Isnin, 30 Ogos 2010

DESTINASI RAMADHAN- PONDOK BANDAR HILIT SIK

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin menggariskan tiga kedudukan puasa. Pertama, puasa al-umum yang bersifat hanya menahan perut dan kehendak syahwat serta perkara membatalkan puasa di mana ia juga disebut puasa orang awam.

Kedua, puasa al-khusus iaitu menahan seluruh pancaindera dan anggota badan dari dosa. Sebaliknya akhlak dipelihara dan cenderung kepada amalan sunat. Puasa ini termasuk dalam puasa orang soleh.

Manakala ketiga, puasa khusus al-khusus iaitu menahan segalanya termasuk hati dan fikiran dari sesuatu yang lain dari Allah sepenuhnya. Puasa peringkat ini sangat terpelihara yang di mana ia adalah tahap para Nabi, siddiqin dan muqarrabin.

Tentunya dalam realiti dunia hari ini di mana makruf dan mungkar melata di sana sini, menjalani ibadah puasa dan tuntutan-tuntutan Ramadan merupakan satu cabaran.

Apatah lagi berusaha mendapatkan kualiti amal ibadah pada peringkat terbaik serta dambaan takwa, pasti terasa perit sekali.

Namun sebenarnya ada tempat-tempat manusia menjalani rutin harian yang masih terpelihara dari noda. Malah sesuai dijadikan destinasi bagi memberi tumpuan kepada meningkatkan ibadah di bulan Ramadan, iaitulah di pondok-pondok pengajian Islam.

Jika dahulu kebanyakan pondok-pondok pengajian Islam memberi cuti kepada pelajarnya bermula dari 15 Syaaban hingga 15 Syawal pulang atau keluar mencari nafkah dalam keberkatan Ramadan, kini amalan itu banyak berubah.

Dengan suasana di luar dan usia pelajar, adalah lebih makruf untuk mereka berada di pondok walaupun ketika Ramadan.

Perkara demikian turut dipraktikkan Markaz At-Ta’alim Wattarbiah yang diasaskan Tuan Guru Abu Bakar Ibrahim.

Terletak di Teloi Tua, Sik, pondok yang lebih dikenali sebagai Pondok Bandar Hilir ini sememangnya antara tumpuan ‘tetamu Ramadan’ menjalani ibadah di sini.

Menurut Mudirnya, Ustaz Ismail Mahmud, menyedari wujud permintaan dari ramai individu untuk menjalani ibadah Ramadan di situ, pihaknya mewujudkan kemudahan yang sesuai kepada mereka.

Sehingga kini katanya, pihak beliau mempunyai empat pondok untuk tetamu serta beberapa pondok warga emas. Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan dan membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi ‘tetamu Ramadan’ di pondok tersebut.

Maklum beliau, ‘tetamu Ramadan’ yang biasa ke situ datangnya dari seluruh negara termasuk Singapura tetapi paling ramai dari Pulau Pinang.

Jelas beliau, sepanjang Ramadan, beliau sendiri akan mengajar kitab dengan mengkhususkan bab puasa.

Di bulan Ramadan, rutin di pondok tersebut bermula seawal 4.30 pagi untuk bersahur diikuti majlis zikir munajat hingga solat subuh. Selepas subuh diadakan kuliah subuh serta tilawah al-Quran dan hafazan.

Bagi pelajar tetap pondok, mereka akan mengikuti kelas pengajian halaqah dan menghafaz sehingga zohor. Manakala ‘tetamu Ramadan’ meneruskan pengajian bersama Ustaz Ismail.

Selepas asar diadakan tilawah Quran dan zikir tahlil untuk mereka yang memberikan amanah kepada pihak pondok dan diadakan tiga kali dalam sehari.

Manakala malam hari dipenuhi solat sunat, tilawah al-Quran dan zikir munajat.

Nyata sekali, rutin kehidupan di pondok adalah suasana paling ‘konduksif’ bagi mereka yang memburu usaha mendapatkan peringkat terbaik dalam ibadah Ramadannya.

Bagi yang berminat boleh menghubungi sendiri Ustaz Ismail di talian 013-488 4814. Pihak pondok juga membuka peluang untuk mana-mana pihak menyertai majlis tilawah dan zikir tahlil khas untuk arwah keluarga dengan sedikit sumbangan bagi keperluan berbuka puasa, moreh dan sahur para penghuni pondok. Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 0204 801002 8139 atas nama Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons