Isnin, 10 November 2008

Madrasah Yayasan Al Khariah, Kupang mohon bantuan orang ramai

Mohd Sabri Said
Mon | Nov 10, 08 | 4:18:40 pm MYT

KUPANG, KEDAH, 10 Nov (Hrkh) - Untuk meneruskan matlamat pengasas Madrasah Al-Khariah, Kampung Pisang, Kupang, Tuan Guru Haji Yahya Toha pada tahun 1938 bukan mudah seperti yang disangkakan.

Sebaliknya sekolah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khariah terpaksa mengharungi onak duri atau ranjau sepanjang zaman sehinggalah kini terutamanya melalui zaman getir apabila Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengiystiharkan penarikan balik bantuan perkapita terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dianggap menjadi sarang ektrimis Islam.

Pengetua sekolah berkenaan, Ustaz Haji Othman Haji Yahya Toha ketika ditemu bual Harakahdaily baru-baru ini tidak menafikan melalui zaman sukar di awal era melinium tetapi atas kesungguhan Lembaga Pengarah serta aktivis yang bersama-sama bertanggungjawab menegakan sistem perdidikan berteraskan Islam maka ia dapat di atasi dengan sempurna.

Untuk mengekang usaha memusnahkan haluan SAR, sekolah ini mampu melebarkan fungsi yang ada apabila berjaya mengorak langkah setapak lagi ekoran pembangunan sebuah bangunan yang dilengkapi masjid, dewan seminar, dewan terbuka, dewan makan, pusat Tahfiz dan 13 buah bilik untuk kemudahan musafir dengan kos RM2.5 juta.

"Insya Allah pada bulan Mei tahun depan (2009) bangunan baru yang menempatkan masjid, dewan seminar, dewan terbuka, pusat tahfiz dan bilik untuk kemudahan musafir akan siap sepenuhnya.

"Sekarang ini baru 60 peratus kerja-kerja dilaksanakan dengan perbelanjaan hampir RM1.2 juta, " ujarnya yang nyata berjaya membaiki kedudukan sekolah daripada dicengkam Bantuan Kementerian Pendidikan.

Sekolah yang diterokai dengan pengajian secara halaqah atau sistem pondok kini boleh dianggap berjaya menjadi satu-satunya SAR di negeri Kedah dapat membina komplek untuk pelbagai kegunaan.

Cuma pada tahun 1952 baru cara persekolahan diperkenalkan iaitu pelajar akan masuk seperti sekolah biasa cuma pengajianya dalam bahasa Arab manakala pelajar secara halaqah diteruskan selepas Zohor, Asar atau Magrib.

Pada tahun 1970 ditambah pula pelajaran akademik untuk memudahkan pelajar mengimbangkan dengan pelajar yang mengambil peperiksaan LCE ketika itu.

"Sekarang ini pelajar akademik terus diajar di sini di samping pelajaran Arab," katanya yang mengambil alih pengurusan dan pentadbiran sekolah pada tahun 1976 setelah beberapa tahun dikelolakan oleh menantu dan pelajar lama Tuan Guru Yahya Toha.

Fokus utama sekolah ini adalah Arab cuma tambahan akademik disebabkan keperluan masa kini untuk seseorang itu mendapatkan pekerjaan.

Memandangkan kewujudan sekolah ini bukan berdasarkan keuntungan sebaliknya bagi mengembangkan syariah Islam, maka pihak lembaga tidak sekali-kali menerima pendekatan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan.

Bila tiada penyerahan pastinya anak cucu pengasas dapat meneruskan usaha murni penubuhan demi menyelamatkan Islam daripada ditindas atau dipergunakan untuk menyekat kebangkitan gerakan Islam.

"Walaupun kami tidak terlibat dengan penyerahan kepada Kementerian Pendidikan namun kami dapat bertahan dengan baik hasil sokongan orang ramai," jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai bekas pelajar di sini Ustaz Othman memberitahu, antaranya bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Profesor Zawawi Haji Ahmad, bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Marzuki Haji Mahmud, bekas penceramah Tabung Haji, Ustaz Daud Che Ngah dan sebagainya.

Melihatkan perkara ini, pihak lembaga tadbir cepat-cepat mencari jalan merancakkan kembali keyakinan masyarakat Islam terhadap pendidikan Islam dengan mengetengahkan ideal pembangunan demi keperluan semasa.

Ustaz Othman yakin adanya masjid, ruang mesyuarat, bilik seminar, pengajian Tahfiz serta bilik musafir memberi infak berguna pada masyarakat sekeliling atau sesiapa sahaja yang hendak menggunakan kelengkapan itu.

Bagi menjayakan pembangunan komplek milik Yayasan Khariah pihak lembaga tadbir memerlukan sumbangan orang ramai sama ada kewangan ataupun barangan pembinaan.

Untuk tujuan itu mereka boleh menghubungi di talian 04-4766934 atau teus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Baling 02048010003180. - mns_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons