Isnin, 10 November 2008

PEMAIN MUDA DITURUN UNTUK SKUAD LIGA SUPER

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR STAR, 6 November: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menurunkan barisan muda dalam skuad Liga Super bagi musim depan.

Setiausaha Kehormat KFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Keseniaan, Warisan dan Kebudayaan, YB. Dr. Haji Hamdan Mohamed Khalib berkata, pemilihan barisan pemain muda bagi musim depan dilihat sebagai satu formula baru.
"Formula ini adalah gandingan daripada pasukan sedia ada dengan pemain baru yang muda dan pantas agar mereka dapat mempamerkan aksi yang lebih lincah ketika beraksi di padang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain bagi Skuad Liga Super Musim 2009 di Bilik Gerakan, Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, pemilihan pemain muda ini dilihat sebagai satu adunan baru dalam pasukan Kedah bagi memantapkan lagi prestasi serta mutu persembahan pasukan dalam mempertahankan kejuaraan Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut.
Jelasnya, pemilihan barisan pemain baru bagi musim depan adalah dibuat berdasarkan kepada nasihat daripada pihak pengurusan dan juga jurulatih pasukan Kedah sendiri.
"Walaupun pada musim depan terdapat format baru iaitu tiada lagi pemain import yang akan beraksi, namun kita cukup yakin bahawa gandingan pasukan muda yang diturunkan musim depan bakal mempamerkan aksi yang lebih berkualiti dan memastikan pasukan Kedah berjaya mengukir kecemerlangan berlipat kali ganda lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, lapan pemain baru turut hadir bagi menandatangani kontrak bagi Skuad Liga Super musim depan yang membariskan empat pemain baru iaitu bekas pemain Perak, Shahrul Nizam Mustafa,27, bekas pemain pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM),Afif Amiruddin,25, dan dua orang bekas pemain Pulau Pinang iaitu Farizal Rozali,25, dan Azrul Ahmad, 23.
Manakala empat lagi pemain adalah dari Kedah sendiri iaitu, pemain Kedah yang menandatangani semula kontrak dengan Kedah,Rafiz Abu Bakar,27, dan tiga orang pemain baru dari Skuad Piala Presiden iaitu, Fadly Baharom,17, Faizal Abu Bakar, 17, dan Manopsak, 20, yang diserapkan ke dalam pasukan Skuad Liga Super.
"Bagi pemain baru, mereka akan diikat kontrak selama dua tahun, manakala bagi pemain muda dari skuad Piala Presiden mereka akan diikat selama tiga tahun dan bagi pemain lama yang telah tamat kontrak, kita akan adakan kontrak yang baru kepada mereka," jelasnya.
Beliau yakin dengan adanya gandingan pemain lama dan juga baru ini pasukan Kedah mampu mengekalkan aksi yang lebih cemerlang dan mampu mencapai sasaran jaringan yang banyak bagi musim depan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) masih lagi menjadi penaja utama bagi pasukan Kedah bagi musim depan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons