Ahad, 13 Julai 2008

Media diingatkan jangan sebar fitnah

Izwan Abdul Halim
Sun | Jul 13, 08 | 2:51:28 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 13 Julai (Hrkh) - Lebih 30,000 hadirin membanjiri Ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah',semalam walaupun sekatan jalan raya diadakan oleh pihak polis ke jalan-jalan utama menuju ke Kompleks PAS Kedah.

Majlis ceramah yang sepatutnya diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti itu terpaksa diubah ke Kompleks PAS Kedah setelah difahamkan wujud arahan daripada pihak atasan pasukan keselamatan.

ImageCeramah telah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ustaz Azizan dan Abdul Hadi pada ceramah tersebut sama-sama menyentuh mengenai gejala fitnah.

Memulakan ceramahnya, Ustaz Azizan membacakan maksud daripada ayat Quran yang menjelaskan bahawa orang yang memfitnah lelaki atau perempuan mukmin akan dibakar oleh api neraka.

"Orang-orang ini kerjanya memfitnah, kerana dia senang mencari makan dengan kerjanya membuat fitnah. Saya kata kepada mereka jangan membuat fitnah kerana orang yang buat fitnah ini dia mencari makan dengan cara fitnah.

"Dapat rezeki sama ada dia wartawan atau pemberita, bawa balik bagi anak isteri makan. Jadi dia beri anak isteri makan harta haram dan hidupnya pasti tidak diberkati," tegasnya menghuraikan gejala fitnah yang menjadi-jadi sekarang ini.

Sementara itu, Abdul Hadi pula menyentuh peranan media agar tidak menggunakan kebebasan yang diberikan dengan menyiarkan fitnah.

Jelasnya, akhlak-akhlak kepimpinan Islam yang ditulis oleh para ulama di dalam kitab feqah diambil oleh orang barat dan diamalkan dalam demokrasi barat.

"Dalam dunia barat terdapat kebebasan akhbar, kebebasan media. Bukan bermakna kebebasan media ini Islam membenarkan gambar-gambar lucah, itu mengarut.

"Makna kebebasan media ialah media boleh menegur dan mengkritik kerajaan, media boleh memberitahu kesilapan dan kesalahan kerajaan. Bukan memfitnah pemimpin-pemimpin, tetapi menasihatkan pemimpin-pemimpin," ujarnya menerangkan.

Katanya, ada negara Barat di mana medianya mendedahkan penyelewengan kerajaan.

"Kerajaan boleh dijatuhkan oleh media dan akhbar. Ada negara kita lihat rakyatnya boleh berfikir kerana diajar oleh media dan wartawannya menyatakan yang berani lagi hak.

"Inilah yang diajaran oleh Islam tetapi ianya ditinggalkan. Maka berlakulah kecelaruan, pemerintahan yang tidak betul, berlakunya politik tidak sihat dan berlakunya kerajaan yang berlagak menjadi Tuhan. Seolah-olah dia boleh memerintah hingga kiamat, tiada salah dan silap yang dibuat. Jika (kerajaan) silap ditutup, tetapi jika orang awam silap ditangkap hatta tidak boleh bela diri,"ujarnya mengingatkan. - mks. _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons