Selasa, 4 November 2008

Peranan Pemuda PAS di era kemenangan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

 

ALOR STAR: Gabungjalin pengalaman dimiliki antara individu pemuda mampu membawa PAS menjadi jamaah dan parti yang lebih mantap untuk berdiri di arena politik dan dakwah seterusnya memasarkan PAS di tengah masyarakat hasil dari kebijaksanaan bersiasah.

 

Demikian pandangan yang dilontarkan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar semasa menyampaikan ucapan pada Munaqashah Kepimpinan Pemuda bertemakan "Memelihara Kemenangan" anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di sini, 1 November lalu.

 

Katanya, Pemuda PAS di semua peringkat perlu mengetengahkan tindakan untuk meletakkan PAS sebagai bukan sahaja jamaah dan parti politik yang memperjuangkan Islam tetapi boleh juga diterima oleh semua.

 

"Kita boleh bercakap bahawa Islam itu untuk semua, tetapi bagaimana untuk menterjemah dan melaksanakannya dalam masyarakat pelbagai kaum ini?" ujar Mahfuz melontarkan persoalan.

 

Jelasnya, pemuda tidak sekadar berperanan untuk mengisi kemenangan, tetapi juga mengurus dan mempertahankannya dengan cara memperkasakan kerajaan itu sendiri.

 

Pemerkasaan kerajaan katanya, memerlukan kebijaksanaan siasah dengan menerima realiti bahawa kerajaan ini merupakan adunan dari tiga parti komponen Pakatan Rakyat iaitulah dengan mewujudkan hubungan asas melalui kesefahaman antara komponen.

 

Politik Islam katanya, telah memberi contoh kebijaksanaan dipraktikkan seperti dalam kisah Baginda menghadapi cubaan bunuh Suraqah bin Malik.

 

"Walaupun wujud perbezaan, tetapi kita tidak boleh menonjolkan penolakan kita terhadap sesuatu perkara. Tetapi tidak bermakna kita perlu mengorbankan prinsip perjuangan kita. Yang perlu kita lakukan ialah mengurus prinsip perjuangan kita," terang beliau dengan memberikan contoh strategi para pengeluar kenderaan di dunia masa kini yang mengadakan hubungan kerjasama untuk meluaskan pasaran masing-masing.

 

Menurutnya, perkara yang sama perlu diaplikasikan dalam strategi berpolitik. Jelas Mahfuz, pasaran luas terhadap dakwah dan siasah diperlukan PAS memandangkan persepsi masyarakat yang pelbagai terhadap parti ini.

 

Selain itu sarannya, untuk memperkukuhkan jamaah, pemuda juga perlu memberi tambah nilai kepada program-program 'tradisi' parti seperti usrah dan penerangan.

 

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons