Selasa, 25 November 2008

Pertanian adalah pekerjaan terbaik

Oleh IZWAN ABDUL HALIM

ALOR STAR: Kerja-kerja berkaitan pertanian merupakan usaha yang berhadapan dengan ketidakpastian. Sedang ketidakpastian itu pula merupakan satu unsur tawakal kepada Allah. Kerana itu Imam Syafie pernah menyatakan pandangannya bahawa pertanian adalah pekerjaan terbaik.

"Walaupun hasil pertanian itu belum pasti, tetapi tawakal ini ia hadir bersama dengan pahala," jelas Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah Tahun 2008 yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini 16 November lalu.

Beliau berkata sedemikian sebagai mengulas luahan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kedah, Dato' Badri Yunus berhubung permasalahan dan risiko yang dihadapi sektor pertanian khususnya di negeri ini.

Ketika melanjutkan ucapannya berhubung halatuju pertanian di negeri Kedah, Menteri Besar berkata, walaupun pertanian kini diterima sebagai perniagaan, tetapi tidak kesemuanya boleh dianggap sebagai perniagaan.

Menurutnya, pertanian terbahagi kepada dua iaitu komoditi dan makanan. Komoditi pertanian jelas beliau, berkait dengan permintaan dan penawaran yakni kehendak. Tetapi, makanan dalam pertanian merupakan bekalan yang menjadi keperluan asas.

"Krisis yang melanda menyebabkan lahirnya Program Jaminan Makanan (Food Security Programme). Oleh itu, penting kerajaan menjamin stok dan pengeluaran yang mencukupi melalui polisi tertentu," terangnya dengan menyebut beberapa langkah yang telah dan akan diambil Kerajaan Negeri.

Selain dikenali sebagai negeri jelapang padi katanya, Kedah kini mahu dikenali juga sebagai negeri jelapang makanan. Merujuk kepada keterangan Ibnu Khaldun yang pernah menyatakan hubung kait antara sektor pembuatan dengan sektor pertanian, beliau mahu kejayaan pertanian di negeri ini dipertingkatkan melalui jalinan industri hiliran dengan industri huluan dalam sektor tersebut.

Terdahulu, Dato' Badri dalam ucapannya mahu kerajaan juga mengambil tanggung jawab terhadap bencana yang menyerang dan menjejaskan pengeluaran hasil pertanian. Beliau memberikan contoh peranan yang diambil Jabatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan dalam menangani penyakit-penyakit haiwan ternakan dan kes-kes kesihatan yang dihadapi manusia.

"Apa salahnya beras sebagai makanan negara, musuh-musuh padi ini juga diatasi kerajaan," ujarnya melontarkan cadangan berhubung bencana dihadapi pesawah seperti serangan siput, tikus dan rumput.

Mengakhiri ucapannya, beliau mahu Pertubuhan Peladang Kawasan diberi peluang menyuarakan pandangan dalam perjumpaan atau mesyuarat di bawah kendalian Kerajaan Negeri.

Pada konvensyen sehari itu, sebanyak lima kertas kerja dibentang berkaitan tanaman, penternakan, hortikultur, pemasaran dan teknologi pertanian. Menteri Besar turut sudi menyampaikan anugerah kepada 18 penerima yang cemerlang dalam sub-bidang masing-masing di akhir majlis.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons