Memaparkan catatan dengan label Ust Ahmad Yahya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ust Ahmad Yahya. Papar semua catatan

Ahad, 14 Jun 2009

Fokus kepada agenda Islam Memimpin Perubahan, Hentikan polemik isu Kerajaan Perpaduan


Ust Ahmad Yahya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KOTA SARANG SEMUT: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS agar memberi fokus untuk mengangkat agenda “Islam Memimpin Perubahan” dan menghentikan segera dari terus mempolemikkan isu Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar baru-baru ini secara jelas telah melontarkan mesej mengenai kesediaan PAS untuk memikul amanah kepimpinan negara dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Perbincangan yang mesti disegarkan ialah kesediaan sebagai ‘government in waiting’ di mana pimpinan dari Pakatan Rakyat akan menjadi Perdana Menteri Malaysia Ketujuh. Bukannya mempolemikkan isu Kerajaan Perpaduan hingga boleh menimbulkan keraguan dan melebarkan jurang salah faham antara kita,” tegasnya kepada Harakah, 9 Jun lalu.

Katanya, semua pihak tidak harus terperangkap dengan tafsiran tidak tepat pihak media yang merujuk keterbukaan PAS sepertimana dalam Ucapan Dasar Presiden sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Sepanjang mengikuti sesi muktamar tersebut, kita dapati antara intipati yang ditegaskan oleh Presiden ialah untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat dan dalam masa sama PAS menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kebaikan negara.

“Tetapi keterbukaan yang dinyatakan itu telah dirujuk kepada isu Kerajaan Perpaduan oleh pihak media. Oleh itu, semua pihak tidak harus terikut dengan rentak tari ini sebaliknya kembali memberi fokus kepada agenda yang telah digariskan,” ujarnya yang mahu isu itu dihentikan segera.

Tambahnya lagi, isu tersebut sebenarnya tidak perlu ditimbulkan lagi setelah Presiden sendiri menegaskan pada pertengahan April lalu bahawa cadangan mengenai Kerajaan Perpaduan telah ditarik balik.

“Oleh itu, DPPNK mengharapkan agar tidak wujud lagi keraguan terhadap perkara tersebut. Kita juga minta seluruh saf di dalam PAS memberi tumpuan kepada mengukuhkan jamaah serta komitmen terhadap tugas dan kewajipan yang diamanahkan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Ahad, 31 Mei 2009

SPM: Kenapa Perlu had 10 Subjek?

Ustaz Ahmad Yahya

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Keputusan kerajaan menetapkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek mulai tahun hadapan disifatkan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) sebagai langkah mundur, gopoh dan tidak menjiwai hasrat pendidikan.

Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya berkata, sewajarnya Kementerian Pelajaran membawa pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan berdasarkan persaingan sihat masa kini.

"Kita (DPPNK) mempersoalkan bagaimana cadangan yang baru dikemukakan seminggu lalu (21 Mei) dan semalam dinyatakan pula oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Dr Wee Ka Siong bahawa kajian mengenai perkara itu telah pun dimulakan oleh sekumpulan ahli akademik dan profesional, tiba-tiba hari ini telah ada ketetapannya,” soal beliau yang menyifatkan perkara itu sebagai satu kegopohan.

Menurut Ahmad, bilangan subjek yang banyak diambil oleh calon SPM biasanya adalah pelajar dari aliran agama dan berikutan pencapaian cemerlang sekolah-sekolah agama, wujud kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka menerima pendidikan dari sekolah aliran agama.

Oleh itu katanya, DPPNK percaya keputusan itu mempunyai motif tersirat untuk menutup kejayaan cemerlang yang diraih sekolah-sekolah agama.

Tetapi tegas beliau, paling utama adalah keputusan itu merupakan satu langkah mundur dan malangnya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengemukakan cadangan tersebut yang dilihat bertentangan dengan falsafah pendidikan iaitu untuk membangunkan potensi manusia.

"Apa salahnya jika pelajar benar-benar mampu dan berusaha untuk membuktikan kemampuan mereka? Wujud juga keraguan terhadap keputusan tersebut kerana sebelum ini yang dinyatakan adalah mengenai biasiswa. Hari ini disebut pula mengenai tumpuan guru, kewangan ibu bapa untuk kos tuisyen serta jurang luar bandar dengan bandar. Kami melihat, hujah tidak konsisten ini tidak lain hanyalah alasan yang diada-adakan," ujar beliau kepada Harakah, 28 Mei lalu.

Dengan itu katanya, DPPNK mahu keputusan itu ditangguhkan dan kajian terperinci diadakan agar pendidikan di negara ini tidak terus menjadi bahan eksperimen serta alat politik pihak-pihak tertentu.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons