Memaparkan catatan dengan label Nik Abduh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nik Abduh. Papar semua catatan

Jumaat, 24 April 2009

Pendedahan berani Nik Abduh tentang pembantu-berpakaian serba tahu

Jumaat, 2009 April 24


DI MEJA makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam-macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah-mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hadi Awang.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama Tok Guru Hadi Awang, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada Tok Guru Hadi Awang. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi Tuhan!? Semoga Allah melaga-lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan Tok Guru Hadi Awang. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing-masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TOk Guru Haji Hadi, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji Tok Guru Haji Hadi. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan Tok Guru Haji Hadi di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tok Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda. - Catatan Ustaz Nik Abduh ( Anak Tok Guru Nik Abdul Aziz)

Isnin, 2 Jun 2008

Ezam 'budak baik' yang tersesat lagi?

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Mon | Jun 02, 08 | 12:51:22 pm MYT

Salam Kamunting, kali pertama saya menjabat tangan saudara Ezam Mohd Nor adalah di Kem Kamunting. Semasa saya melangkah keluar dari bilik khas tempat saya menziarahi kekanda saya, Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz di kem neraka ciptaan Umno itu, saya terserempak dengan satu wajah yang begitu mudah dicam melalui perkenalan saya lewat akhbar dan majalah.

Beliau bersama seorang lagi tahanan yang saya agak keliru juga pada mulanya. Seorang lelaki dengan rambut yang mengurai panjang macam jenis sosialis macam Hishamudin Rais, tapi rapi dengan wajah tampak begitu bersih dan tenang macam Islamis macam budak 'usrah'.

Sebaik mengecapi suasana gembira pertemuan singkat luar jangka itu, saya mengambil masa beberapa minit di luar kem untuk mengingati bahawa lelaki itu adalah Saari Sungib, tokoh hebat yang hentian akhir perjalanan dakwahnya adalah sebagai aktivis PAS yang cukup unik dan multazim.

Saya bayangkan itu adalah kemuncak pencarian beliau dan saya meyakini pilihannya itu adalah tepat dan berpetunjuk. Saya suka untuk bersama - sama menumpang orang - orang hebat sepertinya.

Ada pun saudara Ezam, perjalanannya tampak belum berhenti, dari sirah dan umur perjuangannya sekitar 10 tahun ini, beliau telah memilih untuk balik asal. Kini beliau kembali kepada Umno.

Samada Tuan Haji Saari Sungib tak sempat khatamkan untuknya siri buku Risalah Usrahnya itu di kem neraka tersebut, ataupun memang saudara Ezam tak dapat mengukur ketinggian nilai persahabatannya dengan abangnya itu, kedua - duanya bagi saya adalah betul belaka.

Saya tak kenal Ezam. Saya mengenali dan mengaguminya daripada jauh.Kiranya, saya kurang layak untuk menulis mengenainya hari ini.Saya pendekkan, moga saya tidak tersasar pula selepas dia yang telah pun tersasar.

Yang terakhir saya diberitakan pasal Ezam adalah selepas pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini. Saya rasa ia tepat dengan tindakan Ezam hari ini. Dahulu, Ezam melakukan sesuatu yang terpuji pada anggapan pencinta keadilan dan pembenci kezaliman.

Hari ini, ketika beliau sudah diangap berpaling tadah, saya masih mengharapkan tiada apa yang runtuh daripada amal baiknya dulu.

Tetapi itu hanya Allah yang maha tahu. Maka saya menyendiri dan kaku sekali untuk menempelak dan mencercnya. Moga rahmat Allah terus mengekori pergerakan Ezam dalam Umno. Dia budak baik, bagi saya.

Ezam, walaupun memberitahu bahawa sebab beliau kembali kepada UMNO adalah kerana inisiatif 'islah' Pak Lah membaiki negara yang nampak betul-betul dan tak berlakon lagi, tetapi saya fikir itu bukanlah sebab utamanya. Ya, ia sebab tapi ia bukan sebab utama.

Saya gagal membayangkan betapa orang yang bersungguh - sungguh menggerakkan GERAK memerangi rasuah yang menjadi musuh utama negara itu begitu mudah menerima pembaikian dan reformasi yang Pak Lah lakukan selepas pilihan raya baru - baru ini. Ia hanyalah pengumuman pembentukan yang belum pun dilihat hasil dan sudahnya. Ezam sudah masak untuk cukup memahami apa itu janji-janji Umno.

Bagaimana dibayangkan keberanian Ezam merempuh segala caci maki, kata nista, celaan dan cercaan pemuji dan pemujanya dahulu yang menghujaninya sepanjang penyeberangannya kembali kepada UMNO itu adalah semata-mata kerana kata janji Pak Lah yang tak terbukti pun lagi itu? Sukar saya membayangkan logik tindakan Ezam itu.

Kerana itu saya hanya merasa tenang dengan sebab yang lain daripada apa yang Ezam isytiharkan.

Beberapa ketika selepas pilihan raya, Ezam diberitakan membayangkan betapa Malaysia tidak mungkin sama sekali berPMkan Dato Seri Anuar Ibrahim. Itu kerana senario politik selepas pilihan raya baru-baru ini seperti membenarkan telahan yang sukar itu mungkin bakal menjadi kenyataan. Ezam tidak dapat menerima hakikat ini.

Adalah jelas Ezam telah bertindak keluar daripada parti Keadilan atas sebab tidak berpuas hati dan tidak lagi mempercayai kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dan kepada orang - orang tertentu, Ezam seperti membongkar apa yang baginya dia tahu dan orang lain tak tahu mengenai Anwar. Kenyataan umum Ezam, Dato Seri adalah hipokrit.

Justeru beliau tidak segan untuk menyatakan betapa beliau menyesal tak sudah-sudah berjuang mempertahankan 'hak' bekas pemimpin idolanya itu. Ia tak tertebus sehinggalah beliau kena kembali berpatah arang menentang idolanya itu.

Ezam masuk Umno kerana mahu menghalang Dato' Seri Anwar Ibrahim kembali sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pak Lah.

Inilah sebab utama. Justeru Pak Lah yang leceh sangat janjinya itu menjadi lebih baik di sisi Ezam berbanding Dato Seri Anuar Ibrahim.

Ini ketenangan yang saya rasai, mengapa Ezam melakukan apa yang disifatkan sebagai terjunan maut terhadap karier politiknya oleh kebanyakan pengamat politik hari ini. Tidakkah Umno hari ini bagai bumi dilanda gempa? Siapa masuk, maut menanti. Kerana itu, Tun Mahathir yang selalu cerdik itu keluar dari bumi Umno dengan lompatan bergalah.

Betulkah Ezam, saya tinggalkan perbahasan untuk andalah. Tak salah anda membahaskan.

Berjayakah Ezam, kita nantilahm tak salah kita menanti.

Bagaimana jika menang dan bagaimana jika kalah, anda ulaslah sendiri. Tak salah saya malas nak ulas.

Biarlah apa pandangan anda, saya tetap kata Ezam budak bagus dan budak baik.Budak baik tak semestinya betul tindakannya selalu, apatah kalau baik jenis betul bendul. Tapi Ezam bukan jenis ini. Jenis betul bendul tak mungkin diberi kepercayaan memimpin, apatah dalam dunia politik yang penuh mangsa dan pemangsa. Ezam adalah pemimpin yang ada karisma. Dulu.

Saya tinggalkan anda di sini. Cuma, pakailah yang terakhir ini.

Berjuanglah untuk Islam. Anda akan beroleh petunjuk yang betul. Berjuanglah untuk akhirat. Anda akan diberi kehidupan yang benar dan abadi. Berjuanglah di belakang RasuluLlah, anda akan menikmati perjuangan anda selama-lamanya.

Ezam telah berjuang habis-habisan untuk Dato Seri Anwar Ibrahim. Dia cuba menikmati perjuangannya itu. Dia gagal. Dato' Seri Anwar juga tak pun membela dan menyayanginya. Lama dia merana. Hari ini, Ezam cuba keluar daripada dukanya.

Semua tahu dia keluar dengan memilih jalan salah. Samada Anwar Ibrahim itu betul atau salah, Ezam telah pun salah. Beliau tersadung lagi.

Mengapa?

Allah berfirman, "Dan orang - orang yang berjuang di jalan Kami, pasti kami tunjukkan mereka jalan-jalan Kami."

Banyak-banyak jalan tuhan, Umno 'confirm' jalan thaghut.

Bila Ezam pilih Umno, Ezam budak baik yang tersesat lagi. Ezam kena patah balik. Seribu kali patah balik ke jalan Allah lebih baik daripada istiqamah terus di jalan Umno. Semoga Allah mengekori Ezam dengan rahmatNya yang luas. Semoga PAS sentiasa memimpin kepada politik Islam yang bersih dan tulus.

Pengarang: Artikel ini dipetik dari laman web (nikabduh.wordpress.com). Penulis adalah anak Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat./wann.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons