Selasa, 18 Mei 2010

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA PAS KEDAH TAMPIL PERUBAHAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Perjalanan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah tampil dengan empat perubahan berbanding kebiasaan yang dilangsungkan tahun-tahun sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya menerangkan, muktamar tahun ini diadakan sehari suntuk dan disekalikan dengan majlis perasmian. Berbanding sebelumnya majlis perasmian diadakan berasingan iaitu pada malam sebelum persidangan.

Majlis perasmian juga ujarnya, akan disempurnakan oleh pimpinan PAS Pusat. Bagaimanapun, muktamar kali ini dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan yang juga dikenali sebagai Tuan Guru Awang Lanai.

Terangnya, Pemuda mahu mengambil mutiara hikmah dari pejuang tulin PAS itu. Kata Ahmad, perkara itu juga sebagai menunjukkan bahawa PAS tidak ketandusan tokoh-tokoh pemimpin yang hebat.

Ujar beliau, PAS Kedah khususnya, telah melahirkan pemimpin-pemimpin disegani dan tidak pernah dilupakan. Antaranya ialah as-Syahid Ustaz Ibrahim Libya yang terkenal dari jihadnya dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pula dikenali sebagai tokoh pemikir Islam.

"Cuba kita gabungkan semua ini. Orang macam Ustaz Awang Lanai, macam Ustaz Ibrahim, macam Ustaz Fadzil, letakkan dalam diri kita pemuda.

"Kita harap suatu hari lahir dalam diri kita pemuda yang memiliki semangat jihad macam Ustaz Ibrahim, pemikirannya macam Ustaz Fadzil, ilmunya macam Tuan Guru Ustaz Awang Lanai. Ini harapan dalam pembinaan diri kita," ujarnya pada muktamar tersebut di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 8 Mei lalu.

Selain itu, muktamar kali ini juga katanya, hanya diadakan bersama para perwakilan tanpa ada jemputan luar serta telah menggunakan kos paling minimum.

Dalam muktamar tersebut, perwakilan banyak menyentuh mengenai keahlian pemuda, permasalahan sosial semasa, tarbiah dan pengkaderan, persediaan pilihan raya dan peranan pemuda dalam membantu kerajaan negeri.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons