Selasa, 3 Jun 2008

MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTIJEN SUKMA KEDAH

SINTOK: Memperolehi 38 pingat emas menjadi sasaran yang akan diusahakan Kontinjen Negeri Kedah pada penyertaan Sukan Malaysia (SUKMA) XII di Terengganu pada 31 Mei hingga 9 Jun ini.

Sasaran itu dilafazkan sebagai akujanji dan ikrar oleh 594 atlet dan pegawai kontinjen pada Majlis Penyerahan Bendera oleh Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks Sukan, Universiti Utara Malaysia baru-baru ini.

Dalam majlis penuh semangat yang diadakan itu, Ketua Kontinjen Negeri Kedah, Dato' Bashiruddin Abdul Jamil menyatakan kesediaan yang tinggi pasukannya untuk menggalas cabaran ke temasya tersebut.

"Kita akan menyemarakkan bendera Kedah di seluruh Terengganu sebagai menandakan Kedah kuat!" ujarnya yang disambut tepukan gemuruh seluruh hadirin.

Menurut beliau, Kontinjen Negeri Kedah akan dapat sokongan dari salah sebuah sekolah di Terengganu untuk menjadi pasukan sorak.

"Walaupun mereka orang Terengganu, tetapi mereka akan sokong kita, akan bawa bendera kita," maklumnya.

Kontinjen bukan sahaja akan bertanding di sana, malah menurut beliau akan menjadi duta kepada Negeri Kedah.

"Kita akan memperkenalkan Negeri Kedah Darul Aman, bahawa Tahun Melawat Kedah sedang berjalan rancak pada tahun 2008 ini. Berbagai-bagai acara sedang berjalan dan kita akan bawa cenderamata-cenderamata dan sebagainya untuk menarik pelawat-pelawat ke Negeri Kedah disamping kita akan adakan Pesta Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan," jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan Negeri, YB Dr. Hamdan Mohamed Khalib menjelaskan bahawa selain sasaran 38 emas, Kedah juga mahu menjadi negeri yang berada dalam kelompok enam negeri terbaik.

Dalam pesannya kepada semua atlet dan pegawai, beliau mahu Kontinjen Negeri Kedah ke Terengganu sebagai sebuah kontinjen yang berdisiplin.

"Saya ingin melihat, Kontinjen Kedah dapat mencerminkan imej negeri yang terbaik supaya boleh dicontohi oleh kontinjen-kontinjen negeri yang lain. Pesanan dari saya sendiri, saya menyeru atlet-atlet yang beragama Islam supaya di Terengganu nanti jangan lupa melaksanakan amalan-amalan Islam kita, sembahyang kita perlu dijaga walaupun kita dalam menghadapi kejohanan.

"Saya juga ingin berpesan agar menjaga akhlak dan peribadi kita di sana. Kerana itu semua akan mencerminkan bagaimana Negeri Kedah mentadbir sukan di masa-masa yang akan datang," ujar beliau selaku Pengerusi Majlis Sukan Negeri.

YAB Ustaz Azizan yang menyampaikan amanatnya pada majlis tersebut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan mengesampingkan sama sekali sukan di Negeri Kedah bahkan akan menggalakkan aktiviti sukan.

Beliau turut meluahkan rasa bangganya kerana Kedah telah banyak melahirkan tokoh-tokoh sukan sama ada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Nama-nama seperti Adnan Saidin, Saziman Ismail, Zabidi Shariff cukup digeruni dalam sukan hingga ke peringkat antarabangsa. Malah ramai lagi akan menunjukkan kebolehan dan keupayaan dalam bidang ini," ujarnya menaruh keyakinan kepada atlet-atlet muda Kedah.

Kepada skuad bola sepak, beliau sandarkan harapan agar kejayaan yang ditempa selama ini dikekalkan di Terengganu.

"Terutamanya kita kali ini kena 'balas dendam' balik di Terengganu. Masa kita lawan di SUKMA XI di Kedah, kita masuk final lawan Terengganu, kita kalah dengan sepakan penalti. Terengganu pukul kita di padang kita. Kali ni saya mahu bola sepak pi pukul depa di padang depa," ujar YAB Ustaz Azizan yang menyebabkan dewan menjadi gamat dengan tepukan dan sorakan.

Tambah beliau lagi, syarat yang diletakkan agar atlet memiliki had umur tertentu dalam sesetengah acara SUKMA, menjadikan Kedah lebih gigih melahirkan atlet berwibawa.

Kejayaan di SUKMA juga menurut beliau, menjadi kayu ukur pembangunan sukan yang dirancang di negeri ini. Oleh itu menyedari kejayaan tersebut amat besar maknanya kepada Negeri Kedah dan rakyat Kedah, Kerajaan Negeri tegas beliau mengumumkan imbuhan RM3,000 bagi atlet yang mendapat emas, RM2,000 bagi perak dan RM1,000 untuk gangsa.

"Dan kali ini jumlah imbuhan tidak turun, naik mungkin! Ini janji saya, harapan saya.

"Pi main sungguh-sungguh, pulun sungguh-sungguh, jangan lemah, penuhkan semangat ini kerajaan baru Kedah!" ujar beliau menyebabkan dewan semakin gamat.

"Kalau saudara-saudari boleh buat yang cemerlang dalam SUKMA ini, Kerajaan Negeri akan pertingkatkan program-program sukan di Negeri Kedah. Kita akan buat perubahan mendadak dalam sukan di arena nasional," katanya diakhir ucapan itu.

Selain penyerahan bendera, majlis menandatangani akujanji dan sesi bergambar turut diadakan. Hadir sama memberi sokongan pada majlis berkenaan ialah sebahagian besar Ahli Majlis Mesyuarat dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Negeri Kedah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons