Isnin, 7 Januari 2008

WAWANCARA KETUA PEMUDA PUAT DENGAN MINGGUAN MALAYSIA

WAWANCARA KETUA PEMUDA PUSAT DENGAN MINGGUAN MALAYSIA

Pengerusi SPR sangat berbahaya kepada keselamatan negara
Posted on Sunday, January 06 @ 10:32:49 EST by reformis



MINGGUAN MALAYSIA: Apakah reaksi saudara sebagai Ketua Pemuda Pas terhadap cabaran Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Rashid supaya pembangkang jangan menyertai pilihan raya kalau tidak yakin ia telus?


SALAHUDDIN AYUB: Saya merasakan cabaran yang dilemparkan oleh Pengerusi SPR sangat berbahaya kepada keselamatan negara. Sebagai Pengerusi SPR, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tersebut. Kalau boleh biarlah saya mengibaratkan pilihan raya seperti satu pertandingan bola sepak di mana pasukan tuan rumah berlawan dengan pasukan dari luar.

Pengerusi SPR peranannya sebagai pengadil yang mesti kelihatan adil dan bijaksana. Apa akan jadi kalau dengan tiba-tiba pengadil ini mengatakan kepada pihak yang menentang tuan rumah supaya jangan berlawan? Saya ingin bertanya, bijaksanakah seorang Pengerusi SPR memberikan cabaran tersebut?





Apakah yang Pas mahukan daripada pilihan raya di negara ini?


SALAHUDDIN: Apa yang Pas mahu ialah permainan bola sepak yang adil di padang yang sama rata. Inilah yang Pas harapkan. Mewujudkan pilihan raya yang adil dalam negara kita adalah menjadi tuntutan kita semua.

Jadi saya sangat kesal dengan kenyataan SPR itu dan bagi saya SPR tidak memerlukan pengerusi seperti itu yang banyak kali mengeluarkan kenyataan yang menampakkan beliau berat sebelah dan menyokong Barisan Nasional. Itu kerja orang politik dan bukan kerja Pengerusi SPR.

Jadi, Pas tidak akan memulaukan atau terfikir untuk memulaukan pilihan raya kali ini?


SALAHUDDIN: Setakat hari ini Pas masih mempunyai komitmen menyertai pilihan raya walaupun Pas faham padang permainan itu masih tidak sama rata. Tetapi kita tidak ada pilihan lain untuk menjunjung demokrasi. Saya mengambil contoh kalaulah ada SPR swasta atau pilihan raya swasta, Pas pilih swasta. Seperti rakyat boleh memilih hospital swasta. Tetapi dalam negara kita inilah satu-satunya sistem yang ada.

Sebab itu Pas begitu komited untuk bersama-sama dengan sistem ini. Pas telah membuktikan komitmen mereka menyertai pilihan raya sejak mula lagi. Sudah sebelas kali pilihan raya dan ini membuktikan bahawa Pas sangat menghormati sistem yang ada ini sekali gus menghormati konsep demokrasi berparlimen di negara ini.


Apakah yang menjadi kerisauan saudara tentang sistem yang didakwa tidak telus ini?


SALAHUDDIN: Saya mempunyai satu tanggungjawab besar sebagai Ketua Pemuda Pas. Jumlah ahli Pas setakat ini hampir 1 juta orang sementara bilangan pemuda pula hampir setengah juta orang. Apabila saya sebagai Ketua Pemuda mahu parti saya menyertai pilihan raya maknanya saya mahu semangat orang muda ini, kritikan dan ketidakpuasan mereka diterjemahkan menerusi peti undi.

Ini peranan yang saya mainkan. Tetapi bayangkanlah kalau tidak ada pilihan raya, bagaimanakah cara anak- anak muda ini menterjemahkan kritikan atau ketidakpuasan mereka? Kerana itu saya fikir tidak menyertai pilihan raya sangat berbahaya kepada keselamatan negara. Kerana itu

Pas tetap komited untuk menjadikan sistem ini satu sistem yang adil di mana setiap rakyat boleh menyalurkan kritikan, bangkangan mereka menerusi sistem pilihan raya, bukannya menerusi cara-cara yang lain yang diamalkan di negara-negara yang tidak ada demokrasi.


Tetapi sistem pilihan raya kita telah ada perubahan, misalnya akan menggunakan cop jari dan peti undi yang telus. Apa lagi yang tidak cukup?


SALAHUDDIN: Kita semua mahukan negara Malaysia ini benar-benar menikmati pilihan raya yang adil dan sistem yang telus. Maknanya ketelusan kepada sistem dan bukan peti undi. Pas mahu ketelusan dalam menguruskan pilihan raya. Badan yang diamanahkan menguruskan pilihan raya tidak nampak berpihak. Ini yang Pas mahu. Kalau benarlah cop jari itu digunakan dalam pilihan raya akan datang, ini bermakna satu daripada empat yang Pas minta sudah dilaksanakan. Saya sangat bersyukur.


Adakah ini bermakna Pas mengalami kekalahan disebabkan sistem?


SALAHUDDIN: Kami bersedia untuk menang dan untuk kalah dalam sistem pilihan raya yang adil. Ini keyakinan kami. Pas rela kalah walaupun seribu tahun lagi. Mungkin pengundi tidak setuju dengan Pas atau tidak yakin lagi dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas. Kalau kalah disebabkan faktor itu, kami terima. Kalau kami kalah, tidak jadi masalah. Tetapi kami tidak mahu kalah dalam satu sistem yang kami rasakan tidak adil dalam negara kita.


Kalau benar ada ketidaktelusan, kenapa pembangkang tidak membuktikan penipuan itu?


SALAHUDDIN: Sebenarnya ini selalu diungkapkan oleh Pengerusi SPR bahawa Pas tidak boleh membuktikan ketidakadilan itu. Kalau kita masih ingat, dalam pilihan raya Likas, perkara ini telah menjadi kes mahkamah.

Pas mengadakan petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak selepas 2004 dan petisyen pilihan raya Pengkalan Pasir di Kelantan. Selain itu kami telah membuktikan dalam dialog, pertemuan, perbincangan hatta sampai ke mahkamah. Jadi, bagi saya kepincangan ini perlu diperbaiki masa akan datang.


Apakah harapan saudara terhadap perubahan sistem pilihan raya akan datang?


SALAHUDDIN: Saya mengharapkan satu penambahbaikan yang total supaya rakyat dapat memilih dan menyertai pilihan raya dengan seadil-adilnya. Ini adalah harapan Pas. Kalau ditelitikan, apa yang Pas tuntut ini tidak terkeluar daripada batas peraturan dan undang-undang.

Semua yang Pas lakukan ini ada dalam kerangka perlembagaan kita. Kami tidak menuntut satu peraturan yang tidak munasabah di luar kerangka perlembagaan. Pas minta celup jari kerana ini adalah amalan di semua negara dan telah terbukti dapat meminimumkan pengundi hantu.

Ini memberikan kepuasan kepada rakyat. Begitu juga apabila Pas meminta dimansuhkan undi pos. Rasionalnya setelah negara kita aman selepas 50 tahun merdeka, adakah sistem undi pos ini masih lagi relevan?


Apa yang saudara maksudkan dengan akses media yang adil?


SALAHUDDIN: Kalau tidak boleh memberikan liputan kepada kami di luar musim pilihan raya, bagilah dalam tempoh berkempen selama 10 hari. Maknanya kepimpinan parti UMNO, MCA, Pas dan lain-lain lagi boleh muncul dalam media elektronik untuk mengemukakan manifesto mereka untuk menerangkan apa yang parti-parti itu boleh tawarkan kepada rakyat.

Saya yakin permintaan ini tidak pernah terbabas atau tersasar daripada peraturan atau undang undang.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons