Sabtu, 22 Ogos 2009

ISU KENYATAAN NIK AZIZ- DPPNK DESAK MAJLIS FATWA DAPATKAN PENJELASAN TG NIK AZIZ

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan sewajarnya memanggil Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atau bertemu dengan beliau berhubung kenyataan pemimpin utama PAS itu dan bukannya membuat kenyataan dengan hanya berpandukan laporan media semata-mata.

Demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya ketika diminta Harakah mengulas perkara berkenaan.

Menurutnya, jika jawatankuasa berkenaan menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Aziz itu aneh, maka tindakan jawatankuasa berkenaan yang hanya berpandukan kepada laporan media jauh lebih aneh.

“Media mendakwa kenyataan Tuan Guru seperti itu dan Tuan Guru juga ada membuat penafian melalui media. Tentunya situasi ini sama ada laporan media itu dipertikaikan atau Tuan Guru dipertikaikan.

“Jadi untuk kepastian, kenapa jawatankuasa ini tidak panggil atau bertemu dengan beliau sebelum membuat kenyataan? Kenapa hanya mendapatkan maklumat dari satu pihak sahaja? Apatah lagi media yang jelas berpihak, kalau begitu jawatankuasa berkenaan juga kena baca Harakah.

“Jika jawatankuasa tersebut menyelidiki dan mendapati bahawa pihak media yang telah melaporkan secara salah, berbohong atau fitnah, bersediakah jawatankuasa berkenaan ‘menegur’ media tersebut?” soal Ahmad.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang jelas berpihak dan melontarkan ingatan agar alim ulama tidak diperalatkan untuk kepentingan politik Umno-BN.

Tegas beliau, cukuplah pasukan keselamatan dan agensi kerajaan diperalatkan Umno-BN tetapi para alim ulama khususnya di dalam Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan wajiblah menghukum berdasarkan hukum Allah dan sunnah Rasulullah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons