Isnin, 13 Oktober 2008

Spekulasi terhadap perumahan negeri ditolak


Sumber : Warta Darulaman Daily

Oleh Izwan Abdul Halim

ALOR STAR: Kerajaan Negeri Kedah bertegas menolak sebarang bentuk
spekulasi terhadap perumahan di negeri ini.

Dengan menyifatkan keputusan Kerajaan Negeri menaikkan peratusan kouta
pemilikan Bumiputera baru-baru ini sebagai sebahagian usaha memberikan
hak kepada mereka yang berhak, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan
Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi Dan Pembangunan Usahawan
Negeri, YB Tuan Haji Ir Amiruddin Hamzah berkata, Kerajaan Negeri
meletakkan perumahan sebagai perkara asas dan mahukan semua rakyat
memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah.

"Spekulasi perumahan tidak ada tempat di Kedah, jika hendak buat
perumahan mestilah sesuaikan dengan pendapatan rakyat Kedah," tegas
beliau.

Ujarnya, walaupun Kerajaan Negeri menaikkan kouta itu kepada 50
peratus, ia masih belum menggambarkan demokrafi sebenar di negeri
Kedah.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan
Amal Persatuan Ulama' Kedah (PUK) Bersama Menteri Besar Kedah di Dewan
Seri Mentaloon di sini, 10 Oktober lalu.

YB Amiruddin yang hadir mewakili YAB Menteri Besar turut
memperbetulkan salah faham terhadap peraturan berhubung kouta itu.

Jelasnya, syarat 30 peratus ditetapkan untuk Bumiputera tetapi 70
peratus itu adalah terbuka.

"Maknanya Bumiputera pun boleh beli yang 70 peratus itu. Tetapi
mindset ramai kata setakat 30 peratus itu sahaja dan mereka yang
menjual pun untuk 30 peratus itu sahaja.

"Ini telah jadi trend yang cukup tidak sihat dalam negeri seumpama
Kedah," ujar beliau merujuk kepada komposisi kaum di negeri ini.

Sebanyak RM120,000 berjaya diperolehi penganjur pada jamuan yang
diadakan bertujuan mengumpulkan dana bagi pembinaan Wisma PUK. Hadirin
juga diperdengarkan ceramah yang disampaikan oleh Dekan Kuliyyah
Syariah Kolej Universiti Insaniah, YBhg Dr Abdul Aziz Haji Hanafi pada
majlis tersebut.

Hadir sama pada majlis itu ialah Exco Kerajaan Negeri, YB Tuan Haji
Abdullah Jusoh, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, YAA Dato' Wira Syeikh
Yahya Haji Jusoh dan Setiausaha Zakat Negeri, YBhg Dato' Haji Ghazali
Yaakob.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons