Rabu, 19 Mei 2010

KHTP : Bekas EXCO BN fitnah pelabur...

Fuji turut kesal kenyataan tidak betul bekas Exco
Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 19 Mei: Pada tahun 2008, terdapat lima pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di mana terdapat sebanyak 599 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.075 bilion.

Pada tahun 2009, terdapat tujuh pelaburan di KHTP di mana terdapat sebanyak 970 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM0.961 bilion.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, pada dua bulan pertama tahun 2010, terdapat dua pelaburan baru di KHTP di mana terdapat sebanyak 1,382 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 bilion.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang menyifatkan beliau sebagai ‘syok sendiri’ apabila mendakwa jumlah pelaburan di taman perindustrian itu terus meningkat dan tiada kilang yang ditutup.

“Tentang Fuji, pada mula ekonomi gawat iaitu pada tahun 2008, memang Fuji ada membuang kerja sebanyak 1,600 orang dan hanya tinggal sebanyak 1,100 orang tetapi sekarang, Fuji telah menambah sebanyak 900 orang dan menjadi sebanyak 2,000 orang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ini bermakna pekerja pada masa ini sudah meningkat berbanding sebelum ini.

“Fuji Electric antara pelabur utama di KHTP kononnya telah memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan adalah satu benda yang tidak betul,” katanya.

Tambahnya, Fuji merasa kesal terhadap apa yang diperkatakan oleh Dato’ Chong Itt Chew berhubung perkara itu.

“Saya akan berhubung dengan Fuji dan menyerahkan kepada mereka (Fuji) untuk mengambil tindakan terhadap Dato’ Chong Itt Chew sekiranya beliau terus memburuk-burukkan Fuji,” ujarnya.

Dakwaan Chong Itt Chew karut! Ini dia fakta pelaburan KHTP

ALOR SETAR: Pekerja syarikat perisian Intel Corporation di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak ditamatkan perkhidmatan meskipun tiga unit firma itu ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, berikutan penutupan itu, mereka hanya ditukarkan ke unit lain.
“Jaminan tidak akan ada pekerja yang akan diberhentikan dibuat sendiri oleh Intel Corporation kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tiga unit ditutup kerana syarikat itu mahu memindahkan unit berkenaan ke Amerika Syarikat dan ini perkara biasa dalam bidang perniagaan, terutama berkaitan teknologi.
Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang berkata, Kedah mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan KHTP.
“Kenyataan Dato’ Chong Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat dan sehingga Februari tahun 2010, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sebanyak RM1.529 bilion,” katanya.
Jelasnya, nilai bagi dua bulan itu sudah melebihi daripada pelaburan tahun 2009 iaitu sebanyak RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.
“Mustahil Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang ditutup atau keluar dari KHTP kerana masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru,” tambahnya.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons