Khamis, 6 November 2008

Pemuda Pas bantah persidangan UMNO diadakan di sekolah

06 November 2008

YAN - Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail berkata, Persidangan UMNO Bahagian Jerai tidak sepatutnya diadakan di institusi kerajaan seperti sekolah-sekolah kerana kepentingan parti tidak sepatutnya dibawa masuk ke sekolah.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa mengulas mengenai persidangan UMNO Bahagian Baling yang telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Baling, baru-baru ini.

“Pemuda Pas Kawasan Jerai turut membantah sekiranya Persidangan UMNO yang dijadualkan akan diadakan di Sekolah Menengah Agama Yan yang akan diadakan pada 8 November ini terus diadakan di sekolah tersebut,” tegasnya.

Menurutnya, aktiviti mana-mana parti tidak sepatutnya diadakan di sekolah-sekolah, sekali pun mereka menyewanya.

Katanya, masih ada banyak lagi tempat yang lebih sesuai boleh diadakan perhimpunan atau aktiviti seperti termasuk di Dewan Orang Ramai, Dewan Majlis Daerah dan sebagainya tanpa melibatkan institusi pendidikan yang terdapat di negeri ini.

“Sebagai contoh, di daerah Yan sendiri terdapat banyak tempat yang lebih sesuai untuk diadakan mesyuarat oleh mana-mana parti termasuk di Dewan Orang Ramai Guar Chempedak dan Dewan Dato’ Madi,” katanya

Menurutnya lagi, Pemuda Pas dan wakil kepada Ahli Parlimen Jerai akan membuat bantahan sekiranya UMNO mengadakan aktiviti parti di mana-mana sekolah.

Selain itu, surat bantahan itu juga akan dihantar ke sekolah yang terlibat, ianya adalah kerana kita tidak mahu kepentingan mana-mana parti dibawa masuk ke sekolah di mana ianya merupakan institusi pendidikan.

“Kita (Pas) sendiri tidak pernah mengadakan aktiviti parti di sekolah-sekolah milik kerajaan, Pas mempunyai tempat sendiri untuk mengadakan sebarang aktiviti parti.

Mohamad berkata, sekiranya pihak UMNO terus mengadakan aktiviti parti di sekolah-sekolah, menunjukkan bahawa mereka (UMNO) tidak “Gentlemen” kerana mereka telah menggunakan kemudahan kerajaan persekutuan yang ada untuk mengadakan aktiviti parti dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Selain itu, kita juga kecewa dengan tindakan meletakkan nama Barisan Nasional (BN) di papan tanda pada sesuatu projek kerajaan yang diadakan di negara ini.

“Ini menunjukkan mereka (kerajaan BN) membelakangkan Malaysia, kerana projek tersebut merupakan projek daripada Kerajaan Malaysia oleh yang demikian lebih baik menggunakan nama Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Wakil Peribadi kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain berkata, bahawa tidak sepatutnya sekolah-sekolah dijadikan tempat mengadakan aktiviti mana-mana parti dan pada masa yang sama, terdapat juga ahli UMNO yang menganggap bahawa Dewan Orang Ramai merupakan hak UMNO.

“Perkara tersebut tidak betul kerana Dewan Orang Ramai adalah hak semua masyarakat,”jelasnya. ~ SinarHarian ~

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons