Jumaat, 24 Oktober 2008

REMAJA DISERU SERTAI KEM BINA SAHSIAH



Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR STAR, 20 Oktober: Pusat Pendidikan Muassasah Darul Ulum dengan
kerja sama Unit Pembangunan Insan Kerajaan Negeri Kedah akan
menganjurkan Kem Bina Sahsiah '08 Siri ke-5 yang akan diadakan di
Kompleks Pendidikan Muassasah Darul Ulum, Kilometer 24, Jalan Kuala
Nerang, Pokok Sena, di sini selama 21 hari mulai 16 November 2008
hingga 6 Disember 2008.

Pengarah Kem Bina Sahsiah, Ustaz Musoddak Haji Ahmad berkata, Kem Bina
Sahsiah telah mula dilaksanakan pada tahun 2004 hasil ilham Menteri
Besar, YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak.

"Sambutan yang diberikan oleh ibu bapa di seluruh negara begitu
menggalakkan di mana peserta-peserta adalah terdiri daripada remaja
lelaki dan perempuan yang berumur antara 15 hingga 18 tahun yang
datang dari pelbagai latar belakang keluarga," jelasnya.

Menurutnya, Kem Bina Sahsiah yang dijalankan selama 21 hari itu
merangkumi tiga fasa di mana ianya banyak menerapkan nilai-nilai
ukhuwah, keinsafan, kasih sayang ibu bapa dan pelbagai lagi.

Ujarnya, objektif utama program itu diadakan adalah untuk menampilkan
generasi remaja yang diimpikan oleh setiap lapisan masyarakat, membina
sahsiah berlandaskan iman dan takwa, menyediakan peluang pembelajaran
secara intensif dalam jangka masa singkat serta melaksanakan
pentarbiyahan secara terus dan berkesan.

"Faedah yang bakal diperolehi dalam kursus itu ialah mengenal diri,
kesempurnaan ibadat, akhlak dalam Islam, penglibatan dalam kumpulan,
hubungan dalam masyarakat dan muhasabah diri," katanya.

Jelasnya, sepanjang program itu, setiap peserta dibekalkan dengan
nota-nota kursus, baju T dan beg kursus, makan dan minum, penginapan,
keperluan perkhemahan, pemeriksaan kesihatan dan sijil penyertaan.

"Alatan yang perlu dibawa ialah pakaian harian, pakaian kuliah,
pakaian riadah, pakaian aktiviti perkhemahan, pakaian sembahyang,
bantal, selimut, cadar, barang-barang kemasan diri, alatan tulis, buku
nota dan lain-lain keperluan peribadi," ujarnya.

Tambahnya, bayaran yuran yang dikenakan kepada setiap peserta ialah
sebanyak RM150 dan setiap peserta diwajibkan berpakaian menutup aurat
di dalam semua aktiviti.

Sebarang pertanyaan dan pendaftaran, sila hubungi Ustaz Musoddak Haji
Ahmad di talian 012-4827563 atau Ustaz Mohd. Nizam Noh (019-5586401),
Ustaz Nor Puadi (012-6441420 / 013-5931233), Ustaz Salim Mahmud
(013-5814585), Encik Rashidi Abd. Razak (012-4365699) dan Encik Zikri
Zakaria (013-4249382).

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons