Sabtu, 5 Julai 2008

Pemuda PAS Selangor nafi laporan Utusan Malaysia

Pemuda PAS Selangor nafi laporan Utusan Malaysia

Saidah Hairan
Sat | Jul 05, 08 | 5:28:27 pm MYT


KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak pernah mengeluarkan kenyataan merestui atau tunduk kepada kehendak pihak tertentu mengundang artis ratu rock, Ella dan ratu dangdut, Mas Idayu dalam konsert malam Ahad ini.

Ketua Penerangannya, Sani Hamizan berkata, Dewan Pemuda Selangor menyangkal sama sekali laporan media khususnya Utusan Malaysia, 5 Julai (Pemuda PAS akur kehadiran Ella, Mas Idayu).

"Kami akan tetap meneruskan bantahan dengan mengedarkan risalah berhubung gejala sosial di hadapan stadium Shah Alam sebagai tanda bantahan kami," tegasnya.

Sebelum ini Pemuda PAS diketuai Ustaz Sallehen Mokhyi telah menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik, Nik Nazmi Nik Ahmad di tingkat 20, Pejabat Menteri Besar, 16 Jun lalu.

Beliau yang ditemui di Majlis penyerahan watikah pelantikan ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan kesal dengan sikap pihak Kerajaan Negeri yang seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk menguruskan pertemuan dengan Tuanku Sultan.

"Kami bersedia untuk merapat sembah Tuanku Sultan bagi memberi pandangan dan menjelaskan keadaan sebenar, tetapi tidak diuruskan oleh pihak kerajaan Negeri," katanya.

Sebagai jalan terakhir Pemuda PAS Selangor telah menunaikan solat hajat bermula malam tadi supaya Allah menghindarkan bala atau kemurkaan terhadap seluruh rakyat negeri Selangor.

Beliau menegaskan, Pemuda PAS Selangor bukan tidak bersetuju dengan segala keputusan Tuanku Sultan tetapi mahu supaya Kerajaan Negeri dan anak syarikatnya menghormati garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jakim berhubung aspek hiburan.

"Kesediaan Tuanku Sultan kita sanjung tinggi cuma tidak ada satu tindakan susulan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri," tegasnya.

Menurutnya, Pemuda PAS akan mengedarkan risalah bagi kesedaran kepada anak-anak muda yang hadir di Stadium Shah Alam bermula petang Ahad, 6 Julai ini. - mns_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons