Rabu, 3 September 2008

Kenapa UMNO Perlu Meminta Maaf?

Nuffnang Ads

Najib mintak maaf..


Oleh
khairulfaizi

"a
Isu kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mengeluarkan satu kenyataan di dalam ceramahnya bahawa masyarakat Cina adalah kaum pendatang di Negara ini dan tidak berhak diberikan hak sama rata di Malaysia berakhir setakat ini dengan permohonan maaf daripada UMNO melalui Timbalan Presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Najib menyebut bahawa walaupun kenyataan itu tidak dibuat oleh parti tetapi dibuat oleh seorang pimpinan UMNO di peringkat bahagian namun UMNO perlu memohon maaf kerana ianya tidak wajar diucapkan dan UMNO begitu kesal dengan kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut dibuat ketika menjelangnya pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang baru berlalu. Najib berharap agar kenyataan seperti itu tidak akan diulangi oleh kepimpinan UMNO.

Saya cuba merasionalkan diri untuk menerima permohonan maaf tersebut namun saya masih lagi belum mampu untuk menerima penyataan tersebut. Bukan kerana permohonan maaf tersebut dibuat oleh Najib yang mewakili UMNO tetapi apakah permohonan maaf itu perlu dilakukan sedangkan sememangnya isu perkauman menjadi senjata UMNO?

Ketika rombongan saya daripada Johor bertandang ke salah sebuah rumah pengundi di Permatang Pauh baru-baru ini, kebetulan dua orang pemimpin UMNO yang tiba dilokasi yang sama dengan kami. Perkataan pertama yang terpacul daripada mulutnya adalah

“Sekarang ini Melayu sudah berpecah dan tengok orang Cina sudah kuasai”.

Dalam satu ceramah kelompok saya hadiri yang dianjurkan oleh UMNO dan salah seorang penceramah pada malam tersebut telah menyebut isu perkauman. Penceramah yang mendakwa bekas exco pemuda UMNO Selangor telah menunjukkan kepada pendengar sekeping poster yang katanya telah diedarkan oleh PKR dalam kempen pilihanraya tersebut dengan membariskan tiga orang Timbalan Perdana Menteri daripada kaum Cina. Beliau menyebut;

“Ini adalah bukti bahawa Anwar mahukan orang Cina sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Adakah tuan-tuan ingin memberikan kemenangan kepada beliau?”

Kempen UMNO di sepanjang pilihanraya kecil ini sememangnya banyak menggunakan isu perkauman untuk menarik simpati orang Melayu supaya mengundi calon UMNO/BN dan menolak calon PKR/PR. Saya kira, ia adalah senjata UMNO yang sudah cukup sebati dengan UMNO Cuma sebelum ini ia tidak begitu ketara diperlihatkan kepada umum. Namun, apabila UMNO terasa cukup tertekan dengan penolakan kaum bukan Melayu kepada UMNO/BN di dalam pilihanraya umum yang lalu, isu perkauman yang selama ini cuba diselindungkan sudah tidak dapat dipertahankan lagi.

Lebih-lebih lagi, slogan UMNO pun sudah membayangkan sikap UMNO. UMNO cukup sebati dengan slogan HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya jika MIC pula menggunakan slogan HIDUP INDIA dan MCA pula dengan slogan HIDUP CINA.

Berbalik kepada isu permohonan maaf daripada UMNO terhadap kenyataan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera. Saya tidak pasti Najib Razak sememangnya memohon maaf di atas keputusan UMNO ataupun ia adalah permohonan maaf yang dibuat secara peribadi oleh beliau kerana kenyataan Najib ada kalanya perlu kita was-was. Apa tidaknya, Najib pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sumpah Saiful Bukhari tidak ada kena-mengena denga Barisan Nasional tetapi dia sendiri yang bekempen di Permatang Pauh tentang isu liwat ini. Bukan setakat itu sahaja, Najib juga dengan tanpa diundang melakukan sumpah bahawa dia tidak kenal dengan Altantuya.

Maka, dengan kenyataan seperti ini kita boleh meletakkan keraguan bahawa kenyataan maaf ini adalah kenyataan maaf daripada UMNO. Bukan apa, saya bimbang apabila ia bukannya permohonan maaf daripada UMNO maka sudah tentu ahli-ahli UMNO yang sanggup bermati-matian demi UMNO sehinggakan ada yang sanggup menunjukkan aksi ‘liwat-meliwat’ ketika kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh akan merasa kecewa dengan pernyataan Najib ini. Ketika kempen berlangsung kepimpinan UMNO sibuk bercakap tentang masa depan Melayu tetapi bila diasak oleh parti komponen BN, permohonan maaf pula yang dilakukan.

Kesimpulannya, UMNO sudah nazak dan menunggu masa untuk ditarik nyawa-nyawa ikannya itu. Mulut sudah tercungap-cungap, nafas tersekat-sekat dan mata terkebil-kebil menunggu masa untuk nafas terakhir dihembuskan. Mengharapkan pengundi Melayu kembali kepada UMNO tidak berjaya, mengharapkan pengundi Cina memberikan sokongan tidak berupaya dan mengharapkan pengundi India memberi bantuan tidak kesampaian.

Permohonan maaf ini sebenarnya membuktikan bahawa UMNO sudah tidak relaven lagi!

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

3 September 2008, 1.12 pagi

http://www.minda-kembara.com/



0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons