Memaparkan catatan dengan label hari terbuka PAS Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hari terbuka PAS Kedah. Papar semua catatan

Rabu, 1 September 2010

GAMBAR AKTIVITI PAS KEDAH DIBULAN RAMADHAN

syarakat bukan Islam juga semakin berminat dengan puasa dan turut memberi sumbangan derma.
Julung kalinya, guru al-Quran yang mengajar sukarela dihargai kerajaan negeri dengan saguhati setiap Ramadan
Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman turut bergelandangan menyediakan bubur kanji.
Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh berbuka puasa bersama penduduk di Dunnya.
Tazkirah semakin mendapat tempat di hati rakyat Kedah.

PAS SUBURKAN BUDAYA PENGHAYATAN RAMADHAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

TIADA sebarang keistimewaan Ramadan di Kedah selama lebih 50 tahun pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Melainkan dapat dilihat sepanduk-sepanduk ucapan, agihan bubur kanji dan majlis sumbangan kepada golongan memerlukan. Itupun sebenarnya ditiru Umno dari tradisi dilakukan PAS setelah menyedari impak tarikannya kepada rakyat.

Jeliknya apabila mereka lebih juah untuk berbangga menghebahkan jumlah periuk yang diperuntukkan setiap hari sepertimana berbangganya teraju Makkah dahulu kala memberi makan dan minum kepada jamaah haji.

Sedang tuntutan Ramadan terbiar sepi, bahkan ternoda oleh pelbagai laporan perlakuan melanggari syariat.

Kalau tidak kerana PAS, tentunya keberkatan Ramadan berlalu lesu dan sepi tanpa dipugar dan dihayati.

Walaupun pada tempat dan komuniti terhad iaitu di premis-premis parti dan di kalangan aktivis dan penyokong, PAS seluruh negeri Kedah telah menghidup dan membudayakan Ramadan menjadi ‘pesta ibadah’ yang mengasyikkan.

Sejenak meneroka tradisi penghayatan Ramadan oleh PAS di Kedah yang kini disuntik untuk dibudayakan kepada rakyat negeri Kedah melalui wadah pemerintahan.
------------
Bazar Ramadan

Wajib ada di bulan puasa ini adalah Bazar Ramadan. Banyaknya tempat diadakan hingga dua kali ganda pasar minggu, bahkan lebih. Itupun masih kedengaran rungutan tidak cukup tapak.

Bawah kerajaan dulu memang ada usaha menambahkan tapak, tapi disebaliknya ada juga cerita poket kroni-kroni mereka turut bertambah. Orang-orang ini secara mudah dapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kemudian tapak itu disewakan pula kepada para penjaga.

Mereka ini kira ‘berniagalah’ juga, cuma paling tidak manisnya mereka ‘bersubahat’ biarkan orang yang meniaga dan berkunjung ke Bazar Ramadan sekadar menahan lapar kerana berpuasa tetapi tidak solat. Tiada kemudahan untuk solat disediakan sedangkan kalau diminta dari PBT sebenarnya mudah dapat.

Di bawah kerajaan sekarang, semakin banyak tapak Bazar Ramadan disediakan untuk memberi peluang penjaga ambil berkat Ramadan menambahkan rezeki. Ia juga sebagai kemudahan orang ramai selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Rungutan bahawa ada pihak ‘meniaga atas angin’ tidak lagi kedengaran sebaliknya PBT mendapat kerjasama daripada persatuan-persatuan peniaga. Makna kata, Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya mengecilkan isu Bazar Ramadan.

Beberapa lokasi Bazar Ramadan juga disediakan tempat solat. Ada juga yang mengambil inisiatif dengan arahan menutup seketika jual-beli ketika waktu solat selain ingatan nasihat melalui kain-kain rentang.

Walaupun masih baru, sekurang-kurangnya usaha telah dilakukan dan sedang diperluaskan untuk masa-masa akan datang.

Tazkirah

Jangan sekali-kali masjid mengadakan tazkirah antara solat sunat tarawih di masa Umno memerintah, kalau tidak sudah tentu ‘dicop’ sebagai masjid PAS. Begitulah Islamophobia Umno yang lebih awal dari tragedi 9/11 World Trade Centre New York.

Mungkin kerana Umno tahu betapa besarnya lonjakkan yang boleh berlaku jika rakyat menghayati roh Ramadan jika membenarkan tazkirah diadakan. Kerana besar juga mungkinnya, yang akan mengisi tazkirah itupun adalah penceramah Dewan Ulama PAS.

Pun begitu, kerana tazkirahlah premis-premis PAS di Kedah hidup semasa Ramadan. Masyarakat bukan hanya mahu menunaikan solat tarawih, mereka dahagakan belaian jiwa dari tazkirah yang diadakan.

Hanya ceramah Nuzul Quran atau adakalanya ceramah Ghazwatul Badar menjadi satu-satunya pengisian di masjid setiap kali Ramadan. Sedang, PAS Kedah juga mengadakannya majlis seumpama tetapi secara lebih meriah lagi iaitu melalui ceramah perdana.

Kini, pimpinan dan Adun PAS sudah tidak menang tangan menerima jemputan tazkirah. Tazkirah sudah jadi fenomena, bukan lagi antara solat tarawih sahaja, tetapi diadakan hampir setiap selepas waktu solat fardu. Malah tidak di masjid dan surau sahaja, tetapi juga hingga ke bazar Ramadan, pasar minggu dan hotel-hotel hinggalah ke institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Kedah iaitu Kolej Universiti Insaniah turut diadakan majlis tazkirah umum.

Selain itu, di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon diadakan Kuliah Ramadan yang diisi oleh tokoh-tokoh ulama tanah air selain oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sendiri. Zaman Umno, semua ini tidak ada, usah kata MB Umno, Perdana Menteri Umno pun tidak pernah beri tazkirah.

Iftar, Tahlil Dan Sahur

Ini acara tradisi yang dilaksanakan oleh semua PAS Kawasan di Kedah. Kebanyakan premis parti dan surau yang dikendali ahli PAS akan mengadakan majlis iftar dan tahlil sepanjang Ramadan. Masa inilah PAS ‘kopak’ tabung derma untuk beri orang makan.

“Sesiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, maka dia akan mendapat pahala orang berpuasa dan pahala orang berpuasa itu tidak kurang sedikit pun,” ujar Ustaz Azizan melafazkan maksud hadis.

Katanya, Nabi SAW menyeru agar umat baginda memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadan khususnya memberi orang makan ketika berbuka puasa.

Sedangkan masyarakat hari ini ujarnya, melakukan sebaliknya iaitu lebih cenderung mengadakan jamuan moreh.

Bersahur secara berjamaah memang meriah apatah lagi makan menggunakan talam, selera makan pun tinggi. Inipun budaya dalam PAS yang biasanya aktif di 10 hari terakhir Ramadan. Sedangkan sahur yang biasanya dijalani masyarakat kita suram bersama suramnya solat subuh.

Umno juga menganjurkan majlis berbuka puasa dan tahlil, tentunya mengalahkan PAS kerana diadadakan secara besar-besaran atau di tempat eksklusif, tetapi yang paling besarnya adalah lintas langsung di media. Itu sebenarnya tujuan penganjuran mereka.

Tapi ada yang Umno tidak dapat tandingi PAS hingga kini, pimpinan PAS selalunya berbuka dengan fakir miskin. Adakalanya dibawa makanan untuk berbuka sama di teratak fakir miskin sepertimana rutin Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Yahya Abdullah yang juga Adun Jeneri setiap kali Ramadan.

Bila mengadakan acara sedemikian dapatlah ditemui, rupanya rakyat Kedah yang tidak mampu untuk sediakan juadah berbuka pun ada semasa BN memerintah apatah lagi memenuhi keperluan harian di masa-masa lain.

Hari ini, bila kelebihan memberi makan orang berbuka puasa dinyatakan melalui ‘suara’ kerajaan, semakin ramai orang yang faham dan berlumba mengambil keberkatan itu. Banyak sumbangan diterima premis-premis masyarakat termasuk Markas PAS untuk mengadakan majlis berbuka. Hatta, ada juga masyarakat bukan beragama Islam yang memberi sumbangan untuk majlis berbuka dan mereka juga seronok hendak menyertai majlis berbuka.

Bubur Kanji

Tradisinya, hendak cari juadah ini, pergilah Markas PAS!

Bubur kanji seakan-akan juadah wajib diagihkan PAS seluruh kawasan di Kedah setiap hari sepanjang Ramadan. Orang Kedah memang suka bubur kanji ini, tapi PAS suka buat sebab hendak beri orang makan berbuka. Selalunya Adun atau Ahli Parlimen PAS menjadi teraju utama dalam kerja-kerja penyediaan dan agihan.

Barangkali kaget dengan ‘mentaliti’ umum terhadap bubur kanji ini dan melihat manfaat diperolehi Adun dan Ahli Parlimen PAS, Umno pun tidak kurang mengadakan sajian serupa sejak beberapa Ramadan lalu. Berderet periuk dimegahkan Adun dan Ahli Parlimen mereka kepada media memberi reaksi bahawa mereka turut memasak bubur kanji.

Paling PAS suka Umno buat bubur kanji sebab guna duit rakyat untuk diagihkan kembali kepada rakyat. Tetapi pemimpin Umno buncit-buncit bukanlah sebab makan bubur kanji.

Sumbangan Asnaf

Markas PAS yang sedia kecil, akan semakin sendat bila menghampiri Ramadan. Ia ‘bank’ para dermawan membuat simpanan akhirat dan ‘lubuk’ golongan memerlukan.

Markas PAS di Kedah tidak banyak yang besar, tetapi ia aset peribadi PAS, dibayar beli ahli-ahli PAS. Tidaklah seperti Umno yang susah hendak jumpa pejabat partinya milik sendiri. Yang sewa pun ada tidak dibayar.

Sepanjang Ramadan, PAS kawasan seluruh Kedah termasuk Dewan-dewan selalunya mengadakan ziarah dan sumbangan kepada golongan ini. Sementara menjelang Syawal, sumbangan diteruskan secara lebih meriah melalui majlis khas di premis-premis PAS. Sumbangan diberikan tanpa mengira latar belakang sokongan politik apatah lagi setelah memerintah.

“Bila kita diberi mentadbir Kedah ini, ia adalah amanah. Amanah kepada anak yatim, amanah kepada ibu tunggal, orang miskin dan rakyat. Itu kerja kita, kerana itu kita kena buat.

“Kita berdoa agar kita dapat melaksanakan keadilan, menegakkan kebenaran, memberi pembelaan kepada golongan-golongan lemah yang memerlukan pembelaan,” ujar Ustaz Azizan pada satu majlis menyampaikan zakat dan berbuka puasa.

Katanya juga, kerajaan negeri tidak mengamalkan diskriminasi kepada rakyat yang mempunyai hak terhadap pegangan politik masing-masing.

“Dasar kita Islam, walaupun kepada musuh tetapi keadilan kita berikan.

“Jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu dekat kepada takwa,” ujarnya memetik ayat 8 surah al-Ma’idah itu.

Melihat situasi Umno di Kedah itu, mereka pun sebenarnya golongan memerlukan. Tetapi setelah puas dirujuk kitab, memang tiada bahagian pun membolehkan Umno dimasukkan pada mana-mana asnaf.

Tadarus Al-Quran

Di Kedah, Dewan Muslimat adalah teraju terhebat membudayakan tadarus al-Quran. Selalunya dibuat di markas PAS, tetapi kalau petang-petang lepas zohor nampak ramai kaum hawa bertadarus di mana-mana masjid, biasanya Dewan Muslimat jugalah yang menganjurkan.

Majlis tadarus biasanya paling meriah di premis PAS berbanding di masjid. Bila hujung Ramadan, diadakan pula khatam Quran. Sememangnya al-Quran yang sangat berkait dengan Ramadan hanya disegarkan oleh PAS, sukar sangat untuk diserasikan dengan Umno.

Umno anjur juga, selalunya majlis khatam Quran walaupun tadarusnya tidak tahu bila. Tapi yang datang khatam itu biasanya kanak-kanak anak orang PAS.

Bila PAS jadi kerajaan di Kedah, guru Quran yang mengajar secara sukarela pula dihargai. InsyaAllah, setiap Ramadan, selagi PAS mentadbir negeri ini, guru-guru Quran ini akan sentiasa diberikan imbuhan sebagai penghargaan dari kerajaan negeri.

Zakat

Antara tujuan zakat ialah golongan berada membantu golongan miskin, apatah lagi di bulan Ramadan yang disyariatkan zakat.

“Hatta, anak kecil sekalipun diwajibkan zakat fitrah. Supaya hikmahnya, orang yang berada dapat berkongsi rasa dengan mereka yang tidak berada,” ujar Adun Bukit Lada, Ustaz Ahmad I’zzat Mohamad Shauki dalam satu tazkirah Ramadan.

Kerana itulah katanya, Ramadan digelar Syahrul Muwasah oleh Baginda Nabi SAW iaitu bulan untuk tolong-menolong.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Kedah, jumlah kutipan zakat semakin meningkat. Bukan sedikit, tahun pertama sahaja RM 11 juta.

Peningkatan itu bukan kerana setiap orang bayar kepada Jabatan Zakat dan juga bayar kepada PAS. Tetapi masyarakat semakin sedar akan kewajipan berzakat serta kesan keyakinan kepada kerajaan diterajui PAS. Syarikat-syarikat korporat juga semakin banyak yang tampil membayar zakat.

Dulu rakyat kurang yakin sebab masa itu Umno memerintah. Umno bukannya tolong, tapi ah-long. Sedang, pejabat PAS pula semakin banyak terima zakat sebab semakin ramai masuk PAS.

Imarah Masjid

Mana-mana masjid pun pasti akan dilimpahi manusia bila datangnya Ramadan. Tetapi sayang, sekadar ramai ketika solat sunat tarawih sedang solat fardu sekadar menampakkan penambahan.

Kekuatan untuk memakmurkan rumah Allah ini tidak ada pada semua orang yang mengaku beriman. Kerana itu Allah SWT menggunakan kalimah ‘innama’ bermaksud ‘hanyasanya’ di awal ayat sepertimana ayat 18 surah at-Taubah yang berkaitan memakmurkan masjid.

“Digunakan di situ kalimah ‘innama’ maknanya Allah SWT hendak menunjukkan ‘limit’ atau dua keadaan atau ‘border’ atau dua sempadan, orang yang memakmurkan masjid Allah adalah orang beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat,” ujar Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah pada satu majlis sebelum Ramadan.

Menurut beliau, setiap ayat Quran bermula kalimah ‘innama’ akan menyatakan syarat-syarat berkaitan hal yang akan ditegaskan.

“Maknanya orang yang memenuhi syarat itulah baru layak dikatakan beriman,” terangnya.

Kerana itulah, walaupun Ramadan disebut dengan pelbagai kelebihan ibadah, di masjid-masjid tidak lebih sekadar perkara yang telah dinyatakan.

Hatta, usaha PAS menganjurkan qiyamullail di masjid-masjid khususnya 10 malam terakhir Ramadan juga sukar mendapat kerjasama pihak masjid jauh sekali sambutan umum.

Tetapi kini, sepertimana diberitahu Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, pihak masjid amat mengalu-alukan program seumpama.

Malah katanya, walaupun jumlah penyertaan tidaklah membanggakan, tetapi telah menunjukkan peningkatan.

Walaupun usaha untuk memburu lailatur qadar itu tidak dapat dijayakan atas nama PAS, tetapi yang menerajuinya adalah pimpinan PAS, malah ramai pimpinan PAS menjadi imam di Ramadan ini, sesuatu yang juga sangat mustahil dijayakan pimpinan Umno.

Bagi Adun Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Alor Setar dan Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Mohd Nasir Zakaria, Ramadan merupakan kesempatan terbaik bagi mereka menjelajah ke semua masjid dan surau dalam kawasan masing-masing mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.

Tamrin

Bagi PAS, Ramadan bukan hanya ‘pesta ibadah’ tetapi bulan penghayatan perjuangan. Kerana itu, menjadi tradisi bagi Dewan Pemuda menganjurkan tamrin setiap kali Ramadan. Semangat serta iltizam kepada perjuangan disuntik dan ditingkatkan sesuai dengan sejarah dan tuntutan sebenar Ramadan itu.

Mesej utama tamrin ini jelas, biar di situasi mana pun jamaah ketika itu, sama ada kalah atau menang, Islam mestilah diperjuangkan.

Tidak macam Umno, bukan sahaja Ramadan tidak memberi makna kepada mereka, bahkan Islam tidak menjadi hadaf dan matlamat dalam usahanya.

Rabu, 14 Julai 2010

PAS KEDAH MAHU MENANG BANYAK KERUSI

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: PAS Kedah mahu memenangi lebih banyak kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum akan datang dan mengukuhkan kedudukan sebagai kerajaan dalam melaksanakan agenda untuk rakyat, demikian ditegaskan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Menurut beliau, bertahan dengan jumlah kerusi dimiliki ketika ini belum menjamin PAS akan terus memerintah Kedah, malah kekalahan akan membantutkan agenda masa hadapan yang telah dirangka dan sedang dilaksanakan melalui kerajaan negeri.

"Saya tak mau kata pertahan kemenangan, nak bagi menang banyak lagi. Kalau pertahan kemenangan tu macam yang ada sekarang. Kita menang dulu 16 kerusi, kalau kita pertahan 16 kerusi tu, kalau menang setakat 16 kerusi tu belum tentu kita memerintah, terpaksa kena tumpang orang lain.

"Jadi kita hendak bekerja, hendak dapat satu kekuatan, sama ada kita sebagai kita atau kita dengan Pakatan Rakyat untuk lebih kita berkuasa di Kedah ini. Supaya dengan itu dapatlah kita melaksanakan agenda-agenda kita yang kita hasratkan selama ini, yang kita sebutkan melalui manifesto kita, ceramah kita, perbualan kita.

"Idaman kita melaksanakan agenda kita, agenda perjuangan Islam sama ada secara keseluruhan atau sebahagian besarnya ataupun sebahagian kecilnya, mengikut keupayaan kita yang memerlukan kuasa. Jadi kuasa ini (adalah) melalui kemenangan dalam pilihan raya," ujar beliau merasmikan Ijtimak Muslimat PAS Kedah bertemakan ‘Pertahan kemenangan’ di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 2 Julai lalu.

Oleh itu katanya, kemenangan yang kukuh dan kelangsungan kemenangan amat perlu agar perjalanan agenda melalui kerajaan negeri dapat terus diadakan dengan selesa.

"Menang pilihan raya ini banyak jenis, ada takat jadi pembangkang; pembangkang banyak, pembangkang sikit. Ada menang jadi kerajaan, tapi kerajaan ini kena pakat dengan orang, bila kongsi-kongsi ini kena faham-fahamlah.

"Bila berkongsi ini ada yang Islam, ada bukan Islam. Ada kita berkuasa kita boleh buat agak bebas sikit dengan kita menghormati konsep tahaluf siyasi, kita menghormati lunas perlembagaan, setiakawan dan seumpamanya," terang beliau.

Pun begitu, beliau menyeru Muslimat agar terus bekerja bersungguh-sungguh dan tidak terbuai dengan kemenangan dikecapi sekarang ini.

"Saya tidak pertikai semangat yang ada pada puan-puan, saya tidak meragui keikhlasan puan-puan, yang saya bimbang cuma dua perkara. Pertama takut puan-puan ralit (leka) berasa kita dah menang, kita akan menang lagi.

"Macam peristiwa 1999, ketika itu kita dah ada 13 kerusi. Jadi 2004 ingat banyaklah, tengok tinggal lima. Kita perintah Terengganu masa tu, ingat Terengganu akan kekallah, tengok hilang.

"Kedua, kesungguhan bekerja berdasarkan strategi ditetapkan, tidak boleh ikut suka hati kita. Kita perlu kepada panduan dan arahan yang diberi pucuk pimpinan parti," serunya kepada lebih 3,000 peserta ijtimak yang hadir.

Sabtu, 11 Oktober 2008

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PAS KEDAH MERIAH

Sungai Petani- 11 Oktober(Sabtu)

Majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Kedah berlangsung dengan meriah hari ini. Majlis yang diadakan di Padang Awam Taman Semarak, Sg. Pasir, Sg. Petani telah dipenuhi dengan pengunjung yang datang dari seluruh negeri Kedah sejak jam 2.00 petang hingga jam 5.00 petang.

Pada tahun ini PAS Kawasan Sungai Petani telah dipilih sebagai tuan rumah majlis Aidilfitri . Berbagai juadah yang dibawa khas dari seluruh kawasan di Negeri Kedah telah dihidangkan untuk semua orang yang hadir. Setiap PAS kawasan telah ditetapkan menu untuk jamuan hari ini antaranya Bihun Sup, Lemang, Ketupat. laksa, keropok lekor, buah-buahan , kekacang, satay dan bermacam-macam lagi. Antara menu istimewa ialah teh tarik menteri besar dan aiskrim yang disediakan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang menjadi tumpuan kanak-kanak dan njuga golongan dewasa yang tidak lepas peluang menikmati keenakkannya.

Majlis pada hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran oleh semua Pimpinan PAS Kedah dan juga ahli yang Berhormat Parlimen dan DUN dari PAS dan PKR. Namun begitu YAB Menteri Besar Kedah , Dato' Seri Ust Azizan Abd Razak tidak dapat hadir ke Majlis itu kerana dimasukkan ke wad kerana sakit. Beliau bagaimanapun mennyampaikan salam kepada semua muslimin dan muslimat serta pengunjung yang hadir.

Majlis pada hari ini juga berjaya menarik kehadiran masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada kaum Cina, India dan Siam yang turut bersama beraya dengan rakan beragama Islam. Ini membuktikan bahawa pemerintahan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS berjaya menyatupadukan seluruh rakyat Kedah tanpa mengira bangsa dan agama. Keutuhan dan perpaduan yang dicapai ini patut dikekalkan demi keharmoian dan ketenteraman negeri Kedah yang menuju kearahan kesejahteraan untuk semua.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons