakan oleh Dato’ Chong Itt Chew berhubung perkara itu.

“Saya akan berhubung dengan Fuji dan menyerahkan kepada mereka (Fuji) untuk mengambil tindakan terhadap Dato’ Chong Itt Chew sekiranya beliau terus memburuk-burukkan Fuji,” ujarnya.

Dakwaan Chong Itt Chew karut! Ini dia fakta pelaburan KHTP

ALOR SETAR: Pekerja syarikat perisian Intel Corporation di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak ditamatkan perkhidmatan meskipun tiga unit firma itu ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, berikutan penutupan itu, mereka hanya ditukarkan ke unit lain.
“Jaminan tidak akan ada pekerja yang akan diberhentikan dibuat sendiri oleh Intel Corporation kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tiga unit ditutup kerana syarikat itu mahu memindahkan unit berkenaan ke Amerika Syarikat dan ini perkara biasa dalam bidang perniagaan, terutama berkaitan teknologi.
Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang berkata, Kedah mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan KHTP.
“Kenyataan Dato’ Chong Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat dan sehingga Februari tahun 2010, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sebanyak RM1.529 bilion,” katanya.
Jelasnya, nilai bagi dua bulan itu sudah melebihi daripada pelaburan tahun 2009 iaitu sebanyak RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.
“Mustahil Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang ditutup atau keluar dari KHTP kerana masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru,” tambahnya.

DPP PUSAT SERU GEMPUR JUDI 1MALAYSIA


GEMPUR JUDI 1Malaysia - Himpunan UTAMA 3 Julai 2010

Himpunan Besar 3 Julai

1. Membantah Lesen Judi Bola atau sukan yang diluluskan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional membawa kepada tindakan tegas dari pihak Dewan Pemuda PAS Pusat .

Pertama : Himpunan 3 Julai 2010

Himpunan Besaran - besaran pada 3 Julai 2010 akan diadakan di perkarangan Masjid Negara dan kemudian berarak ke Istana negera mengiringi pimpinan Pemuda Pakatan rakyat untuk menyerahkan memorandum bantah Lesen Judi serta merayu campur tangan Raja - Raja Melayu untuk mendesak agar Kerajaan memansukhkan Lesen Judi Bola atau sukan tersebut .

Kedua : Himpunan 21 Mei 2010 [ jumaat ]

Himpunan besar - besaran yang mensasarkan penyertaan 5 ribu rakyat di setiap masjid negeri di seluruh negara pada 21 Mei 2010 untuk tujuan menyuarakan bantahan rakyat terhadap tindakan Kerajaan meluluskan Lesen Judi Bola dan sukan ini .

Ketiga : Memorandum kepada Mufti - Mufti Negeri [ tempoh 21 Mei hingga 30 June ]

Satu rally Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri akan menganjurkan satu siri penyerahan Memorandum Bantah Lesen Judi tersebut kepada mufti - mufti di setiap negeri sepanjang tempoh sebulan ini dari 21 Mei hingga 21 June 2010 . Mendesak agar mufti - mufti negeri membawa isu ini ke Majlis Mufti Kebangsaan lalu mendesak kerajaan agar menarik balik kelulusan Lesen Judi Bola yang telah dianugerahkan kepada Berjaya Group .

Keempat : Roadshow Mendidik rakyat [ sepanjang tempoih 21 Mei hingga 30 June ]

Dewan Pemuda PAS Pusat juga akan mengadakan Roadshow ke seluruh negara dalam tempoh sebulan ini bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai keburukan dan kesan negatif judi bola yang akan dilaksanakan ini sekaligus mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam perangkap judi yang diharamkan oleh semua agama .

Kelima : Edaran Risalah Hindari Judi

Risalah Hindari Judi [ Ya untuk Bola , Tidak untuk Judi ] akan diedarkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri kepada semua khasnya peminat sukan bolasepak terutamanya di sepanjang musim FIFA WORLD CUP dan EPL pada musim depan .

2. Dewan Pemuda PAS Pusat juga akan memanafaatkan segala ruang dan peluang yang wujud sepanjang tempoh itu untuk menganjurkan apa jua tindakan berkesan ke arah mendesak Kerajaan menarik balik lesen judi yang telas diluluskan itu . Dalam masa yang sama peranan besar Dewan Pemuda PAS Pusat ialah mendidik rakyat agar menyedari keburukan judi lantas menjauhkan diri daripadanya .

3. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan penyertaan semua warga prihatin termasuklah badan - badan bukan kerajaan dan juga golongan non muslim agar turut menjayakan hasrat rakyat yang insaf dan sedar tentang implikasi buruk dari angkara judi tersebut .

Keterangan lanjut boleh hubungi sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat di talian : 03 269 25000

Selasa, 18 Mei 2010

GAMBAR MUKTAMAR

PERWAKILAN PEMUDA KAWASAN DI MUKTAMAR DPPNK KE 44

Sedutan Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah ke 44

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pemuda PAS Kedah mempunyai peranan yang besar untuk memastikan kemenangan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah diterajui PAS terus dipertahankan, demikian ditegaskan Yang DiPertua PAS Kawasan Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Katanya, perjuangan PAS membenarkan hadis bahawa Islam akan kembali dagang di mana dijelaskan Rasulullah sebagai usaha membetulkan kerosakan yang telah berlaku.

"Biar rasa letih dan tak larat macam mana pun, bila sebut perjuangan Islam kita mesti bangkit, mesti rasa segar balik.

"Oleh itu anak-anak pemuda, mesti kerja kuat untuk pertahan kemenangan seperti mana sebelum kita menang. Kalau sebelum menang dulu kuat bekerja, selepas menang mesti lebih kuat dari sebelum menang," ujarnya berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Kali Ke-44 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 8 Mei lalu.

Beliau mengajak Pemuda merenungi iktibar dari pensyariatan perang setelah memerintah Madinah sedangkan semasa berhadapan mehnah dakwah di Makkah ianya tidak difardukan.

Hal itu jelasnya menunjukkan bahawa perjuangan ini bukan hanya untuk mendapatkan kuasa tetapi juga mempertahankannya.

Beliau menegur sikap kebanyakan ahli PAS yang dilihat kurang bersungguh-sungguh setelah mencapai kemenangan sebaliknya lebih banyak berada di kedai kopi.

Mengimbas pengalaman masa muda, beliau berkata, cabaran PAS dahulu lebih sukar berbanding sekarang. Ceritanya, pernah pada tahun 1969 ketika bergerak mencari dana untuk pilihan raya, kereta yang dipinjam mereka dilumuri najis selain direntangi batang pokok kelapa menghalang laluan jalan.

Beliau dan rakannya juga pernah dikepung Pemuda Tahan Lasak Umno hingga terpaksa menggertak mereka dengan keris.

Bahkan katanya, ceramah oleh Profesor Zulkifli Muhammad ketika itu hanya dihadiri 12 pendengar.

"Nak khabar sakitnya perjuangan ketika ini sebelum boleh dapat menerima kemenangan hari ini," ujarnya terkenang.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Awang Lanai menegaskan, Pemuda mesti sentiasa bersama al-jamaah dan tidak sekali-kali menjauhkan diri dari al-jamaah.

Ustaz Awang seterusnya menghuraikan perbezaan al-jamaah dengan jamaah sepertimana dimaksudkan dalam hadis.

"Iaitu al-jamaah ini ialah jamaah paling sempurna dengan mengambil Islam secara menyeluruh!" tegas beliau.

Selain itu, Pemuda juga katanya, mesti sentiasa mendengar arahan pimpinan, mesti taat, melakukan hijrah dan berjihad fisabilillah.

Melanjutkan ucapan, beliau menghuraikan cabaran bakal dilalui umat Islam biarpun sesudah ialah disempurnakan sebagaimana dialog antara Huzaifah Ibnu Yaman dengan Rasulullah.

Jelasnya, cabaran itu hingga mengheret umat Islam dengan seruan kepada neraka jahannam di mana ia dilakukan oleh mereka yang sebangsa dan sebahasa.

Oleh itu, perlu persediaan menghadapi keadaan itu dengan memperkuatkan jamaah yang didukungi.

Pada muktamar itu, Tuan Guru Abdul Wahab yang telah 27 tahun menjadi Yang DiPertua PAS Kawasan Baling dan merupakan paling lama memegang jawatan itu di dalam sejarah PAS telah menerima anugerah khas dari Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mengungguli anugerah-anugerah yang disampaikan pada hari itu termasuk dinobatkan sebagai Dewan Pemuda PAS Kawasan Terbaik.

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS KEDAH TAMPIL PERUBAHAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Perjalanan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah tampil dengan empat perubahan berbanding kebiasaan yang dilangsungkan tahun-tahun sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya menerangkan, muktamar tahun ini diadakan sehari suntuk dan disekalikan dengan majlis perasmian. Berbanding sebelumnya majlis perasmian diadakan berasingan iaitu pada malam sebelum persidangan.

Majlis perasmian juga ujarnya, akan disempurnakan oleh pimpinan PAS Pusat. Bagaimanapun, muktamar kali ini dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan yang juga dikenali sebagai Tuan Guru Awang Lanai.

Terangnya, Pemuda mahu mengambil mutiara hikmah dari pejuang tulin PAS itu. Kata Ahmad, perkara itu juga sebagai menunjukkan bahawa PAS tidak ketandusan tokoh-tokoh pemimpin yang hebat.

Ujar beliau, PAS Kedah khususnya, telah melahirkan pemimpin-pemimpin disegani dan tidak pernah dilupakan. Antaranya ialah as-Syahid Ustaz Ibrahim Libya yang terkenal dari jihadnya dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pula dikenali sebagai tokoh pemikir Islam.

"Cuba kita gabungkan semua ini. Orang macam Ustaz Awang Lanai, macam Ustaz Ibrahim, macam Ustaz Fadzil, letakkan dalam diri kita pemuda.

"Kita harap suatu hari lahir dalam diri kita pemuda yang memiliki semangat jihad macam Ustaz Ibrahim, pemikirannya macam Ustaz Fadzil, ilmunya macam Tuan Guru Ustaz Awang Lanai. Ini harapan dalam pembinaan diri kita," ujarnya pada muktamar tersebut di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 8 Mei lalu.

Selain itu, muktamar kali ini juga katanya, hanya diadakan bersama para perwakilan tanpa ada jemputan luar serta telah menggunakan kos paling minimum.

Dalam muktamar tersebut, perwakilan banyak menyentuh mengenai keahlian pemuda, permasalahan sosial semasa, tarbiah dan pengkaderan, persediaan pilihan raya dan peranan pemuda dalam membantu kerajaan negeri.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons