Selasa, 18 Mei 2010

Sedutan Ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah ke 44

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pemuda PAS Kedah mempunyai peranan yang besar untuk memastikan kemenangan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah diterajui PAS terus dipertahankan, demikian ditegaskan Yang DiPertua PAS Kawasan Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Katanya, perjuangan PAS membenarkan hadis bahawa Islam akan kembali dagang di mana dijelaskan Rasulullah sebagai usaha membetulkan kerosakan yang telah berlaku.

"Biar rasa letih dan tak larat macam mana pun, bila sebut perjuangan Islam kita mesti bangkit, mesti rasa segar balik.

"Oleh itu anak-anak pemuda, mesti kerja kuat untuk pertahan kemenangan seperti mana sebelum kita menang. Kalau sebelum menang dulu kuat bekerja, selepas menang mesti lebih kuat dari sebelum menang," ujarnya berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Kali Ke-44 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 8 Mei lalu.

Beliau mengajak Pemuda merenungi iktibar dari pensyariatan perang setelah memerintah Madinah sedangkan semasa berhadapan mehnah dakwah di Makkah ianya tidak difardukan.

Hal itu jelasnya menunjukkan bahawa perjuangan ini bukan hanya untuk mendapatkan kuasa tetapi juga mempertahankannya.

Beliau menegur sikap kebanyakan ahli PAS yang dilihat kurang bersungguh-sungguh setelah mencapai kemenangan sebaliknya lebih banyak berada di kedai kopi.

Mengimbas pengalaman masa muda, beliau berkata, cabaran PAS dahulu lebih sukar berbanding sekarang. Ceritanya, pernah pada tahun 1969 ketika bergerak mencari dana untuk pilihan raya, kereta yang dipinjam mereka dilumuri najis selain direntangi batang pokok kelapa menghalang laluan jalan.

Beliau dan rakannya juga pernah dikepung Pemuda Tahan Lasak Umno hingga terpaksa menggertak mereka dengan keris.

Bahkan katanya, ceramah oleh Profesor Zulkifli Muhammad ketika itu hanya dihadiri 12 pendengar.

"Nak khabar sakitnya perjuangan ketika ini sebelum boleh dapat menerima kemenangan hari ini," ujarnya terkenang.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Awang Lanai menegaskan, Pemuda mesti sentiasa bersama al-jamaah dan tidak sekali-kali menjauhkan diri dari al-jamaah.

Ustaz Awang seterusnya menghuraikan perbezaan al-jamaah dengan jamaah sepertimana dimaksudkan dalam hadis.

"Iaitu al-jamaah ini ialah jamaah paling sempurna dengan mengambil Islam secara menyeluruh!" tegas beliau.

Selain itu, Pemuda juga katanya, mesti sentiasa mendengar arahan pimpinan, mesti taat, melakukan hijrah dan berjihad fisabilillah.

Melanjutkan ucapan, beliau menghuraikan cabaran bakal dilalui umat Islam biarpun sesudah ialah disempurnakan sebagaimana dialog antara Huzaifah Ibnu Yaman dengan Rasulullah.

Jelasnya, cabaran itu hingga mengheret umat Islam dengan seruan kepada neraka jahannam di mana ia dilakukan oleh mereka yang sebangsa dan sebahasa.

Oleh itu, perlu persediaan menghadapi keadaan itu dengan memperkuatkan jamaah yang didukungi.

Pada muktamar itu, Tuan Guru Abdul Wahab yang telah 27 tahun menjadi Yang DiPertua PAS Kawasan Baling dan merupakan paling lama memegang jawatan itu di dalam sejarah PAS telah menerima anugerah khas dari Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila mengungguli anugerah-anugerah yang disampaikan pada hari itu termasuk dinobatkan sebagai Dewan Pemuda PAS Kawasan Terbaik.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons