Ahad, 18 Oktober 2009

Memanfaatkan Perjuangan


Hj Aris Awang, Bekas Ketua Pemuda PAS Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KOTA SIPUTEH: Perjuangan PAS belum benar-benar mencapai kemenangan sebaliknya kejayaan pada hari ini hanyalah satu 'kemenangan struktur', demikian pandangan Mantan Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang.

Ujarnya, ukuran pencapaian kepada perjuangan ini disandarkan beliau berdasarkan tujuan dan usaha-usaha PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS.

Menurut Perlembagaan PAS, tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara Malaysia sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian Islam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Manakala antara usaha-usaha PAS yang dipetik Aris itu ialah, memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-lslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Juga, menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasulullah melalui dakwah, sama ada secara lisan, tulisan mahupun amalan.

Beliau membuat analogi dengan mengaitkan kemenangan ini seperti baru menjadi pengerusi dan ahli jawatankuasa kepada persatuan banduan dalam sebuah penjara dengan tembok sekular.

"Umat Islam sekarang ini sama ada yang masih dijajah atau telah terbebas negara mereka kononnya merdeka, tetapi mereka masih berada dalam penjara-penjara sekular. Mereka menang, mereka memerintah negara mereka, tetapi mengikut acuan yang dicorakkan yang disebut sebagai neo-kolonisme iaitulah penjajahan bentuk baru yang berlaku kepada seluruh bumi umat Islam.

"Jika ianya hendak dinamakan kemenangan, ianya adalah 'kemenangan struktur' yang perlu digunakan untuk memecahkan tembok penjara sekular itu diganti tembok Islam.

"Demokrasi sekarang ini masih lagi demokrasi acuan sekular, demokrasi kita sertai ini masih lagi dalam tembok-tembok sekular dan kita perlu pecahkan tembok sekular itu untuk demokrasi dalam tembok-tembok Islam," ujar beliau memetik pandangan ahli revolusi Islam, Dr Kalim Siddique pada Tamrin Ramadan Pemuda PAS Kedah, di Markas Tindakan Dun Kota Siputeh, di sini 5 September lalu.

Tegasnya, itulah perjuangan pasca kemenangan struktur yang perlu diteruskan dengan membina tembok-tembok Islam.

"Kemenagan struktur sudah ada, tetapi jangan tenggelam dalam kemenangan struktur ini sehingga akhirnya lemas tenggelam dalam proses tolak ansur sementara, yang menjadi pilihan cukup lunak dan kemudiannya bertukar menjadi kukuh serta membangunkan perilaku jangka panjang yang berakar umbi.

"Awas, apabila ia berakar umbi sebagai satu pola perlakuan sistem politik, ia akan sukar diubah lagi," ujarnya melontarkan peringatan pada pembentangan bertajuk "Pemuda Pasca Kemenangan; Antara Harapan Dan Cabaran" itu.

Beliau yang juga Mantan Setiausaha PAS Kedah berkata, sekiranya perkara sedemikian terjadi, maka tiga cita-cita unggul dinyatakan melalui Perlembagaan PAS itu akan dilecehkan, dibuang bahkan dibunuh.

Untuk itu tegas Aris, pemuda sebagai tenaga utama parti perlu kembali kepada perkara asas iaitu dengan mencontohi sirah dan sunnah Nabi SAW.

Beliau kemudiannya membuat perhuraian terhadap tiga asas utama iaitu pembinaan kualiti kerohanian yang tinggi, keupayaan intelek dan kekuatan fizikal.

Dalam analogi lain, beliau mengaitkan ketua pemuda seperti sebuah generator elektrik yang besar.

"Tetapi generator tidak ada manfaatnya jika tidak mengeluarkan kuasa (elektrik), malah tidak berguna jika infrastruktur yang baik dibangunkan sekalipun. Elektrik bagi sebuah gerakan Islam ialah kekuatan kerohanian iaitu tahap hubungan dengan Allah SWT. Semakin tinggi nilai hubungan dengan Allah, maka semakin tinggi voltan yang dikeluarkan.

"Infrastruktur termasuk keupayaan intelek untuk memanfaatkan elektrik sedia ada mengikut keupayaan infrastruktur yang disediakan. Amat malang sekiranya semua komponen infrastruktur elektrik telah tersedia dari stesyen janakuasa hidro hingga kepada pembaca meter, tetapi elektrik tidak ada. Sekiranya tiada sumber elektrik, setiap pemuda di kawasanlah perlu berperanan sebagai generator kecil dalam kelompoknya.

"Pengguna ialah ahli-ahli dan rakyat, tanpa elektrik, lampu tidak akan bercahaya. Oleh itu tanpa kuasa kerohanian atau elektrik dari kepimpinan muttaqin, maka rakyat akan bergelap walaupun infrastrukturnya cukup lengkap.

"Masa Umno memerintah, infrastruktur cukup, masa kita memerintah infrastruktur sudah ada, tetapi jika kita tiada elektrik juga seperti Umno, maka rakyat akan terus bergelap," ujar beliau yang kini Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah menerangkan maksudnya itu.

Sambungnya lagi, hari ini kita telah menang untuk menguasai struktur dan perlu pula kepada generator yang mampu mengeluarkan kuasa terhadap struktur dimenangi itu untuk menerangi kegelapan.

“Generator itu adalah kita semua. Tingkat hubungan denganNya, yakin akan adanya hari pembalasan, tunjukkan komitmen tidak berbelah bagi kepada Islam," seru Aris diakhir pembentangannya.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons