Isnin, 7 Januari 2008

APA NAK JADI ? ORANG RTM SENDIRI TAK SUKA TONTON SIARAN RTM

93.7 peratus kakitangan Kementerian Penerangan tonton TV3
Posted on Saturday, January 05 @ 21:14:42 EST by reformis

Berita KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) perlu lebih kreatif menerbitkan program menarik memandangkan kakitangan Kementerian Penerangan lebih cenderung beralih ke stesen televisyen dan radio swasta.


Menurut satu kajian Bahagian Penyelidikan kementerian itu mengenai sambutan penontonan televisyen dan pendengar radio di kalangan kakitangan kementerian itu bermula September tahun lepas, TV3 menjadi saluran yang disukai warga kementerian itu.




Sehubungan itu, kajian itu mengesyorkan supaya RTM mengetengahkan pengacara yang berpengetahuan luas dalam sesuatu topik selain berusaha menangani masalah kualiti audio visual dan penerimaan siaran supaya setanding dengan siaran televisyen swasta.

Kajian itu dibuat berdasarkan permintaan pengurusan tertinggi kementerian untuk mengenalpasti sama ada kakitangan kementerian menonton dan mendengar siaran RTM.

Antara lain, kajian itu juga menyarankan supaya RTM meningkatkan promosi rancangannya serta mengkaji semula susunan dan masa rancangan untuk menarik lebih ramai penonton dan pendengar.

Kajian itu berdasarkan 1,101 responden daripada 1,650 borang soal selidik yang diedarkan kepada kakitangan di kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya di Lembah Klang melalui ketua jabatan atau bahagian masing-masing, yang lengkap diproses untuk kajian ini.

Kajian itu menunjukkan Hot FM saluran radio yang paling disukai untuk didengar oleh warga kementerian itu.

Hasil kajian itu mendapati sebanyak 93.7 peratus kakitangan kementerian menonton TV3, diikuti RTM 1 (79.5 peratus), RTM 2 (68.3), TV9 (56.9), NTV7 (47.1), 8TV (40.1) dan Astro (37.2).

Jumlah penonton TV3 membabitkan 1,032 orang, RTM 1 (875), RTM 2 (752),TV9 (627), NTV7 (519), 8TV (442) dan Astro (410).

Bagi TV swasta pula, 43.2 peratus warga kementerian paling gemar menonton drama, dokumentari (42.1 peratus), berita (40.5 peratus) dan hiburan (24.3 peratus).

Bagaimanapun sebanyak 115 orang atau 10.4 peratus daripada 1,101 orang tidak menonton televisyen RTM kerana alasan rancangannya kurang menarik (47.8 peratus), audio visual yang malap dan hambar (27 peratus), pendekatan tidak menarik (12 peratus), pengacara tiada tarikan (11.3 peratus).

Sebanyak 7.8 peratus mengatakan pengacara kurang menarik, tidak ada banyak pilihan siaran (4.3 peratus), siaran tidak jelas (4.3 peratus) dan maklumat tidak lengkap (2.6 peratus).

Sementara itu dalam siaran radio pula, sebanyak 56.9 peratus mendengar ERA FM, Hot FM (49.3 peratus), Klasik Nasional (45.1), KLfm (39.8), Sinar FM (36.8), dan Muzik FM (32.2), manakala jumlah pendengar radio lain adalah kurang daripada 30 peratus.

Jumlah pendengar ERA FM ialah sebanyak 627 orang, Hot FM (548), Klasik Nasional (497), KLfm (438), Sinar FM (404), Muzik FM (354).

Responden juga mencadangkan kandungan program ditambah nilai selain meningkatkan kualiti pembaca berita dan penampilan pengacara, bijak berinteraksi dengan pendengar, memasang set TV dan radio di setiap jabatan serta mempastikan siaran RTM sahaja ditonton.

Kajian itu diedarkan kepada kakitangan kementerian, RTM, Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Filem Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons