Sabtu, 22 Ogos 2009

KENYATAAN MEDIA- DPPNK KESAL ADUN PONTENG SIDANG DUN


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) kesal dengan ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ke Sidang Dewan Undangan Negeri kerana mereka telah diberi kepercayaan membawa suara rakyat di dalam dewan.

“Secara umum kami tujukan sebagai nasihat kepada semua Adun dan secara khusus kami merujuk kepada ketidakhadiran Adun Kota Siputeh, Dato’ Abu Hasan Sarif dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran Speaker Dun,” ujar Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya pada 20 Ogos lalu.

Katanya, tindakan Abu Hasan mengulangi perkara sama seolah-olah Adun tersebut memandang enteng amanah yang telah diberikan rakyat kepadanya apatah lagi Menteri Besar menegaskan bahawa Kerajaan dan Pembangkang sama-sama mentadbir negeri ini.

“Begitu juga dakwaan Abu Hasan bahawa beliau mempunyai alasan munasabah (tidak hadir Sidang Dun) sepatutnya tidak disusuli dengan tindakan yang tidak munasabah.

“Dengan kemudahan sistem komunikasi moden terkini dan tentunya beliau mempunyai pegawai-pegawai yang boleh membantunya, apakah beliau masih tidak mampu memberi makluman kepada Speaker atau Pegawai Dun?” soal Ahmad.

Ujarnya, DPPNK berbangga dengan keprihatinan ditunjukkan Speaker Dun Kedah, Dato’ Dr Abdul Isa Ismail terhadap kehadiran anggota dewan ke persidangan yang diadakan selain ketegasan, ketelusan dan penelitian beliau terhadap peraturan dan undang-undang Dun.

DPPNK katanya berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat membuat keputusan yang adil mengikut undang-undang bukannya seperti kejadian di mana SPR telah menafikan keputusan Speaker Dun Perak terhadap kekosongan Dun Changkat Jering dan Behrang sebelum ini.

Tegas Ahmad, Pemuda PAS Kedah bersedia untuk menghadapi satu lagi pilihan raya di negeri ini selepas Bukit Selambau dan kali ini membawa misi untuk merampas Dun Kota Siputeh daripada Umno-BN.

Malah beliau juga melontarkan nasihat buat para pengundi yang akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Kecil N.11 Dun Permatang Pasir, Pulau Pinang agar membuat pilihan terbaik.

“Antaranya ialah kita pilih calon yang akan hadir mewakili kita ke Sidang Dewan bukannya Adun yang ponteng,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons