Isnin, 30 Ogos 2010

HESA TANAH SUBUR MENABUR BENIH PERJUANGAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

“Dari sebutir benih, tumbuh tujuh tangkai, sedang setiap tangkai mengandungi 100 biji.”

Demikian indahnya tamsilan Allah kepada perlakuan menafkahkan harta di jalan-Nya, jauh lebih puas dari saujana mata memandang hamparan padi yang menguning.

Suburnya benih yang disemai, mungkin seperti itu jugalah tumbuh suburnya institusi-institusi pendidikan agama di Kedah. Walaupun pernah diracun sakit oleh regim Barisan Nasional pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun rakyatlah yang gigih membantu menyiram dan membajanya untuk kekal bertahan.

Dengan kini Kedah diterajui PAS yang mendukung cita-cita Islam, ia menjadi ‘ruang dan peluang’ untuk sekolah agama kembali dan lebih perkasa dipersada masyarakat.

Kesempatan itu nyata dimanfaatkan apabila seramai 21 pentadbir sekolah agama yang tidak menerima sebarang bantuan pihak kerajaan sepakat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjaga kepentingan institusi berkenaan.

Hasil usaha dirintis Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengadakan pertemuan pada tanggal 2 April 2008 di Sekolah Integrasi Faizin, Guar Cempedak itu, akhirnya mencetuskan penubuhan Unit Hal Ehwal Sekolah Agama atau dikenali sebagai HESA.

Pada 2 Jun 2010, HESA telah didaftarkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui Ikatan Amanah dengan menaungi 29 sekolah agama di Kedah iaitu:

1. Sek.Men.Islam Darul Ulum, Pokok Sena;

2. Madrasah At-Taklimiah Al-Khairiah, Tok Keling, Alor Setar;

3. Sek.Ren.Islam Darul Ulum, Tandop, Alor Setar;

4. Sek.Integrasi Faizin, Guar Chempedak;

5. Sek.Agama Al-Baqiyatussalihat, Langkawi;

6. Sek.Ren.Islam Darul Ulum, Langkawi;

7. Sek. Ren.Islam Burhanuddin Al-Helmy, Alor Setar;

8. Sek.Ren.Islam Al-Nur, Gajah Mati, Pendang;

9. Madrasah An-Nur Al Islamiah, Gajah Mati, Pendang;

10. Sek.Ren.Islam Darul Ulum, Kupang, Baling;

11. Madrasah Islahiah Diniah, Memali, Baling;

12. Sek.Ren.Islam Raudhatul Muslimin, Kuala Ketil, Baling;

13. Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Munir, Parit Panjang, Baling;

14. Sek.Ren.&Men.Islam Tahfiz Al-Quran, Madrasah Zubbaidiyah, Merbok;

15. Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang, Pokok Sena;

16. Sek.Tahfiz Sains An-Najihin, Kulim;

17. Markaz At-Ta’lim Wat-Tarbiah, Bandar Hilir, Sik;

18. Madrasah Misbah Al Falah, Parit Panjang, Baling;

19. Madrasah Nurul Islah, Parit Panjang, Baling;

20. Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil, Baling;

21. Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah, Alor Setar;

22. Sek. Ren. Darul Hijrah, Siong, Baling;

23. Sek.Agama At-Toyyibah, Changlun;

24. SRI Nurul Hidayah, Penghulu Elang, Kulim;

25. Maahad Tahfiz Saidina Abu Bakar, Kuala Nerang;

26. Pusat Pendidikan Al-Islah, Pinang Tunggal, Sungai Petani;

27. Akademi Haji Abdullah Suboh, Kota Kuala Muda;

28. Sek.Ren. Al–Naim, Kuala Ketil, Baling;

29. Sek.Ren.Al Ihsaniah, Tikam Batu, Sungai Petani.

Menurut Pengerusi HESA, Ustaz Ahmad Yahaya, sekolah-sekolah agama ini mahu terus mendapat kepercayaan masyarakat yang sebenarnya telah berjasa mempertahankannya selama ini.

Ujar beliau, melalui HESA pihaknya menetapkan misi untuk menyatupadu dan menjaga kebajikan sekolah-sekolah ini sama ada dari sudut pengurusan pentadbiran, kewangan, sumber manusia dan pembangunan insan.

Katanya, HESA akan menggerakkan peranan terunggul dalam memperjuang, mempertahan dan mempromosikan sekolah-sekolah agama milik rakyat melalui perkhidmatan dan penganjuran yang berkualiti dan berkesan sebagai visinya selaku NGO tunggal bagi sekolah agama di Kedah ketika ini.

“Pada masa akan datang, HESA mahu menjadikan sekolah-sekolah agama di Kedah sebagai institusi yang diyakini masyarakat dari seluruh rantau ini sebagai pusat untuk menuntut ilmu agama hingga Kedah layak dikenali sebagai ‘Serambi Al-Azhar’,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kedah.

Perkembangan dan pembangunan kepada usaha ini tentunya menuntut sokongan dan dokongan bersama. Oleh itu, sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad 02-084-01-003157-9 atas nama Unit HESA. Sudah pasti bahawa inilah ‘tanah subur’ untuk ditaburi benih sebagai nafkah di jalan-Nya.....

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons